Murtad Maksud, Ciri-Ciri Pelaku, Punca, dan Hukumnya

Sejak akhir-akhir ini kes yang melibatkan murtad menjadi isu hangat yang dibicarakan umum. Namun pastinya tidak ramai yang tahu tentang murtad maksud dari segi bahasa dan istilah serta hukum dalam Islam.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan maksud murtad, dan kesannya kepada Islam.

Baca juga:

Pengertian murtad

murtad maksud

Perkataan murtad adalah berasal dari bahasa Arab iaitu اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا yang membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. 

Murtad maksud dari segi istilah pula adalah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain.

Berikut ini adalah beberapa maksud murtad dari fahaman empat mazhab:

  • Mazhab Hanafi: “Murtad ialah ibarat daripada kembali daripada iman kepada kufur.”

  • Mazhab Maliki: “Iaitu orang Islam yang kufur dengan nyata sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang mengandungi kekufuran.”

  • Mazhab Syafie: “Iaitu memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya.”

  • Mazhab Hanbali: “Siapa yang kufur dengan sukarela walaupun sudah mumayyiz selepas Islamnya dengan perkataan, iktikad, ragu dan syak tentang Islam walaupun secara bergurau dan walaupu keIslamannya dipaksa dengan cara sebenar.”

Dalil tentang larangan murtad

Murtad dianggap sebagai seburuk-buruk kekufuran yang dilakukan oleh seseorang yang beragama Islam.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud:

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

"Dan sesiapa diantara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya)."

Kemudian di dalam Surah Al-Nahl, ayat 106, Allah juga berfirman:

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

"Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah) kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka itu tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar."

Ciri-ciri murtad

Berdasarkan kepada pengertian murtad tadi, boleh kita simpulkan bahawa terdapat tiga ciri-ciri seseorang itu boleh murtad. Antaranya adalah:

  • Keluar daripada Islam.
  • Sama ada perisytiharan dengan ucapan, perbuatan atau niat.
  • Keluar tersebut sama ada secara bergurau, ingkar atau iktikad.

Punca berlakunya murtad

murtad maksud
  • Tidak mendapatkan didikan agama dan bimbingan daripada ibu bapa.
  • Tidak mendapatkan kasih sayang atau diabaikan oleh ibu bapa atau keluarga yang bercerai.
  • Saudara baru yang memeluk Islam dengan tujuan untuk kemudahan dan simpati dan apabila gagal mendapatkan bantuan berterusan, dia kembali kepada agama asal semula.
  • Terpengaruh dengan ajaran sesat, black metal, dadah dan gejala yang bersifat negatif.
  • Pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa kawalan daripada ibu bapa.
  • Hiburan melampau yang dimainkan oleh media menjadikan remaja Melayu lalai.
  • Kurang perhatian orang Islam terhadap saudara baru yang bermasalah dan tiada tempat berlindung menyebabkan mereka putus asa.

Perkara-perkara yang menyebabkan murtad

Seseorang Islam boleh murtad apabila mereka melakukan tiga perkara iaitu:

1. Percakapan

  • Bercakap sesuatu yang menjurus kepada kekufuran seperti mempercayai bahawa ada kuasa lebih hebat daripada Allah atau mengatakan Allah itu tidak wujud.

2. Perbuatan

  • Menyembah atau menyerupai agama lain dan keislamannya boleh dipertikaikan.

3. Iktikad

  • Menolak Rukun Iman.

Kesan jika murtad dari Islam

1. Dinafikan hak yang berkaitan dengan harta

Seseorang yang murtad akan mengakibatkan dia terputus dari hak pewarisan dengan keluarganya.

Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Tidak mewarisi orang Muslim akan orang kafir, dan tidak mewarisi orang kafir akan orang Muslim.” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Tergantung ikatan perkahwinan

Seseorang yang murtad akan terpisah dengan isteri atau suami, dan akad perkahwinan tersebut akan tergantung.

Jika pelaku murtad kembali pada Islam dalam tempoh idah, maka dia boleh bersama-sama semula dengan isteri atau suami tanpa akad yang baharu dan tanpa rujuk. 

Namun sekiranya pelaku terus murtad, maka ikatan perkahwinan terlerai dengan fasakh bermula tarikh murtadnya.

3. Disabitkan kesalahan jenayah

Menurut Kamus Istilah ini tindakan jenayah murtad merupakan satu jenayah besar dalam Islam.

Oleh itu, para ulama fiqh memasukkan murtad sebagai salah satu kesalahan jenayah yang termasuk dalam kategori hudud.

Cara mengatasi kes murtad di Malaysia

  • Meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran terhadap agama Islam.
  • Mengemaskini pendekatan dakwah Islam di semua peringkat dan lapisan masyarakat.
  • Memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
  • Mengadakan program keluarga angkat saudara baru.
  • Menghapuskan program hiburan melampau.
  • Mengimarahkan masjid dan memperkasakan cara hidup Islam.
  • Memperkukuhkan jati diri remaja Islam dari segi sahsiah diri.
  • Menanamkan sikap amar makruf nahi mungkar.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai beberapa pengertian murtad maksud dari segi bahasa dan istilah ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Hukum Mengaku Bukan Islam. JAKIM
  2. Irsyad Al-Fatwa Ke-25: Pengertian Murtad. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.