Niat Umrah & Larangan Sewaktu Ihram (Lelaki & Perempuan)

Niat umrah merupakan rukun yang pertama dalam melaksanakan ibadah umrah. Rukun umrah merupakan perkara asas yang wajib dilaksanakan oleh seseorang sebagai perkara asas dalam melakukan ibadah umrah. Jika tidak ditunaikan sama ada sengaja ataupun tidak maka tidak sah umrah tersebut.

Artikel pada kali ini akan memberikan sedikit maklumat mengenai bagaimanakah lafaz niat umrah dengan betul dan senarai larangan yang tidak boleh dilakukan semasa dalam ihram bagi lelaki dan perempuan.

Maksud Umrah.

niat-umrah

Secara Ringkasnya Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Manakala dari segi syara’ pula umrah membawa maksud menziarahi Baitullah al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu masa menunaikan haji. Hukum mengerjakan umrah ialah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.

Niat Umrah

Berikut merupakan lafaz niat umrah yang perlu dibaca semasa berada di Miqat dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram. Perkara ini telah termasuk dalam Wajib umrah.

Setiap Jemaah hendaklah pastikan yang mereka telah menukar pakaian ihram sebelum menjatuhkan niat. Sebaik sahaja berniat, disunnahkan bertalbiah dan wajib menjaga
pantang larang ihram.

Niat Umrah

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَالَى

Niat Dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku berniat UMRAH dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta`ala

Niat Umrah Badal

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ عن _____ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَالَى ­  

Niat Dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku berniat __BADAL UMRAH __ bagi ___(nama)__ dan aku berihram
dengannya kerana Allah Ta`ala

Niat Umrah Bersyarat

Niat bersyarat digalakkan bagi mereka yang khuatir tidak dapat melaksanakan haji atau umrah setelah berniat, disebabkan sakit atau haid dan seumpamanya. Dengan cara ini, jika berlaku keuzuran, dia boleh keluar dari ihram haji atau umrah dengan bergunting atau bercukur tanpa perlu mengeluarkan dam.

CARA NIAT BERSYARAT

“Aku berniat mengerjakan haji/umrah, dan aku berihram untuknya kerana Allah Ta`ala. Dan sekiranya aku dihalangi oleh sakit/haid/ditahan, maka aku niat keluar daripada ihram haji/umrah tanpa menyembelih kambing.”

Perkara Sunat Sebelum Ihram

Sebelum memakai pakaian ihram, jemaah hendaklah bersiap-siap melakukan perkara-perkara sunat. Antaranya ialah:-

  1. Memotong kuku.
  2. Menanggalkan bulu ketiak / ari-ari.
  3. Memperkemaskan misai, janggut dan rambut.
  4. Mandi sunat ihram. Lafaz niat: Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala.
  5. Memakai minyak rambut.
  6. Memakai bau-bauan di tubuh sahaja tidak pada pakaian ihram. Bagi wanita guna bauan yang kurang kuat baunya atau sekurang-kurangnya memakai penghilang bau ketiak.

Selepas melakukan perkara-perkara sunat tersebut, jemaah wajib memakai pakaian ihram. Pakaian ihram sunat berwarna putih.

  1. Pakaian Ihram Untuk Lelaki – dua helai kain lepas. Sehelai dipakai untuk menutup auratnya antara pusat dan lutut dan sehelai lagi dibuat selendang untuk menutup bahagian atas badan.
  2. Pakaian Ihram Untuk Wanita – pakaian yang menutup seluruh badannya kecuali muka dan tapak tangan. Pastikan jemaah wanita memakai sarung lengan, stokin yang tebal dan kain tudung yang mempunyai alas dagu

Setelah selesai solat, maka pasanglah niat dalam hati untuk ihram umrah atau ihram haji

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitul ‘Umrata Wa AhramTu Biha Lillahi Taa’la 

Niat Dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku berniat UMRAH dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta`ala

Lakukan perkara-perkara di atas sebelum berniat ihram. Jika sudah berniat ihram, maka tidak boleh lagi memotong kuku, menggunting rambut, memakai minyak wangi, minyak rambut dan sebagainya.

12 Pantang Larang Semasa Ihram

Setelah seseorang itu berniat untuk mengerjakan umrah, wajiblah dia menjauhi larangan-larangan semasa ihram. Terdapat 12 larangan yang harus dielakkan semasa berada dalam keadaan ihram antaranya adalah:

  1. Memakai pakaian yang berkurung, termasuk kasut bagi lelaki.
  2. Menutup kepala atau sebahagiannya bagi lelaki.
  3. Menutup muka bagi wanita.
  4. Memakai sarung tangan bagi wanita dan lelaki.
  5. Menghilangkan, menggugurkan rambut atau mana-mana bulu di badan.
  6. Mengetip kuku.
  7. Menggunakan wangi-wangian.
  8. Melakukan aqad nikah.
  9. Persetubuhan, membatalkan Umrah.
  10. Melakukan perkara-perkara yang menaikkan syahwat seperti bersentuhan, berpeluk atau bercium.
  11. Memburu binatang darat yang boleh dimakan.
  12. Memotong, menebang atau mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram.

Kesimpulan: Niat Umrah

Dengan mengucapkan niat umrah yang ikhlas, seseorang itu haruslah memulai ibadah umrahnya dengan hati yang ikhlas dan semangat. Hal ini dapat memastikan bahwa ibadah tersebut diterima oleh Allah SWT.

Semoga dengan perkongsian yang diberikan dapat memberi maklumat yang bermanfaat kepada anda semua.

Sumber:

  1. Panduan Menasik Umrah. Shahidah travel
  2. Rukun Umrah 1: Niat Ihram & Senarai Larangan Sewaktu Ihram (Lelaki & Perempuan). themmizone.com
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.