Kenali 5 Jenis Air Dalam Islam Untuk Mensucikan Diri

Ada lima jenis air dalam Islam yang anda perlu tahu. Hal ini bertepatan dengan syarat bagi taharah yang disesuaikan bergantung kepada jenis air yang digunakan.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan jenis air dalam Islam yang perlu kita ketahui untuk mensucikan diri.

Baca juga:

1. Air mutlak

jenis air dalam islam

Air mutlak adalah air yang suci lagi menyucikan. Ia merupakan air yang kekal memiliki sifat keasliannya yang dijadikan oleh Allah SWT.

Sungguhpun air tersebut nantinya berubah atas faktor terbiar dalam tempoh yang lama, tercemar oleh tanah, lumut dan sebagainya, ianya masih dikatakan sebagai air mutlak.

Terdapat hadis yang menyatakan akan kesucian air mutlak iaitu sabda Rasulullah SAW:

عن أنس قال : بينما نحن في المسجدِ مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم إذ جاء أعرابيٌّ . فقام يبولُ في المسجدِ . فقال أصحابُ رسولِ الله صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم : مَهْ مَهْ . قال : قال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم لا تُزْرِمُوه . دَعُوهُ فتركوه حتى بال . ثم إن رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم دعاه فقال له إن هذه المساجدَ لا تَصْلُحُ لشيءٍ من هذا البولِ ولا القَذَرِ . إنما هي لِذِكرِ اللهِ عز وجل، والصلاةِ، وقِراءةِ القرآنِ ، فأمر رجلًا من القومِ، فجاء بدَلْوٍ من ماءٍ، فشَنَّهُ عليه .(رواه مسلم)

Daripada Anas Radhiallahu’anhu telah berkata, “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, tiba-tiba datang seorang arab badwi (a’rabi) lalu berdiri sambil kencing di masjid.

Para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pun berteriak, “Apa yang dilakukannya, apa yang dilakukannya?!”

Namun Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda, “Janganlah kalian menghentikan kencingnya, biarkanlah ia meneruskannya.” Mereka pun membiarkannya sehingga ia meneruskan kencingnya. Kemudian Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memanggil arab badwi itu dan bersabda,

“Sesungguhnya masjid ini tidak patut terkena kencing dan kotoran sedikit pun. Masjid ini hanyalah untuk zikrullah ‘Azzawajalla, solat dan membaca Al-Quran.”

Lalu beliau menyuruh seorang antara mereka untuk mengambil sebekas air  dan menyiramkan pada tempat yang dikencingnya.” – (Hadis Riwayat Muslim)

Perintah Rasulullah SAW ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa menjiruskan air ke tempat air kencing adalah dalil yang mengatakan air tersebut mempunyai sifat menyucikan.

Jenis air mutlak adalah seperti air sungai, air laut, air hujan, air perigi, air embun, air mata air, air beku atau salji.

2. Air musta’mal

Air musta’mal adalah air yang suci tetapi tidak menyucikan. Ia digunakan untuk mengangkat hadas sama ada hadas kecil ( berwuduk ) ataupun hadas besar ( mandi wajib ).

Jika air ini ditadah semula dan tidak sampai pada dua qullah, maka air itu dikira musta’mal dan tidak boleh dibuat untuk bersuci.

Dalam kata lain, air tersebut hanya boleh dibuat untuk minum atau makan atau membasuh benda-benda yang bukan najis. 

3. Air musyammas

jenis air dalam islam

Air musyammas adalah air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh digunakan. Air ini adalah yang terdedah dengan cahaya matahari khususnya sering berlaku kepada negeri-negeri yang beriklim panas.

Proses pendedahan ini bahaya kepada kesihatan apabila terkena kulit atau tubuh badan di mana ia boleh mendatangkan karat seperti besi, tin dan lain-lain.

4. Air mutanajis

jenis air dalam islam

Air mutanajis adalah air yang tidak suci dan tidak menyucikan yang lain. Cirinya air ini kurang daripada dua qullah dan mengandungi najis di dalamnya.

Justeru sekiranya air melebihi daripada dua qullah dan dimasuki najis lalu merubah air itu dari segi rasa, bau atau warnanya, maka air ini tidak boleh digunakan untuk bersuci kerana ia tidak suci dan tidak mensucikan.

5. Air Mutaghayyir

Air Mutaghayyir adalah air suci tetapi tidak menyucikan. Dari segi rasa, warna, dan baunya telah berubah kerana telah bercampur dengan sesuatu yang suci seperti gula, milo, kopi, dakwat dan sebagainya. 

Tetapi jika berubah kerana lama bertakung kerana lumpur dan tanah, maka air itu masih lagi dianggap suci lagi menyucikan.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan jenis air dalam Islam dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.

Sumber:

  1. Al-Kafi #684: Hukum Air Musta’mal. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.