Cara Lupuskan Al Quran Yang Rosak & Lama Dengan Terhormat
Cara lupuskan Al Quran yang rosak dan tidak digunakan lagi boleh dilakukan sama ada secara pembakaran, tanam, basuh, carik atau teknologi terkini iaitu deinking.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan cara lupuskan Al Quran dengan betul mengikut langkah-langkah yang sudah disepakati para ulama.
Baca juga:
Pelupusan teks atau bahan Al Quran
Pelupusan bermaksud perihal (perubatan dan sebagainya) melupuskan. Ia termasuklah mentiadakan atau memusnahkan bahan-bahan yang mengandungi ayat suci Al-Quran.
Ayat Al-Quran adalah meliputi mana-mana bahagian ayat Al-Quran dalam bahasa Arab.
Manakala bahan Al-Quran ertinya sesuatu dokumen yang mengandungi mana-mana ayat Al-Quran, selain daripada suatu teks Al-Quran sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen ini.
Cara lupuskan Al Quran dalam Islam
Mengikut hukum, para ulama telah menggariskan beberapa kaedah bagi melupuskan teks atau bahan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.
Contohnya seperti membakar, menanam, membasuh, mencarik dan tidak ketinggalan juga dengan menggunakan kaedah berteknologi hijau yang dikenali sebagai deinking.
Pendapat Pertama: Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hendaklah digali tanah dan ditanam di dalamnya
Ini dinyatakan oleh ulama Hanafi seperti al-Haskafi yang menyebut:
“Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati.” (Lihat al-Durr al-Mukhtar, 1/191).
Sahib al-Hasyiah memberi komentar dengan berkata: “Diletakkan perca kain yang bersih yang diletakkan di dalamnya (al-Qur’an yang rosak) kemudian ditanam di tempat yang tidak dihina dan dipijak.”
Al-Buhuti, seorang ulama’ dalam mazhab Hanbali berkata:
“Jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa mushaf Abu al-Jawza’ telah basah, lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya. (Lihat Kasyaf al-Qina’, 1/137)
Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya. (Lihat al-Fatawa, 13/84)
Pendapat Kedua: Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar
Hal ini dijelaskan berdasarkan kepada tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat.
Selain itu, Ibn Battal juga berkata,
“Perintah Saidina Uthman supaya membakar semua mashaf ketika dihimpunkan al-Quran menandakan keharusan membakar kitab-kitab yang terpada padanya Asma’ullah (nama-nama Allah). Yang demikian, sebagai kemuliaan baginya dan pemeliharaan daripada dipijak dengan kaki serta dicampakkannya pada mana-mana tempat.” (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 10/226)
Imam al-Suyuti berkata: “Apabila perlu kepada melupuskan sebagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak harus diletakkannya pada mana-mana tempat sekalipun tinggi kerana boleh jadi akan jatuh dan dipijak.
Begitu juga tidak harus mengoyaknya kerana memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, kalau dibakarnya dengan api, maka tidak mengapa. Ini kerana perbuatan Saidina Uthman yang membakar semua mushaf dan tiada seorangpun yang mengingkarinya.” (Lihat al-Itqan fi Ulum al-Qur’an, 2/1187)
Cara lupuskan Al Quran dengan dibakar
Di Malaysia, sudah dikeluarkan fatwa mengenai tata cara pelupusan ini telah dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak tahun 1992 lagi.
Kemudian keputusan fatwa ini dikemaskan dan disesuaikan lagi mengikut fatwa negeri bagi memudahkan pelaksanaannya mengikut situasi serta kondisi negeri masing-masing.
Secara umumnya, cara lupuskan Al Quran yang dilaksanakan di Malaysia adalah dengan kaedah pembakaran.
Al-Quran yang hendak dilupuskan sebaiknya dibakar di tempat yang bersih kemudian abunya dihimpunkan dan dihanyutkan ke dalam laut atau sungai yang mengalir.
Selain itu, abunya juga boleh ditanam ditempat yang tidak dilalui oleh orang ramai bagi mengelak daripada dipijak.
Ini jelas tujuannya adalah untuk menjaga kesucian dan kemulian al-Quran itu sendiri. Berikut adalah cara pembakaran Al-Quran yang betul:
- Bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran yang dibakar hendaklah menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian yang tidak terbakar.
- Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dipastikan di kumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah
- Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih atau tempat yang tidak dilalui orang atau dibuang ke dalam laut/sungai yang mengalir airnya.
- Kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai Jabatan Agama atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan tersebut
Etika pemakaian pengendali aktiviti pelupusan
Berikut kami kongsikan etika pemakaian pengendali aktiviti pelupusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pemakaian | Peracikan | Pembakaran |
---|---|---|
Pakaian | Sopan (menutu aurat) | Apron kanvas atau pakaian khas |
Sarung Tangan | Sarung tangan kain | Sarung tangan getah |
Penutup Hidung (Mask) | Jika perlu | Perlu |
Kasut | Jika perlu | Perlu (Bertutup) |
Pihak yang bertanggugjawab
Tanggungjawab | Tindakan |
---|---|
Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan Zon | Menerima dan mengumpulkan teks Al-Qiran atau bahan Al-Quran |
Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan Zon | Merekod data penerimaan dan pengumpulan (jumlah berat timbangan/ tarikh hantar / maklumat pelanggan) |
Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan Zon | Pengurusan pembakaran menggunakan relau |
Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan Zon | Merekod data pelupusan (jumlah/ tarikh/ pengesahan) |
Diharapkan perkongsian kami berkenaan dengan cara lupuskan Al Quran ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfata untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Garis Panduan Pelupusan Teks Al-Quran. Kementerian Dalam Negeri
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-533: Bagaimanakah Kaedah Pelupusan Abu Al-Quran. Mufti Wilayah Persekutuan