Iddah Cerai atau Kematian Suami (Garis Panduan Lengkap)
Apakah garis panduan iddah cerai yang betul dari segi tempoh iddah, hak semasa iddah, dan perkara yang dilarang dilakukan semasa iddah?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan panduan iddah cerai yang perlu para wanita ketahui.
Baca juga:
Apa itu iddah cerai?
Iddah berasal dari perkataan “adad” yang bermaksud bilangan dan perhitungan. Dari segi bahasa, iddah bermaksud tempoh pengiraan.
Manakala dari segi istilahnya pula, iddah bermaksud tempoh masa berkahwin bagi isteri yang telah diceraikan oleh suami atau kematian suami.
Tempoh ini telah ditentukan oleh Allah SWT dan mesti kita patuhi.
Hukum iddah dalam Islam
Menurut syarak, hukum iddah adalah wajib ke atas wanita yang bercerai atau kematian suami.
Dalil pensyariatan iddah
Terdapat beberapa dalil berkenaan pensyariatan iddah. Antaranya adalah Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 228 yang bermaksud:
“Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa `iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.
Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dan suami mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Kemudian dalam surah Al-Talaq, ayat 1, Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:
“Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan `iddahnya, dan hitunglah masa `iddah itu (dengan betul), serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu.
Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan sesudah itu sesuatu perkara (yang lain).”
Firman Allah SWT dalam Surah al-Talaq ayat 4 yang bermaksud:
“Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh `iddah mereka) maka `iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga `iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.
Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh `iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah) sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.”
Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, daripada Aisyah r.a., katanya yang bermaksud:
“Rasululah SAW telah memerintahkan Barirah untuk ber`iddah dengan tiga kali haid.”
Jenis-jenis iddah
1. Iddah talak
i. Perempuan yang dicampuri dan ia belum putus haid
Iddah 3 quru (3 kali suci atau 3 kali haid). Dalam surah Al-Baqarah, ayat 228, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan perempuan-perempuan yang diceraikan itu hendaklah mereka menahan diri selama 3 quru…”
Menurut Imam Syafie, tempoh iddah dengan quru yang terpendek adalah selama 33 hari 1 jam. Manakala Imam Hanafi berpandangan tempoh yang terpendek adalah 60 hari.
ii. Perempuan yang telah dicampuri dan putus haid
Iddah 3 bulan. Dalam surah At-Talaq, ayat 4, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah 3 bulan: dan demikian juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.”
iii. Perempuan yang dicampuri yang belum pernah didatangi haid
Iddah 3 bulan.
iv. Perempuan yang belum dicampuri
Tiada iddah. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 49 bermaksud:
“Bila kamu nikahi wanita-wanita mukmin kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh mereka, maka tiadalah ada bagi mereka iddah.”
2. Iddah wafat
Iddah wafat atau iddah kerana kematian suami adalah selama 4 bulan 10 hari. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 234 yang bermaksud:
“Orang-orang yang meninggal dunia di antara mu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empay bulan sepuluh hari.”
Hal ini diberikan pengecualian jika perempuan itu hamil, maka iddahnya adalah iddah hamil dan perlu menunggu hingga melahirkan kandungannya.
Jika si suami meninggal dunia semasa isterinya sedang menjalani tempoh iddah raj’i, maka si isteri akan berpindah menjalani iddah perempuan yang kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari.
Jika si isteri menjalani iddah ba’i maka iddahnya tidak berubah iaitu iddah perempuan yang berhaid selama 3 kali suci kerana talak ba’ini telah memutuskan ikatannya dengan suaminya.
Jika si suami yang menceraikan isterinya yang sedang hamil meninggal dunia pada saat isterinya menjalani iddah perempuan hamil. Maka si isteri dikehendaki menjalani iddah terpanjang iaitu masa iddah hamil dan masa iddah kematian.
3. Iddah hamil
Bila seseorang wanita itu hamil, maka iddahnya adalah sehingga ia melahirkan anak. Allah SWT berfirman dalam surah At-Talaq, ayat 4 yang bermaksud:
“Dan perempuan-perempuan yang hamil, iddah mereka ialah sampai melahirkan kandungannya.”
4. Iddah bagi perempuan yang mandul
Perempuanyang mandul dan tidak mungkin berlakunya percampuran nasab, mereka juga dikehendaki menjalani iddah jika mereka diceraikan oleh suami.
Ia bukannya bertujuan untuk membersihkan rahim mereka dari kandungan ata hendak menjaga pencampuran nasab tetapi iddah mereka itu lebih merupakan sebagai perkara (ta’abbudi) sahaja, iaitu merupakan satu ibadah dan lambang kepatuhan mereka kepada Allah SWT.
5. Iddah bagi perempuan yang kehilangan suami
Isteri wajib menunggu selama empat tahun. Selepas tempoh tersebut, isteri wajib pula beriddah dengan iddah kematian suami selama empat bulan sepuluh hari.
Ia tidak kira wnaita itu didatangi haid atau tidak didatangi haid ataupun mengandung.
Tempoh iddah
Jenis Iddah | Ada haid/tiada haid/ sedang mengandung | Tempoh iddah | Keterangan |
---|---|---|---|
Bercerai talak raj`ie/bain | Ada haid | Tiga kali suci | a. Jika ditalak semasa dalam keadaan suci, iddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga. b. Jika ditalak semasa dalam keadaan haid, `iddahnya tamat apabila datang haid yang keempat. c. Jika ditalak semasa dalam keadaan nifas, hendaklah menunggu sehingga tiga kali suci selepas nifas. `Iddah tamat apabila datang haid yang keempat |
Bercerai talak raj`ie/bain | Tiada haid (sama ada kerana penyakit, telah dibuang rahim, telah putus haid, belum pernah haid atau lain-lain) | Tiga bulan | |
Bercerai talak raj`ie/bain | Sedang mengandung | Sehingga bersalin atau kandungan gugur | Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar. |
Bercerai talak raj`ie/bain | Ada haid atau tiada haid | Tiada `iddah | |
Bercerai talak raj`ie/bain dan menghidap istihadhah | Haid tidak menentu tetapi masih dapat mengetahui kebiasaan perjalanan darah haidnya. | Tiga kali suci | |
Bercerai talak raj`ie/bain dan menghidap istihadhah | Haid tidak menentu dan tidak mengetahui kebiasaan perjalanan haidnya atau tidak dapat membezakan antara darah haid dan istihadhah. | Tiga bulan | |
Berlaku kematian suami semasa berada dalam tempoh iddah talak raj`ie dan tidak mengandung | Ada haid atau tiada haid | Empat bulan sepuluh hari | Kiraan `iddah baru bermula pada tarikh atau hari kematian suami walaupun sebelum itu `iddah isteri sama ada dengan tiga kali suci atau tiga bulan telah hampir tamat. |
Berlaku kematian suami semasa berada dalam tempoh `iddah talak bain dan tidak mengandung | Ada haid atau tiada haid | Tiga kali suci atau tiga bulan | Kekal `iddah talak bain sama ada dengan kiraan tiga kali suci atau tiga bulan dan `iddah tidak bertukar kepada `iddah kematian suami. |
Kematian suami sama ada telah disetubuhi atau belum disetubuhi dan tidak mengandung | Ada haid atau tiada haid | Empat bulan sepuluh hari | Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib ber`iddah, tetapi juga wajib berkabung. |
Kematian suami | Sedang mengandung | Sehingga melahirkan anak atau kandungan gugur | Selesai `iddah apabila melahirkan anak sama ada hidup atau mati, atau gugur kandungan yang telah membentuk janin yang sempurna atau hanya berbentuk segumpal daging yang menurut pakar perubatan itulah kandungan yang sebenar. |
Suami hilang | Ada haid, tiada haid atau sedang mengandung | Isteri wajib menunggu selama empat tahun. Selepas tempoh tersebut, isteri wajib pula ber`iddah dengan `iddah kematian suami selama empat bulan sepuluh hari | Bagi kes suami hilang, isteri boleh mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan pengesahan kematian suami atau membuat tuntutan fasakh |
Hak-hak isteri semasa iddah
1. Isteri yang di diceraikan dengan talak satu dan dua
- Dia berhak mendapat nafkah zahir iaitu pakaian, tempat tinggal dan harta perwarisan.
- Dilarang keluar rumah yang disediakan oleh suami tanpa keizinannya.
2. Isteri yang dalam tempoh iddah talak bain
- Tidak berhak mendapat nafkah.
- Berhak mendapat tempat tinggal.
- Tidak mendapat hak perwarisan.
3. Isteri yang kematian suami
- Berhak diberi tempat tinggal selama tempoh iddahnya oleh waris terdekat dengan si mati (suami).
Seorang isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah dengan syarat:
1. Isteri diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk).
2. Isteri yang hamil ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak mendapat nafkah sehingga anak lahir.
3. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Namun mereka berhak mendapat kemudahan tempat tinggal.
4. Isteri yang tidak nusyuz.
*Isteri yang dalam iddah kerana kematian suami dan isteri yang diceraikan namun belum disetubuhi tidak berhak mendapat nafkah iddah.
Hak-hak isteri selepas habis iddah
- Dia bebas menentukan kehidupannya sendiri.
- Dia berhak berkahwin semula.
- Dia berhak dipinang oleh lelaki yang ingin kepadanya.
Perkara yang dilarang semasa iddah
Larangan semasa iddah ini menunjukkan bahawa agama Islam sangat prihatin serta mengambil berat tentang maruah dan aurat wanita.
- Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
- Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
- Tidak dibenarkan keluar rumah dalam edah kecuali dengan keizinan suami.
- Tidak dibenarkan berkabung. Malah mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.
- Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam keadaan yang diperlukan sahaja seperti bekerja dan mendapatkan rawatan perubatan. Termasuk dalam larangan juga ialah keluar bermusafir walaupun untuk menunaikan ibadah Haji.
- Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal.
Boleh seperti mana firman Allah SWT dalam Surah At-Talaq, ayat 1. Tetapi dalam Mazhab Syafie, suami tidak boleh tinggal sekali bersama isterinya dalam tempoh ‘iddah, kecuali ada mahram seperti ibu bapa atau adik-beradiknya.
Hikmah disyariatkan adanya iddah
- Memberi peluang kepada suami isteri untuk berbaik semula setelah berfikir dan menyesali terhadap perbuatan yang lepas.
- Menjamin kesucian nasab serta membersihkan rahimnya daripada percampuran benih keturunannya.
- Memberi penghormatan kepada wanita.
- Menzahirkan kepentingan dan kesucian ikatan perkahwinan di sisi Islam.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan iddah cerai dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.
Sumber:
- Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami. JAKIM
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-773: Panduan Kiraan Tempoh Iddah. Mufti Wilayah Persekutuan