Maksud, Jenis dan Cara Menyucikan Najis Mutawassitah Yang Betul

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan dalam kehidupan. Apakah itu yang dimaksudkan dengan jenis najis dan cara menyucikan najis mutawassitah?

Artikel pada kali in kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan cara menyucikan najis mutawassitah dan huraian lengkap mengenainya.

Baca juga:

Apa itu najis?

Najis dari segi perspektif Islam didefinisikan sebagai tiap-tiap benda yang kotor iaitu tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian, dan tempat ia mengerjakan solat.

Najis ini pula terbahagi kepada tiga iaitu najis mughallazah, najis mutawassitah, dan najis mukhaffafah.

Maksud najis mutawassitah

Najis mutawassitah ialah najis pertengahan atau najis sederhana, iaitu segala sesuatu yang keluar dari dubur / qubul manusia atau binatang, cecair yang memabukkan, bangkai (kecuali bangkai manusia, ikan dan belalang), serta susu, tulang, dan bulu dari haiwan yang haram dimakan.

Contoh najis mutawassitah

Contoh najis mutawassitah adalah seperti yang berikut:

  • Darah
  • Nanah
  • Muntah
  • Tahi
  • Air kencing
  • Wadi
  • Bangkai
  • Mazi
  • Arak

Contoh najis mutawassitah (hukmiyyah

Mengenai najis Mutawassitah Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية).

Hukmiyyah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan juga warna.

Antara contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. 

Contoh najis mutawassitah (‘ainiyyah

Manakala ‘ainiyyah pula ialah  najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna.

Contohnya seperti kotoran atau najis manusia atau binatang.

Cara menyucikan najis mutawassitah

Cara membersihkan Hukmiyyah adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut.

Cara membersihkan ‘ainiyyah ialah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna).

Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Namun ia sunat untuk membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Bagaimana jika najis tetap tidak bersih?

Ada kalanya terdapat kesukaran untuk kita membersihkan najis serta kotoran yang melekat pada pakaian, lantai atau sebagainya.

Dalam hal ini perkara yang perlu kita perhatikan adalah sama ada masih terdapat sifat najis itu sendiri iaitu bau dan warna ataupun tidak.

Sekiranya terdapat kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, adalah tidak wajib bagi kita menghilangkannya, dan ia dikira sebagai suci.

Namun, sekiranya masih terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut.

Hal ini kerana ia adalah merupakan bukti yang kuat bahawa ‘ain najis tersebut masih ada sepertimana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. 

cara menyucikan najis mutawassitah

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Dan sekiranya masih belum lagi hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga.

Dan bahkan dengan mengikis atau menggosok sebanyak 3 kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain.

Manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu.

Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).

Hukum bagi najis yang susah dibersihkan

Hukum bagi najis yang sukar untuk dibersihkan, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya.

Namun sekiranya, anda mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk anda menghilangkannya.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan cara menyucikan najis mutawassitah dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. #713 Cara Membersihkan Najis Mutawassitah. Maktabah Al Bakri
  2. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-416: Cara Membersihkan Air Kencing Di Atas Tilam Tebal dan Berat. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.