Suka Tapau Makanan? Ini Hukum Makanan Percuma Bawa Balik

Apakah hukum makanan percuma bawa balik? Adakah ia dibenarkan atau sebaliknya tidak dibenarkan di dalam Islam?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan status hukum dan penjelasannya apabila seseorang itu membawa balik makanan percuma di dalam sesebuah majlis orang atau sebagainya.

Baca juga:

Ragam manusia ketika menghadiri majlis

hukum makanan percuma bawa balik

Setiap minggu boleh dikatakan ada sahaja orang yang membuat majlis makan-makan, majlis kahwin, buffet, atau sebagainya.

Kita pula dijemput untuk menghadirinya. Selain objektif majlis yang menjadi agenda utama, tarikan aneka hidangan yang terhidang juga memberi keterujaan tertentu kepada setiap orang.

Ketika itu, kita boleh perhatikan bermacam-macam ragam manusia yang berebut untuk mendapatkan makanan.

Ada yang ambil makanan penuh sepinggan dengan main course, dessert, dan sebagainya.

Ada yang terpaksa biarkan sisa makanan penuh dalam pinggan kerana tidak mampu menghabiskan semua hidangan yang diambil.

Ada juga yang menapau makanan dari majlis secara diam-diam tanpa pengetahuan tuan rumah.

Bagi skenario yang ketiga ini, adakah anda cakna akan hukum membawa balik makanan percuma dengan sesuka hati?

Hukum makanan percuma bawa balik

Hukum makanan percuma bawa balik oleh kita tanpa pengetahuan tuan rumah adalah haram.

Sekalipun, kita membungkus dalam tisu seketul dua kuih lalu dimasukkan ke dalam poket baju atau seluar untuk diberikan kepada orang yang tidak datang, ianya tetap haram jika tidak meminta izin tuan rumah.

Bayangkan, makanan yang pada awalnya halal dimakan ianya boleh menjadi haram apabila kita tidak mempunyai ilmu dan amanah untuk menjaganya.

Hukum mengambil sisa lebihan makanan yang ditinggalkan

Di samping itu, apakah pula hukum mengambil sisa makana lebihan yang ditinggalkan seperti di dalam majlis atau restoran?

Biasanya ini berlaku kepada pekerja katering atau restoran yang bertugas dalam bahagian penyediaan makanan.

Hukum mengambil sisa makana lebihan yang ditinggalkan adalah dibolehkan dengan syarat anda menyakini bahawa pelanggan itu memang benar-benar sudah tidak mahukannya.

Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA,

مَرَّ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ بتَمْرَةٍ مَسْقُوطَةٍ فقالَ: لَوْلا أنْ تَكُونَ مِن صَدَقَةٍ لَأَكَلْتُها

“Nabi SAW berjalan lalu ternampak sebutir tamar gugur (dari pohonnya) pantas bersabda: ‘

Kalaulah buah kurma itu bukan daripada sedekah, nescaya aku akan memakannya’ (yakni: terdapat kemungkinan kurma tersebut merupakan harta sedekah).” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 3055)

Hadis di atas memberi isyarat bahawa Nabi sangat menghargai dan sentiasa memastikan bahawa tidak ada berlaku pembaziran walaupun sekecil-kecil perkara seperti sebutir kurma yang jatuh dari pohonnya.

Selain itu, anda juga perlu memastikan makanan tersebut diyakini bersih dan masih elok untuk dimakan.

Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya keracunan makanan yang boleh memudaratkan diri sendiri.

Namun yang demikian, sekiranya tindakan kita mengambil sisa makanan itu boleh menyebabkan berlaku fitnah atau syak wasangka dari orang lain, maka sebaiknya kita elakkan sahaja.

Kepentingan menjaga kesucian makanan

hukum makanan percuma bawa balik

Dalam Islam, Allah telah menetapkan garis panduan akan halal dan haram makanan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan.

Hal ini bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan rohani dan fizikal manusia itu sendiri.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 168:

"Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik." 

Selain itu, kepentingan makanan halal dapat dilihat melalui sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Memilih yang halal itu wajib bagi setiap orang Islam kerana setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih utama baginya." - (Hadis Riwayat Ahmad)

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum makanan percuma bawa balik dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1835: Hukum Mengambil Sisa Lebihan Makanan Yang Ditinggalkan Di Restoran. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Ustazah Asma Harun. Facebook
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.