10 Adab Menziarahi Orang Sakit Yang Anda Perlu Tahu
Adab menziarahi orang sakit adalah serangkaian tata cara dan sikap yang dianjurkan dalam Islam ketika mengunjungi orang yang sedang sakit sama ada di hospital, rumah atau di mana-mana sahaja.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan beberapa adab menziarahi orang sakit yang boleh anda praktikkan.
Baca juga:
Terdapat beberapa adab menziarahi orang sakit yang boleh anda amalkan. Antara adabnya adalah seperti:
1. Niat ziarah untuk ikut sunnah
Dalam apa jua perkara yang kita buat, pastikan niat kita bersih, suci dan ikhlas hanya kerana Allah dan mahu mengikuti sunnah Rasulullah SAW.
Sama juga dalam halnya menziarahi orang sakit ini. Kita juga perlu ikhlas dalam melakukannya semata-mata kerana Allah.
Hal ini kerana niat adalah merupakan asas atau kayu ukur bagi sesuatu amalan yang dilakukan dan niat itu perlulah diniatkan hanya kepada Allah SWT.
2. Jangan ziarah terlalu lama
Konsep ziarah orang sakit adalah dengan tujuan untuk melihat keadaan mereka atas rasa keprihatinan sesama manusia.
Justeru, janganlah kita melanggar dari norma yang sepatutnya. Perlu ada sikap bertimbang rasa dan memahami akan situasi dan keadaan yang berlaku.
Sesuaikan waktu ziarah, dan memendekkan masa lawatan agar pesakit dapat berehat.
Jangan lupa juga untuk maklumkan atau minta izin terlebih dahulu bila kita akan datang untuk melawat agar tidak menganggu waktu rehat pesakit.
3. Menjarakkan waktu ziarah
Sungguhpun amalan ziarah orang sakit ini amalan yang mulia, namun kita tidak disarankan untuk menziarahi mereka setiap masa kecuali kita adalah ahli keluarga pesakit sendiri.
Kerana dikhuatiri, kehadiran kita sebaliknya membuatkan pesakit bertambah tertekan disebabkan keadaan mereka.
Elakkan juga dari menziarahi pesakit jika anda tidak sihat.
4. Memberikan kata-kata nasihat dan semangat
Berikan ucapan yang baik-baik dan kata-kata semangat yang boleh menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit.
Elakkan dari menangis di depan pesakit atau menyebut penyakit orang lain yang sama atau seumpama penyakitnya hingga menyebabkan kematian.
Ini mungkin akan menyakitkan hati orang yang kita ziarahi itu.
5. Berkata dengan suara yang lembut dan perlahan
Emosi manusia sangat sensitif ketika sakit. Justeru, berkatalah dengan suara yang lembut dan perlahan agar ia boleh mententeramkan hati yang mendengar.
6. Mendoakan orang yang sakit agar cepat sembuh
Kita disunatkan untuk mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan orang yang sedang sakit. Hal ini berdasarkan hadis daripada Ummu Salamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيضَ، أَوِ الْمَيِّتَ، فَقُولُوا خَيْرًا، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ
Maksudnya: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, atau orang mati maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Antara doa yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:
Doa 1
أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
Azhibil ba’s rabbannas, washfi anta shafi, la shifa a illa shifauk, shifa alla yughodiru saqoma
“Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit.”
Doa 2
ﻻ ﺑَﺄْﺱَ ﻃَﻬُﻮْﺭٌ ﺇِﻥْ ﺷَﺎﺀَ ﺍﻟﻠﻪُ
Laa ba’ sa thahuurun insyaaallah
“Tidak mengapa, semoga sakitmu ini membersihkanmu dari dosa-dosa, insyaallah."
Doa 3
أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ ، أَنْ يُعَافِيَكَ وَيَشْفِيَكَ
As alullaahal ‘azhiim Rabbal ‘arsyil ‘azhiim an yasyfiyaka
“Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi ‘arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu.”
7. Meletakkan tapak tangan di tempat yang sakit
Perbuatan meletakkan tapak tangan di tempat yang sakit adalah sunnah. Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:
Adalah Rasulullah SAW apabila menziarahi pesakit lantas dia memohon perlindungan kepada sebahagian mereka dengan menyapu dengan tangan kanannya seraya berdoa:
“Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, No, 5750 dan Muslim, No. 2191)
Disunatkan juga untuk duduk berdekatan dengan kepala pesakit bagi memudahkan komunikasi.
8. Tanyakan keperluan pesakit
Anda boleh tanyakan keperluan pesakit kepada ahli keluarganya. Jika anda berkemampuan untuk tunaikan, ia justeru akan meringankan beban mereka yang menjaga pesakit.
9. Bawa buah tangan yang bersesuaian
Buah tangan untuk pesakit bukanlah wajib sebenarnya, tetapi ia sekadar adab yang biasa dilakukan oleh kebanyakkan masyarakat kita.
Buah tangan adalah sebagai tanda ingatan semasa menziarahi orang sakit.
10. Menjaga aurat dan batasan pergaulan
Walaupun anda menziarahi orang yang sakit, dari segi batas aurat dan pergaulan ia tetap wajib untuk dipatuhi.
Pakailah pakaian yang sopan dan menutup aurat ketika berziarah. Sekiranya individu yang anda ziarah itu berlawanan jantina dengan anda, jaga pandangan mata agar terpelihara syahwat.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan adab menziarahi orang sakit dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Adab Menziarahi Orang Sakit. Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan
- Sunnah Ucapan Ketika Menziarahi Orang Sakit. Mufti Perlis