Sifat 20 Allah Yang Perlu Umat Islam Belajar & Beriman
Sifat 20 Allah adalah satu konsep ilmu yang ciptaannya sangat ajaib, di dalam mentafsir kaedah mengenal Allah melalui ilmu makrifat.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda sifat 20 Allah yang perlu anda ketahui, fahami dan imani.
Baca juga:
Apa itu sifat 20 Allah?
Sifat 20 dicipta oleh ilham para sufi dan para aulia’ terdahulu, bagi tujuan mengajar kita menuju jalan mengenal Allah.
Dalam asas sifat 20 ini adalah empat perkara yang menjadi asasnya iaitu zat, sifat, af’al, dan asma’.
Kemudian, ia juga dibahagikan kepada empat bahagian juga iaitu sifat nafsiah, sifat salbiah, sifat ma’ani, dan sifat ma’nawiah.
Bahagian inilah yang menjadi inti pati kepada ilmu kita mengenal Allah SWT.
Sifat 20 Allah yang perlu anda tahu
Berikut adalah penjealsan lengkap mengenai sifat 20 ini:
1. Sifat nafsiyah
Sifat nafsiah adalah menafikan kewujudan yang lain selain Allah. Hanya Allah sahaja yang ada dan hanya Allah sahaja yang wujud.
Wujudnya Allah itu, adalah ujud yang disertai sekali dengan zat, sifat, af’al dan asma’ Nya.
Sifat nafsiyah hanya satu iaitu wujud.
Sifat yang terkandung dalam nafsiah adalah sifat wujud. Wujud yang membawa maksud ada. Adanya Allah itu, meliputi segala yang zahir mahu pun yang batin.
Allah SWT adalah zat yang berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada sesiapa pun. Lawan kepada wujud adalah tiada
Allah SWT berfirman dalam surah Taha, ayat 4 bermaksud:
“(Al-Quran) diturunkan bagi (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.”
Kemudian dalam surah As-Sajdah, ayat 4 juga dinyatakan bermaksud:
“Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Bagimu tidak ada seorang pun penolong maupun pemberi syafaat selain Dia. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”
2. Sifat salbiyah
Sifat salbiyah adalah sifat yang meniadakan adanya sifat sebaliknya atau tidak sesuai dengan kesempurnaan zat Nya.
Sifat salbiyah adalah seperti qidam, baqa’, mukhalafatuhu lilhawadith, qiyamuhu binafsih, dan wahdaniah.
Qidam maksudnya sedia. Lawan qidam adalah baru atau permulaan.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hadid, ayat 3 bermaksud:
“Dialah yang awal dan akhir, yang lahir dan yang batin.”
Baqa’ bermaksud kekal. Lawan baqa’ adalah binasa.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qasas, ayat 88 yang bermaksud:
“Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah.”
Mukhalafatuhu Lilhawadith bererti bersalahan Allah dengan yang baru. Lawan dari perkataan Mukhalafatuhu Lilhawadith adalah menyerupai yang baru.
Allah SWT berfirman dalam surah Asy-Syura, ayat 11 yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Nya (zat Nya, sifat Nya dan pentadbiran Nya).”
Qiyamuhu Binafsih bermaksud berdiri dengan sendiri. Lawan dari kata Qiyamuhu Binafsih adalah memerlukan sesuatu selain dirinya.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ankabut, ayat 6 bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT benar-benar Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu) daripada sekalian makhluk.”
Wahdaniah bermaksud esa iaitu tiada makhluk pun yang sama zatnya dengan Allah. Lawan dari Wahdaniah adalah berbilang
Allah SWT berfirman dala surah Al-Ikhlas, ayat 1 bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) : (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.”
3. Sifat ma’ani
Sifat ma’ani adalah tiap-tiap sifat yang wujud, berdiri dengan kewujudan-Nya yang mewajibkan baginya hukum.
Sifat ma’ani adalah seperti qudrat, iradah, ilmu, hayat, sama’, basar, dan kalam.
Qudrat beerti berkuasa. Lawan Qudrat adalah lemah. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 20 bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Iradah adalah berkehendak. Lawan Iradah adalah terpaksa. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 253 bermaksud:
“Tetapi Allah itu melakukan apa yang dikehendaki.”
Ilmu bermaksud mengetahui. Lawan Ilmu adalah bodoh. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Tahrim, ayat 2 bermaksud:
“Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Hayat bermaksud hidup. Lawan Hayat adalah mati. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 255 bermaksud:
“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selamanya mentadbirkan (sekalian makhluk Nya).”
Sama’ bermaksud mendengar. Lawan Sama’ adana tuli.
Basar bermaksud melihat. Lawan Basar adalah buta. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Haj, ayat 75 bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Melihat.”
Kalam bererti berkata-kata. Lawan Kalam adalah bisu. Allah SWT berfirman dalam surah An-Nisa, ayat 164 bermaksud:
“Dan Allah telah berbicara kepada Nabi Musa, dengan langsung.”
4. Sifat ma’nawiyah
Sifat ma’nawiyyah pula adalah sifat-sifat yang wujud disebabkan adanya sifat ma’ani. Dengan kata lain, sifat ma’nawiyyah adalah sifat yang wujud kerana adanya sifat ma’ani.
Menurut Imam al-Sanusi,
ثُمَّ سَبْعُ صِفَاتٍ تُسَمَّى صِفَاتٍ مَعْنَوِيَّةً وَهِيَ مُلَازَمَةٌ لِلسَّبْعِ الْأُوْلَى
“Kemudian 7 sifat yang dinamakan sifat ma’nawiyyah yang melazimkan 7 sifat terawal (ma’ani).”
Sifat tersebut adalah kaunuhu qadiran, kaunuhu muridan, kaunuhu ‘aliman, kaunuhu hayyan, kaunuhu sami’an, kaunuhu basiran, dan kaunuhu mutakalliman.
Kaunuhu Qadiran adalah keadaan Allah SWT yang berkuasa ke atas segala sesuatu.
Kaunuhu Muridan adalah keadaan Allah SWT yang berkehendak, segala kehendak Nya berlaku.
Kaunuhu ‘Aliman adalah keadaan Allah SWT yang mengetahui segala sesuatu.
Kaunuhu Hayyan adalah keadaan Allah SWT yang sentiasa hidup.
Kaunuhu Sami’an adalah keadaan Allah SWT yang sentiasa mendengar.
Kaunuhu Bashiran adalah keadaan Allah SWT yang sentiasa melihat
Kaunuhu Mutakalliman adalah keadaan Allah SWT yang sentiasa berkata-kata.
– Wujud (ada)
– Qidam (sedia)
– Baqa’ (kekal)
– Mukhalafatuhu li al-Hawadith (bersalahan/berlainan dengan segala yang baharu/makhluk)
– Qiyamuhu Binafsihi (berdiri/wujud dengan diri atau zatNya sendiri)
– Wahdaniyyah (esa)
– Qudrah (kuasa)
– Iradah (kehendak)
– ‘Ilm (ketahui)
– Hayah (hidup)
– Sama’ (dengar)
– Basar (lihat)
– Kalam (berkata-kata)
– Kaunuhu Qadiran (keadaanNya yang berkuasa)
– Kaunuhu Muridan (keadaanNya berkehendak)
– Kaunuhu ‘Aliman (keadaanNya mengetahui)
– Kaunuhu Hayyan (keadaanNya hidup)
– Kaunuhu Sami’an (keadaanNya mendengar)
– Kaunuhu Basiran (keadaanNya melihat)
– Kaunuhu Mutakalliman (keadaanNya berkata-kata).
Perbezaan sifat ma’ani dan ma’nawiyyah
Sifat ma’ani bukan zat Allah itu sendiri tetapi ianya sifat yang berdiri dengan Zat Nya.
Oleh itu, ia dikenali sebagai sifat Zat manakala sifat ma’nawiyyah pula adalah sifat perbuatan yang keluar daripada Zat-Nya.
Terdapat beberapa perbezaan antara kedua sifat ini walaupun ada sebahagian ulama’ menyamakan sahaja antara keduanya. Perbezaannya adalah:
- Sifat ma’ani adalah usul dan sifat ma’nawiyyah adalah pecahan daripadanya.
- Sifat ma’ani adalah sebab (‘illah) dan sifat ma’nawiyyah adalah kesan (ma’lul).
- Sifat ma’ani adalah sifat yang ada pada Zat Allah yang sesuai dengan kesempurnaan-Nya. Manakala sifat ma’nawiyyah sifat yang sentiasa tetap ada pada Zat Allah dan tidak mungkin pada satu ketika, Allah SWT tidak bersifat sedemikian
- Sifat ma’ani adalah sifat wujudiyyah yang diterima pada akal zihin dan luarnya sedangkan sifat ma’nawiyyah pula merupakan sifat yang thabit diterima pada akal zihin dan tidak pada luarnya. (Lihat Tahzib Syarh al-Sanusiyyah, hal. 43)
Kepentingan memahami sifat 20 Allah
Umat Islam perlu mempelajari sifat 20 Allah ini agar kita mempunyai ilmu akidah yang mantap dan kukuh daripada terdedah dengan aliran pemikiran baharu yang menyesatkan.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan sifat 20 Allah dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yahg bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Dapatkan ulasan lebih rapi dan menyeluruh mengenai topik ini dengan membaca buku Sifat 20 Suatu Pengenalan Asas dari karya Ustaz Muhadir Haji Joll.
Sumber:
- Irsyad Al-Fatwa Ke-174: Perbezaan Sifat Ma’ani dan Ma’nawiyyah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Mutiara Berharga Pada Menyatakan Aqidah Orang Yang Beriman. Syeikh Daud Bin Syeikh Abdullah Al-Fatani