Niat Puasa Tasu’a Dalam Rumi dan Manfaatnya
Bulan Muharram sudah tiba. Dalam bulan ini, umat Islam sangat digalakkan untuk berpuasa contohnya di hari asyura. Justeru apakah niat puasa hari tasu’a tersebut?
Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan niat puasa hari tasu’a dan manfaat yang boleh kita dapatkan dari amalan ini.
Baca juga:
Apa Itu Hari Tasu’a?
Bulan Muharram menandakan akan permulaan tahun baru berdasarkan kepada kalender Hijrah dalam Islam.
Dalam bulan istimewa ini juga digalakkan untuk kita melakukan amalan-amalan yang baik seperti berpuasa sunat.
Sungguhpun ramai yang menjadikan puasa asyura sebagai keutamaan dalam bulan Muharram tetapi sebenarnya puasa tasu’a iaitu puasa di hari sebelumnya atau hari ke-9 Muharram juga sama penting
Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
“Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.” – (Hadis Riwayat Ahmad, No. 2154)
Hal ini jelas kerana puasa tasu’a dapat membezakan dengan puasa-puasa orang yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal iaitu perayaan Yom Kippur.
Bahkan kaedah melaksanakan puasa Asyura telah dijelaskan oleh para ulama kepada tiga iaitu pertama; berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. Kedua; berpuasa pada 10 Muharam secara tunggal. Ketiga; berpuasa sehari dan selepasnya.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah menjelaskan dengan kaedah iaitu pertama; berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya. Kedua; berpuasa pada 9 (tasu’a) dan 10 (Asyura) Muharram sahaja. Ketiga; berpuasa pada 10 Muharram sahaja (Zaad al-Ma’ad: 2/72).
Dalil Tentang Puasa Hari Tasu’a
Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
“Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharam dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu adalah solat malam ‘qiamullail.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 2429)
Seterusnya, terdapat hadis khusus yang menganjurkan berpuasa pada 10 Muharam dengan menyatakan kelebihan iaitu:
“Berpuasa pada hari Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” – (Hadis Riwayat Ibn Majah, No. 1738)
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud
“Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata:
“Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut.
Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 2004)
Malah keutamaan puasa Muharam ini juga disebutkan dalam sebuah hadis lain.
"Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah, Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam." - (Hadis Riwayat Muslim, No, 1163)
Bila Hari Tasu’a dan Asyura?
Berikut ini adalah jadual tarikh puasa sunat di bulan Muharram.
Puasa Tasu’a : 9 Muharram (27 Julai 2023)
Puasa Asyura : 10 Muharram (28 Julai 2023)
Puasa Hari Putih : 13, 14, 15 Muharram (31 Julai, 1 & 2 Ogos)
Niat Puasa Hari Tasu’a
Berikut adalah lafaz niat puasa hari tasu’a:
نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى
Nawaitu Sauma Tasu’a Sunnatal Lillahita’ala
"Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Tasu’a Esok Hari Kerana Allah Ta’ala.”
Hikmah Puasa Hari Tasu’a
Keistimewaan bulan Muharam dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dalam surah At-Taubah, ayat 36 yang bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.
Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya);
dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”
Malah perincian kepada empat bulan haram yang dinyatakan dalam hadis ini jelas berdasarkan riwayat oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban." - (Hadis Riwayat al-Bukhari, No.4054)
Justeru, setiap amalan soleh yang dilakukan pada bulan tersebut mempunyai ganjaran yang sangat besar termasuklah dalam berpuasa hari tasu’a dan asyura ini.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan niat puasa hari tasu’a dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-413: Peringkat Puasa Asyura. Mufti Wilayah Persekutuan
- Puasa Tasu’a: Lafaz Niat, Fadhilat dan Tarikh Hari Tasu’a 2023. E Central