Hukum Bitcoin: Halal atau Haram Melabur Menggunakan Kripto?
Apakah status hukum bitcoin apabila dia digunakan oleh umat Islam?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai hukum bitcoin dalam penggunaannya sebagai pelaburan dan mata wang kewangan yang dibenarkan atau tidak dalam Islam.
Baca juga:
Apa itu bitcoin?
Sejak dulu lagi mata wang dunia berevolusi dari pertukaran barang, kulit kerang, besi, emas, perak, kertas dan sebagainya.
Hari ini kita boleh nampak penggunaan bitcoin pula semakin popular dikalangan masyarakat.
Justeru itu maka timbul pelbagai persoalan khususnya berkenaan hukum bitcoin sama ada halal atau haram serta jenis transaksi digital yang sah digunakan.
Bitcoin adalah salah satu daripada mata wang digital atau cryptocurrency (mata wang kripto) yang berasal secara digital.
Ia terhasil dari pembaharuan yang dibawa dek arus pembangunan teknologi yang dipanggil sebagai disruptive technology.
Oleh itu, semua transaksi dijalankan menerusi kod dan tidak dikawal oleh mana-mana negara serta nilainya juga ditentukan oleh masyarakat sendiri.
Nilai bitcoin ini dikatakan lebih tinggi dan mahal berbanding dari minyak, emas dan euro.
Malah selain bitcoin, terdapat bermacam-macam lagi jenis mata wang kripto yang diguna pakai di seluruh dunia seperti Ethereum (ETH), Zcash (ZEC), Dash (darkcoin), tezos, Ripple (XRP), Monero (XMR) dan banyak lagi.
Jepun telah mengiktiraf bitcoin ini sebagai mata wang yang sah yang mana kira-kira 260,000 buah kedai di seluruh negara tersebut kini menerima bitcoin.
Amerika Syarikat pula menyediakan lebih dari 1,000 mesin ATM untuk memudahkan pengguna bitcoin.
Kelebihan menggunakan bitcoin
- Sangat mudah untuk digunakan kerana segala transaksi sama ada dari dalam atau luar negara tidak mengambil masa yang lama.
- Tidak memerlukan butiran peribadi yang lengkap pemilik seperti nama, alamat, atau apa-apa yang berkaitan dengan pemilik bitcoin.
- Setiap transaksi adalah muktamad iaitu kita tidak boleh membatalkan apa-apa transaksi yang telah dibuat dan mendapatkan semula wang tersebut.
Isu dalam penggunaan matawang bitcoin
Disebabkan oleh penerimaan bitcoin yang masih baru dan belum diiktiraf di seluruh dunia.
Maka banyaklah persoalan dan isu yang dibangkitkan tentang hukum bitcoin apabila digunakan dalam tujuan transaksi dan pelaburan.
Antara isu yang timbul dalam penggunaan mata wang ini adalah seperti:
- Adakah bitcoin merupakan mata wang yang sah menurut kaca mata syarak?
- Adakah bitcoin boleh diperdagangkan dan digunakan dalam transaksi urus niaga?
Hukum Bitcoin : Prinsip-prinsip dalam kewangan Islam
Sebelum kita membahaskan soal hukum bitcoin ini adalah lebih baik untuk kita memahami terlebih dahulu tentang prinsip-prinsip dalam kewangan Islam.
Terdapat beberapa perkara penting yang wajib kita pegang semasa menjalankan urusan jual beli. Antaranya seperti:
1. Setiap transaksi mesti berdasarkan jual beli yang sah dan juga pelaburan aset yang sah juga. Haram untuk menggunakan duit untuk buat duit.
Ambil keuntungan daripada duit seperti hutang yang terdapatnya bunga, berdagang mata wang seperti forex trading dan sebagainya.
2. Pelaburan mesti ada kena mengena dengan manfaat masyarakat kebanyakan bagi mempromosi tolong menolong dalam suasan kemasyarakatan.
3. Risiko mesti sama-sama kena. Maknanya, contoh dalam takaful. Semua berkongsi risiko.
Bukan seperti insurans yang mana pihak insurans terus mendapat duit tanpa sebarang kekurangan pada pihaknya. Hal ini haram.
Risiko wajib dikongsi. Risiko satu pihak menjadikan transaksi itu zalim. Kezaliman itu membawa hukum haram.
4. Jauh daripada tiga perkara haram dalam kewangan iaitu riba, gharar (ketidaktentuan) dan juga maisir (perjudian).
Hukum bitcoin menurut ulama’
Pada umumnya, hukum bitcoin ini berlaku khilaf diantara ulama’ yang mana semua mempunyai pendapat dan sandaran masing-masing bagi menentukan hukum tersebut.
Namun dalam halnya yang demikian, majoriti pakar ilmu mengatakan ianya adalah haram dan segelintir sahaja yang mengatakan ia harus.
Pandangan Ulama Tentang Hukum Bitcoin |
Haram: Darul Iftaa’ Misriyyah, Syeikh ‘Ali Qaradaghi, Wifaq al-Ulama, Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah |
Harus: Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Dr. Zaharuddin & Mufti Muhammad Abu Bakar |
Tawaqquf: ISRA |
1. Fatwa yang mengatakan haram
Majlis Fatwa Mesir mengatakan yang hukum bitcoin adalah haram. Hal ini kerana, bitcoin mempunyai unsur riba, gharar dan maisir ketika berurusan dengan duit digital berkenaan.
Selain itu, ia juga tidak dikawal selia dan sangat berisiko untuk berlaku eksploitasi dan penipuan.
Kenyataan ini disokong oleh Sheikh Al-Qaradaghi yang berpendapat bitcoin haram kerana terdapat kesamaran yang besar padanya. Tidak pasti apa nilainya.
Setiap mata wang perlu diterima oleh seluruh masyarakat bagi menjadikannya sah untuk digunakan.
Apa yang berlaku di Malaysia, bitcoin tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia sendiri.
2. Fatwa yang mengatakan harus
Hal ini berbeza pula dengan pendapat dari Dr. Daud Bakar yang mengatakan bahawa bitcoin adalah harus.
Beliau berkeyakinan setiap perkara yang didakwa sebagai samar-samar dan nilai tidak stabil semua itu dikira sebagai normal.
Dalam kata lain, faktor tersebut tidak langsung mempunyai kaitan dengan hukum harus terhadap kripto.
Dalam masa yang sama juga, beliau menasihati semua pengguna agar bertanggungjawab dan amanah dalam menggunakan bitcoin ini agar segala transaksi boleh dibuat dengan patuh syariah.
Kesimpulannya, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa bitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam.
Justeru itu diputuskan bahawa bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara.
Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masa kini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai hukum bitcoin ini dapat memberikan sedikit pencerahan yang bermanfaat untuk jadikan rujukan dalam menjalankan urusan jual beli yang halal dan sah setiap hari.
Sumber:
- Bayan Linnas Siri Ke-153: Hukum Penggunaan Mata Wang Bitcoin. Mufti Wilayah Persekutuan
- How Does Bitcoin Mining Work? Investopedia