Hukum Suami Mengaku Bujang, Boleh Jatuh Talak?
Isu menipu status sudah berkahwin sering berlaku dalam masyarakat kita. Justeru apakah hukum suami mengaku bujang kepada orang lain?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum suami mengaku bujang atau duda walaupun sudah mempunyai isteri.
Baca juga:
Maksud bujang
Bujang bermaksud lelaki atau perempuan yang belum berkahwin.
Hukum suami mengaku bujang
Bagi menetapkan status hukum suami mengaku bujang sama ada ia jatuh talak atau tidak. Ia perlulah berpandukan kepada sighah talak itu sendiri.
Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah suatu talak. Terdapat dua sighah talak yang perlu anda tahu.
1. Sighah sarih
Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak.
Contohnya seperti perkataan talak, cerai, berpisah. Setiap kalimah yang disebut ini tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talak.
Walaupun nanti, si suami menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian tersebut.
2. Sighah kinayah
Kinayah adalah kiasan. Kalimah kiasan biasanya memiliki banyak maksud dalam suatu masa.
Suami perlu mempunyai niat cerai ketika melafazkan perkataan kinayah tersebut.
Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya:
- Bila ditanya suami itu olih seseorang : “adakah kamu sudah beristeri?” lalu dijawabnya : “saya belum beristeri.”
- Seorang suami yang menghantar isterinya balik bercuti ke kampung lalu berkata suami tersebut : “abang jadi orang bujang la seminggu.”
- Seorang wanita berkata kepada lelaki yang sudah beristeri yang baru dikenalinya : “awak sudah kawin atau belum sebenarnya ?” jawabnya : “saya belum kawin”
- Seorang suami ditanya olih kawannya : “kemana isteri awak lama saya tidak nampak dia.” lalu suami itu menjawab :”saya sekarang seorang duda.”
Adapun dalam kes suami mengaku bujang, ia tidak termasuk dalam lafaz talak. Sekiranya dimasukkan sekalipun, ia mungkin termasuk dalam kafaz kinayah dan sangat lemah.
Kenapa lafaz “bujang” tak jatuh talak?
Perkataan bujang membawa banyak maksud seperti:
- Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
- Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
- Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
- Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.
Namun yang demikian, baik suami atau isteri berhati-hatilah dalam mengeluarkan kata-kata dan memilih ucapan yang baik serta selamat agar tidak berlaku kekeliruan dalam rumah tangga.
Hal ini kerana, bermain-main dengan lafaz talak atau seumpamanya adalah tidak disukai syarak.
Selain itu, sekalipun tidak jatuh talak, berbohong adalah perbuatan yang berdosa disisi syarak.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum suami mengaku bujang dapat memberikan anda semua informasi yang bermanfaat dan ilmu pengetahun yang berguna.
Sumber:
- Al-Kafi #430: Hukum Suami Mengaku Bujang. Mufti Wilayah Persekutuan