Hukum Sahur Bagi Orang Yang Berpuasa dan Keberkatannya
Apakah hukum sahur dan kelebihannya yang perlu anda tahu?
Artikel pada kali kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum sahur dan keberkatan tempoh tersebut bagi mereka yang berpuasa wajib atau sunat.
Baca juga:
Maksud berbuka dan bersahur
Berbuka adalah mengakhiri puasa dengan makan dan minum ketika masuknya waktu maghrib.
Manakala bersahur pula adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa.
Hukum sahur bagi yang berpuasa
Hukum sahur adalah sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh “Amr bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ
Maksudnya: "Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur." - (Hadis Riwayat Muslim, No. 1096)
Imam al-Nawawi berkata mengenai syarah hadism ini:
“Maknanya, perbezaan yang paling ketara antara puasa kita dan puasa mereka (ahli kitab) adalah bersahur, sesungguhnya mereka tidak bersahur dan kita disunatkan untuk bersahur”. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 7/207)
Sebagai umat Islam kita tidak seharusnya meninggalkan amalan sahur ini biarpun dengan hanya memakan sebiji buah tamar dan minum segelas air.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ المُؤمِنِ التَّمْرُ
Maksudnya: "Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar." - (Hadis Riwayat Abu Dawud, No. 2345)
Waktu sahur ada keberkatannya
Waktu sahur memiliki keberkatan yang besar dalam agama Islam. Ia terbahagi kepada dua jenis keberkatan yang dijelaskan dalam hadis iaitu:
- Keberkatan Syar’iyyah: iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu yang mustajab doanya.
- Keberkatan Badaniyah: iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan serta menguatkan semangat untuk berpuasa, dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.
Keberkatan waktu sahur tidak hanya terbatas pada aspek agama, tetapi juga memberikan manfaat kesihatan dan melatih disiplin diri sehari-hari.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda:
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
Maksudnya: ”Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.” - (Hadis Riwayat Imam Ahmad, No. 11102) di dalam Musnadnya
Adab-adab berbuka puasa
Terdapat beberapa adab berbuka puasa yang oleh anda amalkan dalam kehidupan seharian. Antara adab tersebut adalah:
1. Segera berbuka puasa
Rasulullah SAW seperti hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin S’ad RA dimana beliau berkata, Nabi SAW bersabda:
لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرِ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” - (Sahih al-Bukhari, No.1957 dan Sahih Muslim, No.1098)
2. Berbuka dengan ruthob
Rasulullah SAW sendiri ketika berbuka puasa dengan ruthob, kurma atau air. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji ruthob. Sekiranya tiada ruthob, maka baginda berbuka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar, maka baginda meneguk beberapa teguk air.” - (Hadis Riwayat Ahmad, No.12676 dan al-Tirmizi, No.696)
3. Bersederhana dalam makan dan minum
Allah SWT berfirman dalam surah Al-A’raf, ayat 31 yang bermaksud:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
4. Berdoa ketika berbuka
Hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” - (Hadis Riwayat Ibn Majah, No.345)
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan hukum sahur dan keberkatannya ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #76: Adakah Bermulanya Puasa Setelah Masuk Waktu Imsak. Mufti Wilayah Persekutuan
- Hukum Orang Yang Berbuka Puasa Pada Bulan Ramadan. Mufti Wilayah Terengganu
- Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan Siri Ke-129: Hukum Tidak Bangun Bersahur. Mufti Wilayah Persekutuan