Sejarah, Hukum dan Cara Pegang Tongkat Khutbah Ketika Berkhutbah
Apakah sebenarnya asal usul tongkat khutbah dan hukum khatib memegangnya ketika membaca khutbah solat Jumaat?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan tongkat khutbah dan penjelasan lengkapnya.
Baca juga:
Mengapa khatib pegang tongkat bila khutbah
Maksud dan tujuan sebenar seseorang pegang tongkat apabila berkhutbah adalah untuk meraih pahala sunnah dari amalan Rasulullah SAW.
Hal ini kerana Baginda SAW sentiasa memegang tongkat seperti anak panah atau pedang ketika menyampaikan khutbah.
Di samping itu, dengan adanya tongkat ini juga khatib akan lebih fokus dan kusyuk dalam menyampaikan khutbah kepada para jemaah.
“Apabila muadzin telah selesai (azan), maka Khatib berdiri menghadap jemaah dengan wajahnya. Tidak boleh menoleh ke kanan dan ke kiri. Dan kedua tangannya memegang pedang yang ditegakkan atau tongkat pendek serta (tangan yang satunya memegang) mimbar. Supaya dia tidak mempermainkan kedua tangannya. (Kalau tidak begitu), atau dia menyatukan tangan yang satu dengan yang lain.” - (Ihya’ “Ulumu al-Din, Juz 1, hal 180)
Hukum pegang tongkat khutbah ketika solat Jumaat
Pegang tongkat khutbah ketika berkhutbah mempunyai beberapa hukumnya yang perlu anda tahu.
Pertama: Sunnah dan Mustahab (dianjurkan), yang menjadi pendapat bagi majoriti ulama seperti Maliki, Syafi’i dan Hanbali.
Berkata Imam Malik, “Termasuk dalam sunnah ialah para imam yang berada di atas mimbar untuk mengambil tongkat dan bersandar padanya saat berdiri (di atas mimbar) pada hari Jumaat, hal ini adalah sebagaimana yang kami lihat dan dengar.” (Lihat al-Mudawwanah al-Kubra, 1/151).
Pendapat ini juga ditegaskan dalam kitab-kitab terkini dalam mazhab Malik seperti kitab Jawahir al-Iklil (1/97) dan Hasyiyah al-Dasuqi (1/382).
Selain itu, Imam al-Syafi’ie turut berkata: “Aku lebih suka agar setiap khatib dalam setiap khutbah, bersandar pada sesuatu.” (Lihat al-Umm, 1/272). Pendapat ini juga ditegaskan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj (2/326) dan Hasyiyah Qalyubi wa Amiri (1/272).
Berkata Al-Buhuti al-Hanbali lagi, “Dianjurkan untuk bersandar pada pedang, panah, atau tongkat di salah satu tangan.” (Lihat Kasyf al-Qina’, 2/36; al-Insaf, 2/397).
Hukum yang mengatakan pegang tongkat ketika berkhutbah ini sunat berdasarkan dari hadis Riwayat daripada al-Hakam bin Hazan katanya:
وَفَدْتُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سَابِعَ سَبْعَةٍ أَوْ تَاسِعَ تِسْعَةٍ فَدَخَلْنَا عَلَيْهِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ زُرْنَاكَ فَادْعُ اللَّهَ لَنَا بِخَيْرٍ فَأَمَرَ بِنَا أَوْ أَمَرَ لَنَا بِشَىْءٍ مِنَ التَّمْرِ وَالشَّأْنُ إِذْ ذَاكَ دُونٌ فَأَقَمْنَا بِهَا أَيَّامًا شَهِدْنَا فِيهَا الْجُمُعَةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَامَ مُتَوَكِّئًا عَلَى عَصًا أَوْ قَوْسٍ فَحَمِدَ اللَّهَ ….
"Aku pernah pergi menuju Rasulullah SAW dengan membawa bersamaku tujuh hingga ke sembilan orang. Lalu kami berkata : Wahai Rasulullah, kami menziarahimu maka berdoalah kepada Allah agar mengurniakan kebaikan buat kami. Lalu baginda mengarahkan agar diberi sedikit kurma untuk kami. Keadaan pada ketika itu agak susah maka kami pun menetap di sana selama beberapa hari sehinggalah kami mendirikan solat Jumaat bersama Rasulullah SAW. Maka baginda pun berdiri dan bersandar (memegang) tongkat atau busur, kemudian baginda memuji Allah …." - (Hadis Riwayat Abu Dawud, No. 1096)
Kedua: Makruh. Ia adalah pendapat sebahagian besar ulama dalam mazhab Hanafi.
Menurut kitab Fatawa al-Hindiyyah (1/148) dalam mazhab Hanafi, “Makruh bagi khatib untuk bersandar pada panah atau tongkat saat berkhutbah. Begitu juga sebagaimana yang disebut dalam kitab al-Khalasah dan kitab Syarh al-Tahawi.” Namun, khatib boleh membawa pedang selama pedang tersebut dianggap sebagai simbol kemenangan.
Ibn Mazah al-Hanafi pula berkata: “Demikian itu dibolehkan apabila khatib berkhutbah memegang pada tongkat atau pada panah, melainkan ia makruh kerana berbeza dengan sunnah” (Lihat al-Muhit al-Burhani, 2/75 )
Namun yang demikian, para mufti di Malaysia mengatakan bahawa hukum memegang tongkat semasa berkhutbah adalah sunat sebagaimana pendapat dalam mazhab al-Syafi’ie itu sendiri.
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَانَ إِذَا خَطَبَ فِي الْحَرْبِ خَطَبَ عَلَى قَوْسٍ وَإِذَا خَطَبَ فِي الْجُمُعَةِ خَطَبَ عَلَى عَصًا
Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda berkhutbah di medan perang, Baginda akan menyampaikan khutbah dengan bersandar pada busur. Dan apabila Baginda berkhutbah pada hari Jumaat, Baginda akan menyampaikannya dengan bersandar kepada tongkat. - (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 1107)
Hal ini dipersetujui oleh jumhur ulama seperti Imam Nawawi, al-Qadhi Husain dan Imam al-Baghawi serta daripada pendapat mazhab Syafi’e berdasarkan beberapa dalil seperti di atas bahawa hukum memegang tongkat adalah sunat.
Perlu difahami juga isu pegang tongkat khutbah ini tidaklah termasuk dalam rukun khutbah.
Justeru, sesiapa yang ingin memegang tongkat atau panah atau seumpamanya ketika berkhutbah, maka dia boleh melakukannya.
Sebalinya sesiapa tidak mempunyai tongkat atau seumpamanya, maka tidak ada masalah untuk dia meninggalkannya.
Cara pegang tongkat khutbah
Berkenaan dengan cara pegang tongkat, khatib disunatkan untuk memegang dengan tangan kiri manakala tangan kanan memegang bahagian mimbar.
Tujuannya adalah untuk menghasilkan ketenangan dan keselesaan dalam penyampaian kepada para jemaah.
Manakala khatib yang ingin berkhutbah tanpa pegang tongkat, anda disarankan untuk meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri.
Atau boleh juga melepaskan kedua tangannya ke bawah semasa berkhutbah.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan tongkat khutbah dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- #1467: Pegang Tongkat Ketika Khutbah Jumaat. Maktabah Al Bakri
- Sejarah Mengapa Khatib Jumat Memegang Tongkat, Simak Yuk. KontenPedia