Talak Bain: Maksud, Jenis dan Hukum Menggunakan Cina Buta
Talak bain adalah salah satu dari cabang talak yang ada dalam sebuah perkahwinan.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan talak bain yang perlu anda ketahui.
Baca juga:
Apa itu talak bain?
Talak bain adalah talak yang tidak membolehkan suami rujuk isterinya walaupun dalam tempoh edah.
Hal ini seperti mana yang difirmankan oleh Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 229 yang bermaksud:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
Justeru, sekiranya suami menceraikan isteri selepas talak yang kedua, Maka akan berlaku talak 3.
Begitu juga, jika suami menceraikan isteri dengan sekali lafaz yang jelas dengan talak 3 maka tersabit talak tersebut dalam perkahwinannya.
Talak jenis ini dibahagikan kepada dua talak bain sughra dan bain kubro.
Jenis talak bain
1. Talak bain sughro
Bain sugra adalah talak yang memerlukan seorang suami mengakad semula akad nikah dengan isterinya jika suami mahu kembali hidup bersama dengan bekas isterinya.
Talak yang termasuk dalam kategori ini adalah cerai secara fasakh dan cerai khuluk atau tebus talak.
Pada talak ini, suami tidak boleh merujuk isteri kecuali dengan akad dan mahar yang baru. Berbeza dengan talak raj’ie (tidak memerlukan akad dan mahar baru).
Talak jenis ini merangkumi:
- Khuluk’
- Fasakh
- Ila’
- Talak raj’ie yang tamat tempoh iddahnya
- Talak sebelum bersetubuh
2. Talak bain kubro
Bain kubro ialah cerai talak tiga atau talak ketiga dengan suami hanya boleh menikahi semula bekas isteri selepas ia bernikah dengan suami kedua, bersetubuh dan berlaku perceraian seterusnya menjalani edah.
Suami pertama dibolehkan menikahi bekas isterinya dengan akad baru.
Talak yang tidak membolehkan pasangan bernikah selama-lamanya ialah perceraian yang berlaku disebabkan lian atau sumpah dibuat suami terhadap isteri yang dituduh berzina atauapabila suami menafikan anak yang dikandung isteri zuriatnya.
Dalam talak ini, suami tidak boleh merujuk isteri melainkan isteri kahwin lain dan wajib bersetubuh dengan suami barunya itu untuk bekas suaminya merujuk kembali.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 230 yang bermaksud:
فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلاَ تَحِل لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّى تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ
Maksudnya: “Kemudian jika suami menalaknya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia berkahwin bersama suami yang lain.”
Sabda Nabi SAW:
أَنَّ رَجُلاً، طَلَّقَ امْرَأَتَهُ ثَلاَثًا، فَتَزَوَّجَتْ فَطَلَّقَ فَسُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَتَحِلُّ لِلأَوَّلِ قَالَ “ لاَ، حَتَّى يَذُوقَ عُسَيْلَتَهَا كَمَا ذَاقَ الأَوَّلُ
Maksudnya: “Seorang lelaki menceraikan isterinya dengan talak 3, kemudian bekas isterinya menikahi seorang lelaki yang lain lalu diceraikan juga olehnya. Nabi SAW ditanya, adakah halal atau tidak jika wanita itu bernikah bersama bekas suaminya yang pertama, lalu Nabi SAW menjawab, tidak, dia tidak boleh bernikah bersama suami yang pertama sehingga suami kedua merasakan manisnya madu sepertimana suami pertama merasai (sehingga suami kedua melakukan hubungan intim bersama).”
Riwayat Bukhari (5261)
Namun begitu, halal bagi bekas suami untuk menikah kembali dengan bekas isteri jika sekiraya telah melalui beberapa prosuder tersebut:
- Iddah bersama bekas suami yang menceraikan isterinya telah tamat.
- Selepas selesai iddah, bekas isteri perlu berkahwin bersama lelaki lain dengan akad yang sah.
- Bekas isteri melakukan hubungan intim bersama suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.
- Bercerai bersama suami baru.
- Iddahnya dengan suami baru telah selesai. Maka selepas daripada itu, bekas suaminya boleh bernikah semula dengan akad yang baru bersama bekas isterinya.
Maksud nikah tahlil / muhallil
Nikah tahlil / muhallil atau cina buta adalah pernikahan bersama suami baru yang bertujuan untuk menghalalkan bekas isteri yang ditalak tiga oleh bekas suami dengan syarat dan peraturan yang telah dipersetujui.
Di Malaysia, nikah tahlik atau mutahil lebih dikenali dengan panggilan cina buta.
Cina buta ialah seorang lelaki yang menikahi perempuan yang bercerai talak tiga dengan suaminya, kemudian menceraikan perempuan itu supaya perempuan itu boleh berkahwin semula dengan bekas suaminya.
Tujuan nikah ini adalah untuk berlakunya pernikahan bersama suami baru yang bertujuan untuk menghalalkan bekas isteri yang ditalak tiga.
Contohnya seperti berikut:
- Suami baru tidak dibenarkan untuk melakukan hubungan intim atau suami baru ketika akad perlu melafazkan ta’liq seperti sekiranya beliau melakukan hubungan intim bersama isteri, secara langsung akan terjatuh talak 3.
- Perkahwinan baru itu telah ditentukan waktu atau kontrak, setelah tamat waktu maka suami perlu menceraikkan isterinya.
- Sejumlah wang telah ditetapkan kepada suami baru bagi menceraikan isterinya supaya bekas suami boleh bernikah semula.
Hukum guna cina buta untuk rujuk kembali
Mengikut jumhur ulama’ Syafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi menyatakan bahawa nikah tahlil / muhallil atau cina buta ini adalah pernikahan yang tidak sempurna atau tidak mencukupi satu atau lebih syarat daripada syarat pada rukun nikah, kerana itu nikah ini tidak sah dan ia merupakan nikah fasid atau nikah batil.
Nabi SAW juga melaknat akan pernikahan menggunakan cina buta ini. Sabda Nabi SAW:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُحِلَّ وَالْمُحَلَّلَ لَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan.”
Riwayat Tirmizi (1120). Abu Isa menyatakan bahawa hadith ini adalah hasan sahih.
Kesimpulannya, pasangan suami isteri haruslah sentiasa berhati-hati dalam berhadapan dengan konflik rumah tangga dan elak dari berlaku penceraian.
Sekiranya perlunya penceraian sekalipun, bertindahlah dengan penuh wajar dan rasional agar kita tidak menyesal di kemudian hari.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan talak bain dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- #1407: Rujuk Selepas Pernikahan Menggunakan Cina Buta. Maktabah Al Bakri
- Al-Kafi #1464: Apakah Maksud Nikah Tahlil / Muhallil? Mufti Wilayah Persekutuan