Restoran Mamak Muslim, Tips Pilih Yang Halal!

Restoran Mamak Muslim atau Restoran Mamak Bukan Muslim? Isu ini sering kali membuatkan kita keliru dalam memastikan Restoran Mamak yang mana satu menyajikan makanan halal dan bersih untuk dimakan khususnya kepada orang Islam.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan cara pilih Restoran Mamak Muslim yang halal untuk kita datangi.

Baca juga:

Kewajipan mencari makanan yang halal

restoran mamak muslim

Makanan adalah keperluan asas bagi setiap makhluk bernyawa untuk meneruskan kehidupan khasnya manusia.

Makanan bermaksud bahan seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang digunakan oleh makhluk hidup untuk membekalkan tenaga dan nutrisi.

Dalam Bahasa Arab, makanan disebut sebagai at’imah, iaitu kata jamak kepada ta’a, yang memberi pengertian segala yang dimakan bagi mendapatkan kekuatan badan.

Konsep makanan dan minuman di dalam Islam menggariskan konsep halal dan haram makanan dan minuman yang diambil.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa-apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Ia bertujuan untuk menjaga lima perkara asas bagi umat Islam iaitu memelihara agama, memelihara akal, memelihara nyawa, memelihara harta, memelihara keturunan, dan mengekalkan integrasi serta maruah.

Ciri-ciri makanan halal

Konsep makanan dalam Islam adalah halalan toyyiban. Menurut Ibnu Kathir dan As-Sabuni (ulama tafsir), halal merujuk kepada apa yang dihalal oleh Allah SWT.

Manakala toyyiban ialah sesuatu yang dihalalkan dan diambil mengikut keadaan kesihatan seseorang.

Berikut adalah antara ciri-ciri makanan halalan toyyiban:

  • Memilih makanan yang halal yang mana ianya bersih dari segi rupa, bau, dan zatnya.
  • Makanan yang berbentuk daging mestilah melalui penyembelihan yang sah dan tepat.
  • Pemilihan makanan yang berkhasiat segar dan baru.
Perihal Makan Di Luar Negara Yang Sumber Halalnya Terhad | Tanyalah Ustaz

Ciri-ciri Restoran Mamak Muslim

restoran mamak muslim

1. Restoran Hindu tutup ketika cuti Deepavali

Jika orang Islam biasanya akan tutup kedai ketika Hari Raya Aidilfitri, orang Cina tutup ketika musim Tahun Baru Cina, masyarakat Hindu pula akan tutup ketika Deepavali.

Walaupun biasanya kita lihat dari pekerja dan pemilik restoran tersebut memakai kopiah dan bergaya seperti orang Muslim, itu tidak bermakna mereka menganut agama Islam.

Hal ini kerana banyak berlaku pekerja yang menyamar dan memberi persepsi bahawa mereka Muslim.

2. Ada daging lembu atau tidak?

Kemudian, anda boleh mengenal pasti sama ada Restoran Mamak Muslim atau tidak dengan memeriksa hidangan daging lembu.

Restoran Mamak Muslim biasanya ada menyediakan masakan daging lembu. Sebaliknya, Restoran Hindu atau mamak tiruan tidak menghidangkan masakan daripada haiwan suci mereka.

3. Berikan salam dengan lafaz “Assalamualaikum”

Biasakan beri salam kepada pekerja atau tauke restoran sebaik sahaja masuk ke dalam restoran.

Cara ini paling ampuh berbanding cara-cara lain. Ini kerana memang mustahil orang Islam tidak boleh menjawab salam.

Ada juga kadang-kadang tauke Muslim tetapi pekerja non-Muslim. Ada sesetengah restoran Mamak yang terkenal tetapi pekerja mereka gagal apabila kita gunakan “test” ini.

Apa isu yang ingin diketengahkan di sini, bukanlah tentang restoran Muslim menggunakan pekerja Muslim atau bukan Muslim.

Sebaliknya, isu di mana orang Hindu yang menyamar atau memberi persepsi sebagai Mamak Muslim, tidak kira sama ada tauke atau pekerja sehingga mengelirukan pembeli Muslim.

4. Tutup waktu solat Jumaat

Restoran Mamak Muslim juga akan tutup biasanya apabila waktu solat Jumaat. Bahkan ada kalanya turut disediakan tempat solat atau surau untuk pelanggan.

5. Jangan mudah terpengaruh dengan poster atau tulisan jawi

Ini selalu berlaku pada kita ketika masuk ke mana-mana kedai atau restoran. Nampak sahaja tulisan jawi, ayat-ayat Al-Quran, gambar masjid, gambar Mekah atau sebagainya terus letak perspektif yang restoran tersebut Muslim.

Disebalik semuanya itu, ia hanya dilakukan untuk mempengaruhi anda dan biasanya dijadikan hiasan untuk menarik pelanggan Muslim datang ke restoran.

6. Buat semakan dalam portal PRESMA

Cara yang berikutnya boleh anda buat untuk tentukan sama ada restoran mamak tersebut Muslim atau tidak adalah dengan membuat semakan dalam portal PRESMA.

PRESMA adalah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia yang ditubuhkan untuk mewakili pengusaha pengusaha industri pemakanan Muslim di Malaysia.

Persatuan ini dipelopori oleh para pengusaha restoran Mamak Muslim.

Justeru, untuk anda memastikan sama ada ia Muslim atau tidak, anda boleh dapatkan infonya di laman web rasmi PRESMA: https://presma.com.my/

Hukum makan makanan syubhah

Makanan syubhah adalah makanan yang diragui status halal dan haramnya.

Sekiranya umat Islam telah memakan sesuatu yang dianggap halal sebelum timbul isu syubhah, maka hukumnya adalah dimaafkan.

Perkara ini berlandaskan dalil-dalil syarak yang memberikan hukum berdasarkan kepada keadaan asalnya iaitu halal sehingga terdapat bukti yang mengubahnya dan memberikan keuzuran dan keringanan dalam perkara yang tidak disengajakan dengan syarat penelitian melalui logo halal pada paket pembungkus sudah dilakukan terlebih dahulu.

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/450) menyebutkan sebuah hadis masyhur, 

رُفِعَ عَنْ أُمَّتِيْ الخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ

Maksudnya“Telah diangkat (diampunkan) dalam kalangan umatku yang tersalah, terlupa dan dipaksa”. – (Imam al-Nawawi menghukum hadis ini sebagai sahih)

Namun sebaiknya jika meragui hukum halal makanan tersebut adalah lebih baik untuk meninggalkannya daripada terjatuh ke dalam hukum haram jika diambil.

Kesan makan makanan yang tidak halal

Antara kesan apabila seseorang itu mengambil sambil lewa dengan apa yang di makan sehingga memakan makanan yang haram adalah akan menyebabkan:

  • Hati tertutup daripada menerima hidayah Allah SWT
  • Ibadah yang dikerjakan adalah sia-sia
  • Mudah dihasut syaitan untuk melakukan maksiat
  • Dilaknat oleh Allah dan diazab di akhirat kelak
  • Susah menerima ilmu pengetahuan
  • Memudaratkan kesihatan badan dan akal fikiran
Kesan Jangka Masa Panjang Makanan Haram | Ustaz Shahul Hamid

Diharapkan perkongsian kami ini berkenaan dengan ciri Restoran Mamak Muslim dapat memudahkan anda memilih tempat makan halal dan toyyib dengan lebih mudah.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-538: Hukum Memakan Daging Yang Disangkakan Halal Kemudian Berlaku Syubhah. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Ciri-Ciri Restoran Mamak Muslim. Afyan Mat Rawi
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.