Tahnik Bayi: Maksud, Hukum & Cara Tahnik Bayi Baru Lahir
Antara salah satu amalan yang dilakukan di awal kelahiran mengikut panduan Islam dan sunnah adalah dengan melakukan tahnik bayi.
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda tentang cara melakukan tahnik kepada bayi yang baru dilahirkan.
Panduan ini diambil daripada pautan video Ustaz Don Daniyyal Don Biyajid.
Baca juga:
Maksud Tahnik
Tahnik dari segi bahasa membawa maksud lelangit.
Manakala, dari segi istilah pula adalah membawa maksud membelah mulut bayi dengan buah tamar yang dikunyah dan digosokkan ke lelangit bayi tersebut, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perutnya.
Amalan ini telah dilakukan oleh Rasulullah SAW pada suatu ketika dahulu ketika ada seorang bayi yang baru lahir ke dunia sebelum hari yang ketujuh usianya.
Buah tamar yang dimasukkan ke dalam mulut bayi itu akan direndamkan dalam air zam-zam terlebih dahulu kemudian barulah dilakukan tahnik.
Sunat mentahnik bayi dengan menggunakan buah tamar sama ada bayi tersebut lelaki atau perempuan. Jika tidak ada tamar, maka gunakanlah sesuatu yang manis.
Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik RA, katanya:
ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ” هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ” . فَقُلْتُ نَعَمْ . فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ ” . وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ
Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak.
Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda.
Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut.
Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”
Berdasarkan daripada keterangan tersebut hal ini dapat menyatakan bahawa bayi yang baru lahir sunat dibawa untuk menemui orang-orang dari kalangan soleh dan bertakwa.
Kemudian, meminta dan mentahniknya dan mendoakannya supaya beroleh keberkatan dan kebajikan keatasnya.
Had Umur Tahnik Bayi
Secara asasnya bayi disunatkan untuk tahnik adalah sebaik-baiknya adalah pada seawal usia dia dilahirkan iaitu setelah selesai membersihkan tubuh badan bayi tersebut.
Itu adalah waktu yang paling afdal. Sekiranya tidak mampu melakukan pada waktu tersebut, boleh dilakukan sebelum hari ketujuh usianya.
Berkaitan perkara tersebut, bahawasanya hal ini, Imam al-Nawawi juga telah menyebutkan perkara ini dalam syarah Muslim:
أنَّ تحنيك المولودِ يومَ ولادته سُنَّةٌ بالإجماع، ويحنِّكُه صالحٌ مِن رجلٍ أو امرأةٍ، ويُسْتَحَبُّ التحنيكُ بالتمر
“Bahawasanya amalan tahnik bayi pada hari kelahirannya hukumnya adalah sunat secara ijma’ dan hendaklah ditahnikkan bayi tersebut dengan seorang lelaki soleh atau perempuan yang solehah. Disunatkan digunakan tamar untuk bertahnik.” – (Rujuk Syarh al-Minhaj ‘ala Sahih Muslim)
Hukum Tahnik Bayi
Hukum mentahnik bayi adalah merupakan perkara sunnah. Perkara ini dapat dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Katanya:
Adapun berkaitan hukum hakam yang terdapat di dalam hadis ini, terdapatnya hukum sunat mentahnikkan anak yang baru lahir.
Juga berkaitan keharusan mengambil berkat daripada orang yang soleh dan baik. Di dalam hadis itu juga terdapat hukum sunatnya membawa kanak-kanak menemui orang yang soleh untuk bertabarruk dengan mereka.” – (Rujuk Syarh Sahih Muslim (14/143)
Merujuk daripada perkara di atas dapatlah kita fahami bahawa hukum mentahnik bayi adalah sunat.
Kerana amalan ini bukanlah asing lagi dalam kalangan orang Arab pada ketika itu.
Bahkan tahnik bayi ini merupakan sesuatan amalan yang masyhur dalam kalangan sabahabat juga.
Di dalam satu kisah yang telah diceritakan oleh Asma’ ketika mana dia mengandungkan Abdullah Bin Zubair katanya:
“Aku keluar dan pada ketika aku dah hampir melahirkan. Aku singgah di Quba dan aku telah melahirkan anak di Quba.
Kemudian aku pergi menemui Rasulullah SAW. Lalu aku meletakkan anakku di bilik Baginda. Kemudian Baginda memohon untuk dibawakan tamar. Lantas Baginda mengunyah tamar tersebut kemudian meludah kunyahan tersebut di mulutnya.
Benda pertama yang masuk ke tubuhnya ialah air liur Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya mentahnikkan dengan sebiji tamar dan memberkatinya.
Anak aku adalah bayi yang pertama yang dilahirkan pada zaman Islam (iaitu anak kaum muhajirin yang pertama dilahirkan selepas hijrah).”
Jadi disini dapat dilihat bahawa, amalan tahnik bayi ini merupakan satu amalan kebiasaan yang dilakukan oleh para sahabat.
Tahnik bayi ini juga selalu disebut sebagai membelah mulut bayi. Memang itulah signifikannya. Mulut bayi itu patut dibelah supaya mudah untuk bayi tersebut melakukan hal-hal lain.
Cara Tahnik Bayi Baru Lahir
Cara Tahnik bayi ini diambil oleh pautan video yang dikongsikan oleh Ustaz Don Daniyyal Don Biyajid yang boleh dijadikan sebagai salah satu panduan oleh bapa-bapa muda diluar sana.
Berikut merupakan cara bagi menjadikan panduan kepada bapa-bapa diluar sana untuk melakukan tahnik bayi selepas sahaja dilahirkan.
Langkah 1- Sediakan Kurma
Sediakan kurma (ajwah terbaik) dan air zamzam
Langkah 2- Istigfar
Istigfar (agar Allah ampun dosa kita (bapak), dan nanti nak berdoa semoga mudah Allah kabul)
Langkah 3- Baca Al-Fatihah
Mula dengan membacakan Surah Al-Fatihah
Langkah 4- Baca ayat Kursi
Kemudian, membaca ayat kursi ( boleh mula dengan بسم الله الرحمن الرحيم atau terus sahaja membaca ayat kursi tersebut)
Langkah 5- Selawat Syifa & Selawat Kamilah
Selawat Syifa
Selawat Kamilah
Langkah 6- Membaca Surah 3 Qul.
Dimulakan dengan membaca surah al-Ikhlas.
Kemudian, membaca surah al-Falaq
Akhir sekali, membaca surah an-Nas
Langkah 7- Masukkan kurma ke dalam mulut bayi
Ambil kurma. Kemudian kunyah sampai lempai lembik. Kemuadian ambik dengan jari kurma tersebut, kalau takut, pakai jari kelingking kecik sikit.
Biasanya jari telunjuk. Masukkan kurma yang telah dikunyah sehingga lembik tadi ke dalam mulut baby. (rujuk video yang telah disediakan).
Langkah 8- Membaca Surah ali-Imran ayat 33-37
Sambil jadi dalam mulut, bacakan ayat 33-37 Surah Ali Imran.
Langkah 9- Suap air zamzam
Cabut jari. Kemudian suapkan air zamzam sambil bacakan doa yang telah dibaca oleh Ustaz Don Daniyyal Don Biyajid melalui video yang telah disediakan. Itu adalah sebuah doa dari arwah TG Dato Haron Din. Doa tersebut ada di dalam video.
Langkah 10- Baca doa
Pada bahagian doa ini boleh dibaca apa-apa sahaja doa daripada seorang bapa. Tak kisah apa sahaja bahasa yang digunakan. Semua Allah faham.
Yang penting adalah, keikhlasan hati seorang bapa yang mendoakan anaknya.
Doalah dengan penuh:
- iklas
- tawadhuq
- berharap Allah mendengarkan setiap doa yang dihajati dan perkenankan.
Hikmah
Amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan saraf mulut bagi mempersiapkan bayi berkenaan untuk menghisap susu dengan sempurna.
Mulut bayi itu patut dibelah sipaya mudah untuk bayi tersebut melakukan hal-hal lain.
Seandainya kurma sukar didapati, bolehlah digantikan dengan manisan lain seperti gula dan madu lebah.
Kesimpulan
Tahnik bayi adalah sesuatu perkara sunnah yang telah dilakukan oleh para sahabat lagi. Perkara ini tidaklah sampai ke tahap wajib dilaksanakan.
Dan jika seseorang itu meninggalkan perkara tersebut tidaklah dikira sebagai berdosa.
Maka, sebaik-baiknya orang mentahnik itu adalah tergolong daripada golongan orang yang berilmu dan soleh.
Semoga dengan cara tahnik bayi yang diberikan dapat memberikan manfaat kepada bapa-bapa muda di luar sana supaya dapat menambahkan ilmu.
Rujukan:
- Al-Kafi #935: Adakah Tahnik Bayi Itu Wajib? Mufti Wilayah Persekutuan
- Al-Kafi #367: Kaedah Tahnik Bayi Yang Baru Lahir. Mufti Wilayah Persekutuan
- Al- Kafi #1577: Had Umur Tahnik Bayi. Mufti Wilayah Persekutuan