Cara Samak Najis Berat Dengan Mudah & Betul Mengikut Hadis

Perihal kebersihan dan Islam adalah perkara yang tidak boleh dipisahkan di mana kedua-duanya saling berkait rapat. Misalnya Islam mengajar kita tentang cara samak yang betul untuk mensucikan kulit haiwan dengan cara tertentu.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan panduan cara samak yang betul dan faedahnya kepada umat Islam.

Pengertian samak dalam Islam

cara samak

Samak adalah menyuci kulit binatang selain daripada kulit anjing dan khinzir dengan cara yang tertentu.

Kulit ini sebelumnya adalah haram namun ia disucikan agar menjadi halal dan tidak najis untuk digunakan oleh umat Islam.

Alat untuk menyamak kulit binatang adalah alat yang boleh menanggalkan lendir dan darah yang melekat pada kulit seperti kapur, sirih, bahan kimia, kulit kayu, dan sebagainya.

Dalil tentang samak

Berkenaan samak dalam Islam ada dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW bersabda :

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya :” Jika disamak kulit maka ia menjadi bersih.” - (Hadis Riwayat Muslim, No. 838)

Selain itu, dalam satu riwayat yang lain juga,  Ibnu Abbas pernah menyebut:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مَرَّ بِشَاةٍ مَطْرُوحَةٍ أُعْطِيَتْهَا مَوْلاَةٌ لِمَيْمُونَةَ مِنَ الصَّدَقَةِ فَقَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- أَلاَّ أَخَذُوا إِهَابَهَا فَدَبَغُوهُ فَانْتَفَعُوا بِهِ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah pernah melalui satu kawasan yang mana ada seekor kambing yang dibuang. Ia diberikan oleh hamba kepada Maimunah yang diperoleh daripada sedekah. Maka Nabi SAW bersabda : Adakah kamu tidak mahu mengambil kulitnya. Kemudian mereka menyamak kulit tersebut dan mengambil manfaat daripadanya." - (Hadis Riwayat Muslim, No. 835)

Beza samak dan sertu

cara samak

Segelintir orang masih keliru dengan dua perkataan ini iaitu “sertu” dan “samak”.

Dari sudut bahasa mengikut takrifan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, pengertiannya adalah seperti berikut:

  • Samak: Kaedah menyucikan kulit haiwan yang boleh dimakan atau tidak, iaitu dengan menghilangkan darah, daging dan semua yang melekat pada kulit yang membusukkan jika tidak dibuang, dengan sesuatu alat yang tajam seperti tawas atau buah manjakani dan seumpamanya.
  • Sertu: Cara bersuci daripada najis mughalazah iaitu anjing dan khinzir dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan salah satu padanya air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau najis hukmi. 

Maka jelaslah kedua-dua perkataan ini membawa pengertian dan kaedah yang berbeza dari sudut agama.

Cara samak yang betul

Sebelum menyamak, kulit binatang tersebut hendaklah dibuangkan lendir, lemak, darah atau lainnya daripada benda yang boleh membusukkan yang terlekat pada kulit tersebut.

Selepas itu barulah kulit tersebut disamak iaitu digosok dengan bahan-bahan yang menanggalkan benda yang masih melekat pada kulit seperti bahan pelentur, tawas dan sebagainya.

Selepas disamak kulit tersebut hendaklah dijemur sehingga kering.

Faedah-faedah menyamak

Terdapat banyak faedah menyamak yang boleh anda perolehi. Antara faedahnya adalah seperti:

1. Boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan

Kita boleh memanfaatkan kulit binatang yang sudah disamak itu untuk kegunaan harian contohnya seperti pakaian, perhiasan, perabot, dan sebagainya.

2. Menambah peluang pekerjaan

Apabila permintaan kepada produk-produk kulit binatang ini semakin meningkat, sudah tentu peluang pekerjaan kepada masyarakat juga akan bertambah dalam sektor pembuatan khususnya.

Hal ini dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam negara dan memberi ruang serta peluang untuk masyarakat berinovasi dengan produk terbaru setiap masa.

3. Menjana pendapatan ekonomi negara

Selain itu, dengan cara samak yang betul juga ia boleh dijadikan bahan komersial bagi tujuan meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara.

4. Menghilangkan kuman dan penyakit

Proses menyamak melalui peringkat-peringkat pembersihan yang tertentu. Dengan cara ini kita dapat menjamin tahap kebersihan barang yang digunakan.

Bahkan dalam masa yang sama ia mampu untuk menghilangkan kuman dan penyakit yang terdapat pada kulit binatang.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan panduan cara samak yang betul dapat memberi manfaat dan ilmu pengetahuan yang berguna kepada semua.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1316: Beza Sertu Dengan Samak. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat. Mufti Selangor
  3. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-176: Jenis dan Kaedah Tanah Samak. Mufti Wilayah Persekutuan
  4. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-288: Bawa Dompet Kulit Di Dalam Solat. Mufti wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.