6 Kelebihan Air Zamzam dan Khasiat Kepada Kesihatan

Apakah kelebihan air zamzam yang boleh anda dapatkan setiap kali minum air ini?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan kelebihan air zamzam yang boleh anda dapatkan khususnya dari segi kesihatan.

Baca juga:

Apa itu air zamzam?

Zamzam berasal dari perkataan bahasa Arab yang bermaksud banyak atau melimpah.

Dari segi syariat, zamzam bermaksud air yang berasal daripada telaga Zamzam yang terletak berhampiran Ka’abah, berjarak sekitar 38 hasta.

Ia dinamakan zamzam seiring dengan ciri-cirinya yang mempunyai air dari telaga yang sangat banyak dan berlimpah. 

Selain zamzam, ia juga dipanggil dengan nama lain seperti barrah (kebaikan), madhmunah (yang berharga), taktumu (yang tersembunyi), hazmah Jibril (galian Jibril), syifa’ suqim (ubat penyakit), syarab al-abrar (minuman orang-orang baik), tayyibah (yang baik).

Hadis tentang air zamzam

Khasiat bergantung niat dan tujuan

Daripada Jabir bin Abdillah RA telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ

Maksudnya: “Air Zamzam bergantung pada tujuan apa diminumnya. – (Hadis Riwayat Ibn Majah, No. 3062), Ahmad, No. 14849), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, No. 9442).

Sebaik-baik air di muka bumi

Dari Ibnu Abbas RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik air yang ada di atas muka bumi ini adalah air Zam-zam. Di dalamnya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penyembuh terhadap segala penyakit.”

(Hadis Riwayat al-Thabarany dalam al-Awsath (4/179) dan al-Kabir (11/98), no. 11167. Dihasankan oleh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib (2/40) no. 116)

Air yang diberkahi

Hadis Abu Dzar RA ia berkata: Rasulullah SAW bersabda tentang air zam zam:

Maksudnya: “Sesungguhnya ia adalah sesuatu yang diberkahi.” – (Hadis Riwayat Muslim (4/1922), no. 2437)

Ubat dari segala penyakit

Diriwayatkan dari Aisyah radhiyallahu anha, bahwa ia mengatakan:

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengambil air zam-zam di dalam bejana-bejana dan gerabah, lalu beliau menyiramkannya kepada orang-orang sakit dan memberi mereka minum.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

خَيرُ ماءٍ على وجْهِ الأرضِ ماءُ زَمْزَمَ ، فِيه طعامٌ من الطُّعْمِ ، و شِفاءٌ من السُّقْمِ

Maksudnya: “Sebaik-baik makanan yang ada di permukaan bumi adalah air zam zam. Di dalamnya terdapat makanan dari segala makanan dan ubat dari segala penyakit.”

(Diriwayatkan oleh Al-Faakihy dalam Akhbaar Al-makkah [1106], Ath-Thobrani [11/98], serta yang lainnya).

Kisah air zamzam

Asal usul air zam zam ini adalah bermula pada zaman Nabi Ismail AS ketika baginda ditinggalkan bersama ibunya Hajar oleh Nabi Ibrahim AS atas perintah Allah.  

Kisah ini diceritakan dari Sahih Al-Bukhari, daripada Abdullah bin Abbas RA:

Maksudnya: “Ibu Ismail menyusukan anaknya (Ismail) dan meminum daripada air yang ada sehingga akhirnya air tersebut habis. Dia (Hajar) dan juga anaknya merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air).

Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan.

Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya.

Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun.

Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Shafa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana?

Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali. Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW:

“Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”.

Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”.

Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata:

“Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”.

Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam.

Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar.”

Kelebihan air zamzam

Air zamzam ini begitu istimewa bagi setiap manusia. Antara kelebihan air zamzam yang boleh anda dapatkan adalah seperti:

  • Air zamzam adalah sebaik-baik air di muka bumi dan menjadi penghulu kepada semua air.
  • Merupakan mata air syurga.
  • Air yang berasal dari kurniaan Allah yang utama kepada kekasih Nya iaitu Nabi Ismail AS.
  • Sebagai tanda yang nyata akan kemuliaan tanah haram Makkah.
  • Allah SWT telah menjadikan air zamzam yang berkat ini sebagai antara penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah.
  • Banyak meminum air Zamzam merupakan sebahagian daripada tanda keimanan dan tanda kebebasan daripada sifat munafiq.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan kelebihan air zam zam dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. #37: Kelebihan Air Zamzam dan Hadith Tentangnya. Maktabah Al Bakri
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-125: Ait Zam Zam. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.