Waktu Doa Mustajab Untuk Berdoa Agar Termakbul Menurut Islam

Umat Islam sangat disarankan untuk berdoa kepada Allah SWT kerana doa inilah yang menjadi pengikat ikatan kita dengan Nya. Namun begitu, dapat berdoa pada waktu doa mustajab adalah saat istimewa bagi setiap orang.

Apakah yang dimaksudkan dengan waktu doa mustajab? Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan butiran lengkapnya kepada pembaca semua.

Bagaimana cara Allah makbulkan doa hamba Nya?

Nabi SAW menjelaskan bahwa ada tiga bentuk pengabulan oleh Allah SWT terhadap doa para hambanya sebagaimana terdapat dalam hadis berikut: 

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ

دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا
نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah SWT akan mengabulkannya dengan tiga cara;

  • Allah akan mengabulkan doanya dengan segara,
  • Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
  • Allah akan memalingkan darinya keburukan seumpamanya.

Mereka (para sahabat) berkata: “Kalau begitu, kami akan memperbanyak berdoa.” Nabi SAW bersabda: “Allah akan banyak mengabulkan doa-doa kamu.” – (Hadis Riwayat Ahmad – Sahih)

Doa belum dimakbulkan tanda Allah tidak sayang?

Tidak semua doa yang kita pinta kepada Allah SWT itu akan termakbul dengan segera. Ada kalanya doa itu ditahan “nanti” untuk terkabul pada saat dan masa yang tepat.

Namun sebagai seorang manusia pasti kita kadang kala tertanya-tanya mengapa Allah tidak mengabulkan doa kita ini. Sehingga timbul rasa berputus asa dan merasakan diri tidak disayangi oleh Nya.

Persoalan ini mengingatkan kami kepada nasihat seorang tokoh hebat dikenali sebagai seorang yang zuhud dan wara’, Ibrahim bin Adham.

Syaqiq bin Ibrahim menceritakan sebuah kisah yang berlaku di kota Basrah, “Suatu hari Ibrahim bin Adham melintasi sebuah pasar, orang ramai berkumpul kepadanya seraya berkata, “Wahai Abu Ishaq, Allah berfirman dalam Al-quran:

ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Ku, pasti akan Aku berkenan.” – (Surah Ghafir, ayat 60)

Sudah lama kami berdoa meminta sesuatu kepada Nya, tetapi hingga kini doa kami belum dikabulkan?”

Mendengar aduan tersebut, Ibrahim bin Adham berkata, “Wahai penduduk Basrah, sesungguhnya hati kamu telah mati disebabkan sepuluh perkara, iaitu:

  • Kamu mengenal Allah, tetapi tidak menunaikan hak Nya.
  • Kamu membaca kitab Allah (Al-Quran), tetapi kamu tidak mengamalkannya.
  • Kamu mendakwa mencintai Rasulullah, tetapi Kamu meninggalkan Sunnahnya.
  • Kamu mendakwa permusuhan terhadap Syaitan, tetapi kamu menurut kemahuannya.
  • Kamu berkata kami cintakan syurga, tetapi kamu tidak melakukan amalan untuk membawa ke syurga.
  • Kamu berkata kami takut masuk neraka, tetapi kamu menggadaikan diri kamu untuknya.
  • Kamu berkata bahawa kematian itu pasti, tetapi kamu tidak pernah mempersiapkan bekal untuk menghadapinya.
  • Kamu sibukkan diri dengan aib saudara kamu dan abaikan aib sendiri.
  • Kamu makan nikmat tuhanmu, tetapi kamu tidak bersyukur atas nikmat tersebut.
  • Kamu selalu mengebumikan mayat dikalangan kamu, tetapi kamu tidak pernah mengambil pengajaran darinya.

Waktu doa mustajab untuk termakbul

Allah mengurniakan waktu doa mustajab kepada semua hamba-hamba Nya agar dimanfaatkan dengan taat supaya segala permintaan dan kemahuan yang dijahati itu termakbul.

Berikut ini adalah contoh-contoh waktu doa mustajab yang perlu kita tahu.

1. Waktu antara azan dan iqamah

Terdengar sahaja seruan azan yang berkumandang di corong pembesar suara, maka segeralah kita untuk bersiap-siap menghadap Allah.

Dikatakan ketika azan berkumandang, pintu langit terbuka luas dan doa mudah untuk termakbul bagi mana-mana hamba Nya yang taat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Doa di antara azan dan iqamah tidak tertolak” – (Hadis Riwayat At Tirmidzi dan Abu Daud).

2. Semasa turunnya hujan

Hujan yang turun membasahi bumi adalah rezeki dan rahmat yang Allah kurniakan kepada semua hamba Nya.

Ia bukan sahaja datang menyirami dan menyuburkan tanaman dan kehidupan di atas muka bumi ini, malah menjadi waktu istimewa termakbulnya doa setiap dari kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Doa tidak tertolak pada 2 waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.” – (Hadis Riwayat Al Hakim)

Hujan yang turun turut disertai dengan rezeki dan rahmat bagi hamba Nya yang taat dan tidak putus-putus berdoa

3. Doa waktu pada hari Jumaat

Jumaat digelar sebagai Sayyidul Ayyam iaitu penghulu bagi segala hari. Pada hari ini. banyak pahala yang boleh kita raih dari amalan sunat dan wajib yang boleh dilaksanakan.

Waktu doa mustajab bukan sahaja ketika hari Jumaat, malah dalam tempoh waktu imam duduk di mimbar sehingga solat Jumaat selesai juga.

Daripada Abu Burdah bin Abu Musa al-Asy ‘ari RA katanya bahawa Abdullah bin Umar RA berkata:

Adakah engkau pernah mendengar ayahmu menceritakan tentang Rasulullah SAW melakukan solat Jumaat? Lalu Abu Burdah menjawab, “Ya” aku pernah mendengar ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Masa yang paling mustajab itu ialah ketika bermulanya duduk imam di atas mimbar sehinggalah selesai solat Jumaat.” – (Hadis Riwayat Muslim)

4. Sepertiga terakhir malam

Beribadah dan bermunajat kepada Allah diwaktu sepertiga terakhir malam dalam keadaan sunyi sepi memberi kekuatan yang luar biasa kepada setiap hamba Nya.

Diwaktu yang pada ketika itu, semua orang sedang tidur hanya segelintir sahaja manusia yang masih tekun kepada Allah.

Dari Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah SAW bersabda,

“Di malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang muslim memanjatkan doa pada Allah berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut melainkan Allah akan memberikan apa yang ia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya.” – (Hadis Riwayat Muslim)

5. Hari Arafah pada musim haji

Mereka yang berpeluang untuk beribadah ke Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah khususnya pada musim haji ambillah waktu doa mustajab ketika hari Arafah nanti dengan sebaik mungkin.

Sabda Rasulullah SAW “Doa yang terbaik adalah doa ketika hari Arafah” – (Hadis Riwayat At Tirmidzi).

6. Ketika waktu sahur dan berbuka puasa

Ibadah puasa di bulan Ramadhan memberi banyak kelebihan bagi umat Islam. Dalam keghairahan kita meraih pahala ibadah puasa, jangan lupa untuk banyakkan berdoa ketika waktu sahur dan berbuka puasa kerana ia tergolong dalam waktu yang mustajab untuk berdoa.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud : “Ada tiga doa yang tidak tertolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi.” – (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

7. Doa ketika sujud

Biasakan diri untuk tidak tergesa-gesa menghabiskan solat dan memberi salam usai sahaja solat.

Ambil sedikit masa untuk melazimkan diri berdoa ketika sujud terakhir kerana pada waktu tersebut adalah waktu doa yang mustajab

Dari Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Saat yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia sujud, maka perbanyakkanlah doa.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Diharapkan semoga perkongsian mengenai waktu doa mustajab untuk berdoa ini dapat memberikan anda semua informasi yang menarik untuk dijadikan panduan dan dikongsi bersama.

Sumber:

  1. #39; Waktu Doa Yang Mustajab Pada Hari Jumaat. Maktabah Al-Bakri
  2. Cara Allah Mengabulkan Doa Hamba Nya. Mufti Perlis
  3. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-349: Cara Penerimaan Doa. Mufti Wilayah Persekutuan
  4. Sebab Doa Tidak Mustajab Oleh Ibrahim Bin Adham. Mufti Perlis
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.