Hukum Solat Berjemaah, Wajib ke Sunat Dibuat?

Solat bersendirian atau solat berjemaah lebih baik? Apakah pula hukum solat berjemaah yang perlu anda tahu?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum solat berjemaah.

Baca juga:

Apa itu solat berjemaah

Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai dengan diketuai seorang imam.

Ia terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum.

Dalil tentang solat berjemaah

Firman Allah dalam surah An-Nisa, ayat 102:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

"Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka."

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

"Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” - (Hadis Riwayat Muslim, No. 1509)

Manakala dalam riwayat lain menyatakan:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

"Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.” - (Hadis Riwayat Muslim, No. 1504)

Solat yang ditunaikan secara berjemaah

Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah adalah seperti:

  • Solat fardhu 5 waktu
  • Solat sunat hari raya
  • Solat sunat istisqak (minta hujan)
  • Solat sunat tarawih
  • Solat sunat witir
  • Solat jumaat dalam kategori wajib ditunaikan secara berjemaah.

Hukum solat berjemaah

Terdapat tiga perbezaan hukum solat berjemaah dalam Mazhab Syafie iaitu fardu ain, fardu kifayah, dan sunat muakkad.

1. Fardu ain

Terdapat pendapat dalam Mazhab Syafie yang mengatakan bahawa solat berjemaah hukumnya fardu ain tetapi bukanlah syarat sah solat.

Dalam erti kata yang lain, solat berseorangan hukumnya harus dan sah tetapi dia tetap
berdosa kerana tidak solat secara berjemaah.

2. Fardu kifayah

Menurut al-Nawawi dan beberapa tokoh ulama’ lain dalam Mazhab Syafie menegaskan bahawa solat berjemaah hukumnya adalah fardu kifayah.

Pengertian fardu kifayah di sini bermaksud setiap kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh mukallaf tertentu dan dengan perlaksanaan mereka itu, maka terlepaslah kefarduan tersebut itu kepada yang lain seperti jihad dan solat jenazah

3. Sunat muakkad

Sunat muakkad bermaksud sunat yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah SAW secara berterusan.

Sunat muakkad juga boleh bermaksud perkara-perkara yang digalakkan serta makruh jika ditinggalkan.

Pendapat ini juga dikongsi sebagai pendapat bagi mazhab Hanafi dan Maliki dari tanah Sham dan Iraq.

Hikmah solat berjemaah

hukum solat berjemaah

1. Menguatkan Iman

Ketika kita melihat banyak orang berkumpul untuk beribadah, rasa keimanan dalam diri kita cenderung meningkat.

Kebersamaan dalam ibadah boleh menguatkan keyakinan bahawa kita bukanlah seorang diri dalam perjalanan kerohanian ini.

2. Meningkatkan khusyuk

Dalam solat berjemaah, imam yang memimpin solat membaca Al-Quran dengan baik dan penuh khusyuk.

Ini membantu para jamaah dalam solat untuk lebih fokus dan khusyuk dalam beribadah kepada Allah.

3. Kesatuan Umat

Solat berjemaah memperkuat kesatuan umat Islam. Di mana pun kita berada, sama ada di rumah, di masjid, di tempat kerja, atau di tempat lain, solat berjemaah mengingatkan kita bahawa kita adalah sebagaian dari komuniti besar kaum muslim.

4. Berdisiplin tinggi

Solat berjemaah mengajarkan disiplin, ketepatan waktu, dan tanggungjawab. Setiap muslim diharuskan hadir di tempat ibadah pada waktu yang ditentukan, membentuk kebiasaan baik untuk mematuhi waktu-waktu ibadah.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum solat berjemaah dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-435: Adakah Terangkat Fardhu Kifayah Sekiranya Sesebuah Surau Tidak Dihidupkan. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Irsyad Hukum Masjid dan Jemaah. Mufti Penang
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.