Surah At-Tin Dalam Teks Arab & Rumi Berserta Kelebihannya

Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati surah At-Tin yang sepatutnya anda perlu tahu. Di sini juga disediakan audio bacaan Surah At-Tin dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.

Asal usul surah At-Tin

Surah At-Tin adalah surah yang ke-95 dalam Al-Quran dan diturunkan selepas surah Al-Insyirah. Ia mengandungi 8 ayat dan turut tergolong di antara surah Makkiyah.

Nama At-Tin diambil daripada ayat pertama surah ini yang maksudnya buah tin. Asbab an-Nuzul surah ini diturunkan adalah menerangkan mengenai kesempurnaan kejadian manusia dan faktor kejatuhannya.

Malik dan Syukbah mengatakan dari Adiy bin Thabit dari al-Barra’ bin Azib, Rasulullah SAW membaca surah ini dalam satu rakaat solat yang Baginda kerjakan dalam sebuah perjalanan.

“Saya belum pernah mendengar seorang yang lebih bagus bacaannya daripada Baginda.”

Hadis ini diriwayatkan oleh para perawi kitab hadis yang enam dalam kitab masing-masing.

Ringkasan surah

Allah SWT bersumpah bahawa Dia menciptakan manusia dan menyeimbangkannya. Kemudian Dia kembalikan manusia ke darjat yang paling rendah kecuali mereka yang beriman. Mereka yang beriman mendapat ganjaran pahala yang besar dan Allah merupakan hakim yang paling adil.

3 sumpah dalam At-Tin yang Allah lakukan dengan tiga tempat suci untuk memuliakan para Nabi dan Rasul yang mendiaminya. Sumpah itu adalah seperti:

  • Ayat 1 (tin dan zaitun) : pohon-pohon yang banyak tumbuh di Syams. Negeri Nabi Isa AS.
  • Ayat 2 (Bukit Sinai) : nama bukit yang terletak di Tur, Sina tempat Nabi Musa AS bermunajat.
  • Ayat 3 (Kota Mekah) : penutup semua Nabi, Nabi Muhammad SAW, Rasulullah SAW.

Ayat 4, Allah menerangkan betapa kompleksnya penciptaan manusia. Penciptaan manusia sepatutnya menjadi hakikat kebenaran dalam manusia untuk mentauhidkan Allah Yang Maha Esa kerana tidak ada sesiapa yang berkuasa selain Nya.

Ayat 5, menerangkan persekitaran yang penuh dengan kejahatan telah mengubah manusia dari fitrahnya yang mulia, baik, dan indah kepada penghuni neraka. Ayat 6, namun masih ada manusia yang terselamat dari semua ini iaitu manusia yang dipenuhi dadanya dengan iman yang suci.

Ayat 7 dan 8 pula menerangkan kepada kita mengapa kita menidakkan sesuatu yang kita ketahui kebenarannya, iaitu hari kiamat? Bukanlah Allah hakim yang paling adil untuk mengadili perbuatan baik dan buruk seseorang? Balasan bagi kemungkaran dan kejahatan adalah nyata, dan Allah Maha Adil.

Bacaan surah At-Tin

وَٱلتِّينِ وَٱلزَّيۡتُونِ

Wat teeni waz zaitoon

Demi buah Tiin dan Zaitun,

وَطُورِ سِينِينَ

Wa toori sineen

Dan Gunung Tursina,

وَهَٰذَا ٱلۡبَلَدِ ٱلۡأَمِينِ

Wa haazal balad-il ameen

Serta negeri (Makkah) yang aman ini, 

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِيٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٖ

Laqad khalaqnal insaana fee ahsani taqweem

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

ثُمَّ رَدَدۡنَٰهُ أَسۡفَلَ سَٰفِلِينَ

Thumma ra dad naahu asfala saafileen

Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَٰتِ فَلَهُمۡ أَجۡرٌ غَيۡرُ مَمۡنُونٖ

Ill-lal lazeena aamanoo wa ‘amilus saalihaati; falahum ajrun ghairu mamnoon

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.

فَمَا يُكَذِّبُكَ بَعۡدُ بِٱلدِّينِ

Fama yu kaz zibuka b’adu bid deen

(Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu?

أَلَيۡسَ ٱللَّهُ بِأَحۡكَمِ ٱلۡحَٰكِمِينَ

Alai sal laahu bi-ahkamil haakimeen

Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?

Bacaan selepas membaca ayat terakhir At-Tin

Membaca doa selepas membaca ayat terakhir At-Tin adalah sunat. Imam Nawawi menyebut disunat kan apabila membaca (أَلَيْسَ اللَّـهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) maka sebutlah:

بلى! وأنا على ذلك من الشاهدين

Maksudnya: “Benar! Dan sesungguhnya aku menyaksikan hal itu (Allah SWT seadil-adil Hakim).” – (Lihat al-Azkar li al-Nawawi, 1/119)

Selain itu, di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ismail bin Umayyah RA menyatakan, aku mendengar daripada seorang lelaki badawi menyebut bahawa Abu Hurairah RA berkata:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ: وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ فَقَرَأَ: {أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ} [التين: 8] فَلْيَقُلْ: بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah: wa al-Tin wa al-Zaitun kemudian membaca (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ) (al-Tin,8) maka hendaklah ia menyebut (بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ) Benar, dan aku menyaksikan hal itu.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, 3347)

Semoga dengan panduan membaca surah At-Tin ini dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Al-Kafi #1691: Bacaan Selepas Membaca Ayat Yang Terakhir Daripada Surah At-Tin. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Tafsir Surah At-Teen Ayat 1-4 (Manusia Asalnya Dijadikan Mulia). Celik Tafsir
  3. Tafsir Surah At-Teen Ayat 5-8 (Ubat Untuk Penyakit). Celik Tafsir
  4. Tafsir Al-Wadih & Tafsir Nouman Ali Khan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.