Cara Cuci Uri Dengan Kaedah Islam Untuk Panduan Bapa
Islam adalah agama yang sangat syumul dan meliputi semua perkara dalam kehidupan manusia meskipun bagi perkara kecil seperti isu penanaman uri dan cara cuci uri.
Sebagai satu persediaan penting untuk menyambut kelahiran sulung buat suami isteri, ini adalah perkara yang perlu anda pelajari.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan anda tentang cara cuci uri menggunakan kaedah Islam bagi panduan khusus bakal bapa.
Baca juga:
Penjelasan tentang uri dari sudut sains dan Islam
Dari sudut sains, uri juga dikenali sebagai plasenta. Ia adalah organ yang menghubungkan janin kepada ibu.
Tugasnya adalah untuk memindahkan oksigen dan nutrien kepada janin daripada ibu dan bahan buangan janin kepada ibu.
Apabila bayi lahir dan tali pusat dipotong, plasenta ini akan dikeluarkan dari tubuh kerana sudah tidak diperlukan lagi.
Uri dari pandangan Islam pula, adalah sesuatu yang suci, bukan najis dan tidak boleh dijual beli atu diperdagangkan kepada orang lain,
Justeru, inilah yang menyebabkan uri perlu diurus dengan baik dan ditanam selepas kelahiran bayi.
“Diriwayatkan daripada Aisyah R.A bahawa Nabi SAW telah menyuruh untuk menanam tujuh perkara daripada (anggota badan) manusia: rambut, kuku, darah, darah haid, gigi, uri dan kulup”,
(Rujuk Ar-Raafie, At-Tadwin fi Akhbar Qazwin).
Hukum menanam uri
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hukum menanam uri adalah harus.
Bahkan uri tersebut perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah bagi mengelakkan dari dimakan oleh haiwan.
Uri orang Islam juga tidak boleh dibakar atau dijual. Dalam prosuder kelahiran, mana-mana orang Islam yang melahirkan anak perlu membawa balik uri tersebut untuk ditanam di tempat masing-masing.
Cara cuci uri sehingga menanamnya
Berikut adalah cara cuci uri dan langkah menguruskannya yang tepat dan betul untuk panduan anda.
Perkara penting yang perlu anda anda dalam kaedah ini adalah:
- Uri
- Garam
- Asam jawa
- Kain putih
1. Mulakan dengan membaca “Bismillahirahmannirrahim”.
2. Curi sehingga bersih sehingga darah yang melekat pada uri hilang. Elakkan dari menggunakan bahan kimia seperti sabun atau syampu.
3. Kemudian, bilas dengan air bersih sambil berselawat dan doa yang baik-baik (untuk pastikan uri itu benar-benar bersih dan suci).
4. Cuci uri dengan garam. Lumurkan rata garam pada uri dan cuci sehingga bersih.
5. Seterusnya, cuci pula uri dengan menggunakan asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir darah. Hanyir darah akan mudah menarik deria binatang untuk menggali dan memakannya.
6. Perahkan pula limau pada uri untuk memberi bau yang segar dan harum.
7. Bungkuskan uri yang sudah dibersihkan dalma plastik atau bekas mudah reput. Ini penting bagi menghalang air basuhan bercampur darah daripada menitik merata-rata.
8. Sekiranya tidak mempunyai kain putih, uri boleh juga dibungkus menggunakan kain lain untuk menjadi seperti saiz sup bunjut.
Tujuan ini adalah untuk memudahkan anda membawanya ke tempat yang hendak ditanam. Jika perlu, anda juga boleh menanam sekali garam dan asam jawa bagi mengelakkan binatang liar ini menghidu bau uri tersebut.
9. Untuk proses menanam pula, anda perlu menggali tanah sedalam yang mungkin, kira-kira dua kaki untuk mengelakkan baunya mudah dikesan atau dikorek oleh haiwan.
10. Mulakan dengan lafaz “Bismillahirahmannirrahim” dan selawat ke atas Nabi Muhammad ketika meletakkan uri tersebut dalam tanah.
11. Timbus uri dan tanam di tempat yang selamat.
12. Boleh letakkan batu sebagai tanda bagi memastikan uri tidak digali oleh haiwan lain.
13. Proses cuci dan tanam uri selesai.
Amalan kurafat dalam menanam uri
Dalam amalan masyarakat Melayu, kita sering kali mendengar akan cara cuci uri dan tanam uri yang bercanggah dengan panduan yang telah ditetapkan oleh agama Islam.
Antara amalan kurafat yang dilakukan adalah seperti menanam uri dengan pensel dan buku agar anak bijak pandai kelak, menanam uri dengan lada hitam dan paku agar anak tidak di dekati makhluk halus, dan sebagainya.
Dalam hal ini, umat Islam mesti bijak dalam mengenal pasti antara adab menanam uri dengan kepercayaan khurafat.
Sekiranya adab yang ingin kita buat itu bersesuaian dengan Islam, maka ia adalah dibenarkan.
Contohnya, adab menanam uri anak di tempat yang baik dan selamat daripada dimakan oleh haiwan liar.
Sebaliknya, kepercayaan bersifat khurafat seperti yang disebut itu adalah perkara yang haram diikuti kerana ia bercanggah sepenuhnya dengan akidah dan syariat Islam.
Bahkan amalam kurafat salah satu dari dosa besar dijanjikan laknat Allah SWT di dunia dan akhirat jika tidak bertaubat.
Rasullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Jauhilah kamu dari tujuh dosa besar. Berkata sahabat: Apakah ianya Rasulullah SAW? Jawab Baginda Nabi SAW: Syirikkan Allah dan sihir." - (Hadis Riwayat Muslim)
Soalan lazim berkenaan uri bayi
Di bawah ini adalah beberapa persoalan yang ada kaitannya dengan cara cuci uri bayi yang berlaku dalam masyarakat
Umumnya, tiada hukum, nas atau hadis yang jelas mengenai cara menguruskan uri.
Cuma sesuautu anggota tubuh apabila tidak dikehendaki digalakkan supaya dipelihara dan dijaga dengan baik.
Haram hukumnya bagi orang Islam makan uri bayi yang kini menjadi trend baru dalam kalangan ibu di Amerika Syarikat.
Hukum melakukan rawatan kosmetik dengan menggunakan plasenta manusia adalah diharamkan bagi mengelakkan amalan eksploitasi yang mencabul kemuliaan tubuh badan manusia.
Namun demikian, bagi tujuan perubatan seperti bagi merawat penyakit, maka hukum merawat dengan menggunakan plasenta manusia adalah diharuskan kerana terdapat darurat dan hajat.
Kesimpulannya, sebagai orang Islam kita diharuskan untuk menanam uri bayi yang sudah dilahirkan. Dalam masa yang sama, keadah ini janganlah kita bercampur dengan amalan kurafat yang boleh menyesatkan diri sendiri.
Hakikat setiap uri itu perlu ditanam bagi memuliakan ciptaan Allah. Maka sebaiknya kita sempurnakan dengan penuh rasa kesyukuran.
Diharapkan semoga perkongsian artikel mengenai cara cuci uri bayi ini dapat memberikan bakal bapa di luar sana informasi yang bermanfaat dalam menimang cahaya mata.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-205: Hukum Menanam Uri Di Tempat Yang Tertentu. Mufti Wilayah Persekutuan
- Irsyad Al-Fatwa Sii Ke-281: Hukum Suntikan Kosmetik Menggunakan Plasenta. Mufti Wilayah Persekutuan