Hukum Letak Yasin Bawah Bantal Untuk Elak Gangguan Jin
Hukum yasin bawah bantal semasa tidur adalah haram kerana perbuataan tersebut dianggap sebagai salah satu dari penghinaan terhadap ayat Al-Quran itu sendiri.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum yasin bawah bantal bila tidur untuk elak dari gangguan makhluk halus atau jin.
Baca juga:
Isu penghinaan terhadap Al-Quran
Mutakhir ini, isu berkenaan penghinaan terhadap agama Islam khususnya Al-Quran banyak berlaku dalam masyarakat di dalam dan luar negara.
Apatah lagi dengan adanya perkembangan teknologi khususnya sepeti sosial media, ia semakin memarakkan lagi isu ini berleluasa dari komuniti kecil kepada sebuah negara dan kemudian dunia.
Di Malaysia, isu penghinaan agama Islam adalah merupakan isu sensitif dan boleh menjejaskan perpaduan nasional.
Tambahan pula, Islam merupakan agama Persekutuan dan dianuti oleh lebih daripada separuh populasi penduduk di negara ini.
Justeru, perbuatan mencemarkan kesucian dan memperlekehkan agama Islam boleh menimbulkan kemarahan dan protes daripada umat Islam atau majoriti penduduk Malaysia.
Dalam perundangan sivil, pelaku boleh disabitkan dibawah Akta Penyalahgunaan Media dan juga Akta yang berkait dengan keselamatan dan kesejahteraan sosial.
Manakala dalam undang-undang Syariah di Malaysia, terdapat enakmen khusus berkaitan kesalahan menghina agama Islam.
Kesalahan menghina agama Islam dalam enakmen jenayah Syariah secara
umumnya dihuraikan dan diperincikan seperti berikut:
- Menghina, mencerca, mengajuk-ajuk, mengejek-ejek dan mengolok-olokkan atau menyebabkan Islam dipandang hina sama ada secara lisan, tulisan, gambar, lukisan, perkataan yang dapat didengar dan dibaca, isyarat danperbuatan atau menghina dengan cara apa jua pun.
- Mempersenda, mempermain, mengajuk-ajuk, mengolokolok, mencemuh dan merendah-rendahkan perkara berikut: amalan, upacara dan istiadat berkaitan Islam, undangundang berkaitan Islam yang sedang dikuatkuasakan, mazhab yang sah dan muktabar, fatwa dan para pegawai agama, guru agama dan imam yang dilantik.
- Menghina, meniru, mempersenda, mencerca, mengajukajuk, mengejek-ejek dan mengolok-olokkan al-Quran dan Hadis serta ayat-ayat berkaitan dengan agama samada melalui kata-kata, perkataan, lisan dan perbuatan atau dengan cara apa jua pun.
- Memusnahkan, merosakkan, mencemarkan, membinasakan, meroboh, mengubah, memindahkan surau dan masjid serta apa jua kemudahan yang terdapat padanya dengan tujuan untuk menghina, merendah, mempersenda, mencela dan mengeji agama Islam atau dengan niat atau tujuan apa sekalipun.
- Turut dianggap sebagai kesalahan menghina agama adalah dakwaan seseorang Muslim bahawa dia telah keluar dari Islam
Hukum yasin bawah bantal ketika tidur
Hukum yasin bawah bantal ketika tidur adalah haram.
Ini termasuklah juga dengan perbuatan menjadikan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran, buku-buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran dan juga kitab-kitab agama sebagai bantal ketika tidur atau meletakkannya di bawah bantal walaupun bagi tujuan untuk menghindari daripada gangguan jin dan sebagainya.
Perbuatan tersebut tergolong dalam salah satu perbuatan yang menghina dan merendahkan kemuliaan Al-Quran itu sendiri.
وَيَحْرُمُ تَوَسُّدُه: أي المصحف أي جَعْلُهُ وِسادة وَهِيَ المِخَدَّة التي تُوضَعُ تَحْتَ الرأْسِ، لأن في تَوَسُّدِهِ تَحقيرا وإهانَة
Maksudnya: “Diharamkan daripada berbantalkan mashaf: iaitu menjadikan mashaf itu sebagai bantal dan diletakkan di bawah kepala, ini kerana perbuatan berbantalkan mushaf itu merupakan satu bentuk merendah-rendahkan dan penghinaan.”
Faidh al-Ilah al-Malik fi Halli Alfaz ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik oleh al-Sayyid Umar bin Muhammad al-Biqa‘ie (t.t), Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1/64
Para ulama mazhab Syafie tegas menyatakan bahawa perbuatan meletakkan kitab agama dan mushaf Al-Quran sebagai bantal atau alas kepala ketika tidur adalah haram.
وَيَحْرُمُ تَوَسُّدُ مُصْحَفٍ وَغَيْرِهِ مِنْ كُتُبِ الْعِلْمِ قَالَ الْقَاضِي: إلَّا أَنْ يَخَافَ سَرِقَتَهُ
Maksudnya: “Diharamkan menjadikan mushaf dan kitab-kitab agama sebagai bantal. Kata al-Qadhi Husain: Pengecualian diberikan jika dia takut kitab atau mushaf itu dicuri.”
Al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah oleh Zakariyya al-Ansari (t.t) al-Matba‘ah al-Maimaniyyah, 1/149
Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Sejak Al-Quran diturunkan, ianya telah dipelihara dengan begitu rapi sehingga ke hari ini.
Di dalam Al-Quran, menjadi panduan dan bimbingan kepada kehidupan kita dari segala aspek seperti hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang-undang, politik, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan, tatatertib (akhlak) dan lain- lain.
Adab-adab dengan Al-Quran
Berikut kami kongsikan 10 adab dengan Al-Quran yang boleh anda amalkan dalam kehidupan seharian:
- Niat ikhlas di saat mempelajari Al-Quran
- Mengamalkan kandungan Al-Quran
- Anjuran mengingat dan memperbaharui bacaan Al-Quran
- Tidak menyentuh Al-Quran kecuali dalam keadaan suci
- Membaca secara tartil dan tidak laju
- Tidak menyelak lembaran Al-Quran seperti menyelak surat khabar, harus menyelak Al-Quran dengan penuh sopan
- Mengambil Al-Quran dengan tangan kanan dan memegangnya dengan kedua-dua belah tangan
- Sunah membaca isti’adzah dan basmalah ketika memulakan bacaan
- Menyimpan Al-Quran di tempat yang tinggi
- Jika membawa Al-Quran di dalam beg maka sebaiknya memeluk beg tersebut sebagai memuliakan Al-Quran
Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan hukum yasin bawah bantal ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.
Sumber:
- Al-Kafi #1922: Hukum Tidur Berbantalkan Mashaf Quran atau Meletakannya Di Bawah Bantal. Mufti Wilayah Persekutuan
- Surah Yasin Rumi dan Doa Selepas Baca Yasin (Terjemahan). Ecentral