Hukum Ulang Surah Sama & Bacaan Rasulullah Dalam Solat
Apakah hukum ulang surah sama dalam mengerjakan solat?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda huraian lanjut mengenai hulum ulang surah sama dan contoh bacaan Rasulullah SAW dalam solat.
Baca juga:
Hukum ulang surah sama dalam solat
Hukum asal baca surah selepas bacaan Al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek.
Manakala hukum ulang surah sama dalam solat adalah harus.
Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةٍ ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِى صَلاَتِهِمْ فَيَخْتِمُ بِ (قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ) فَلَمَّا رَجَعُوا ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ « سَلُوهُ لأَىِّ شَىْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ ». فَسَأَلُوهُ فَقَالَ لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللَّهَ يُحِبُّهُ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW telah mengutuskan seorang lelaki sebagai pemimpin kepada satu pasukan tentera. Dalam mengerjakan solat berjemaah, beliau (menjadi imam dan) selalu membacakan Al-Quran lalu mengakhirinya dengan bacaan surah al-Ikhlas.
Apabila mereka kembali, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW bersabda: “Mintalah penjelasan daripadanya kenapa beliau berbuat demikian?”
Mereka pun bertanya kepada Sahabat berkenaan lalu beliau menjawab: “Kerana surah tersebut (mengandungi penjelasan berkenaan) sifat Allah, sebab itulah saya suka untuk sentiasa membacanya.”
Lantas Rasulullah SAW pun bersabda: “Beritahukanlah kepada beliau bahawa Allah mengasihinya.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 7375 dan Muslim, No. 1926)
Maka jelaslah, tidak mengapa bagi seseorang yang solat untuk mengulangi surah daripada surah-surah dalam al-Quran yang dibacanya pada rakaat yang pertama.
Sungguhpun begitu, adalah lebih afdhal membaca surah yang berlainan atau ayat yang berlainan berdasarkan kebanyakan amalan Nabi SAW ketika membaca selepas Al-Fatihah dalam solat.
Jenis bacaan surah yang afdhal dalam solat
Antara membaca surah pendek tetapi lengkap atau membaca sebahagian ayat surah yang panjang dalam solat, mana satukah yang lebih afdhal?
Membaca surah secara lengkap sekalipun pendek di dalam rakaat selepas bacaan surah Al-Fatihah adalah lebih afdhal berbanding membaca sebahagian ayat sahaja daripada mana-mana surah.
Sungguhpun begitu, hukum membaca sebahagian ayat-ayat daripada surah di dalam solat adalah harus.
Dan kita akan tetap mendapat pahala sunat walaupun hanya membaca satu ayat daripadanya.
Namun demikian, menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami, sebaik-baiknya adalah membaca sekurang-kurangnya tiga ayat.
Bacaan Rasulullah dalam solat
Ajarkan kepada diri dan anak-anak tentang surah-surah yang dibaca oleh Rasulullah dalam solat Baginda.
Maklumat ini dikumpulkan berdasarkan sebahagian hadis yang diriwayatkan. Namun begitu, tiada halangan sekiranya kita ingin membaca surah yang lain.
1. Bacaan surah ketika solat subuh
Berdasarkan riwayat hadis, Rasulullah SAW dilihat pernah membaca beberapa surah ketika solat subuh antaranya:
“Dan diriwayatkan daripada Nabi SAW sesungguhnya Baginda membaca surah Al-Waqiah di dalam solat subuh.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
Manakala dalam riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW dikatakan turut pernah membaca surah Al-Zalzalah (Hadis Riwayat Abu Daud), surah Al-Takwir (Hadis Riwayat Tirmizi) dan surah Qaf (Hadis Riwayat Muslim).
Pada hari Jumaat pada Baginda membaca surah Al-Sajadah dan surah Al-Insan (Hadis Riwayat Bukhari).
2. Bacaan surah dalam solat zohor & asar
Berdasarkan riwayat hadis, Rasulullah SAW pernah membaca beberapa surah ketika solat zohor dan asar antaranya:
“Daripada Jabir bin Samurah, sesungguhnya Rasulullah membaca di dalam solat zohor dan asar surah Al-Buruj dan surah Al-Tariq dan yang seumpamanya.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
Manakala dalam riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW dikatakan turut pernah membaca surah Al-Lail (Hadis Riwayat Muslim) dan surah Al-Insyiqaq (Hadis Riwayat Ibn Khuzaimah).
3. Bacaan surah ketika solat maghrib
Berdasarkan riwayat, Rasulullah SAW kadang-kdang membaca surah-surah pendek (seperti surah Al-Tin) dalam solat maghrib. Kata Abu Hurairah:
“Dan Rasulullah membaca dalam solat maghrib yang pendek-pendek.” – (Hadis Riwayat Al-Nasa’i)
Namun dalam riwayat lain, terdapat hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW turut membaca surah yang panjang seperti Al-A’raf, Al-Ma’idah, Al-Anfal, Al-Tur dan Al-Mursalat dalam solat maghrib.
4. Bacaan surah dalam solat isyak
Berdasarkan riwayat hadis, Rasulullah SAW pernah membaca beberapa surah ketika solat isyak antaranya:
“Daripada Buraidah RA, Rasulullah SAW membaca di dalam solat isyak ialah surah Al-Syams dansurah yang sepertinya.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
Berdasarkan riwayat Al-Imam Al-Bukhari pula, Rasulullah turut pernah menasihatkan Saidina Muaz agar membaca surah Al-Syams dan Al-Layl. – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai hukum ulang surah sama dalam solat dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.
Sumber:
- Al-Kafi #1394: Hukum Membaca Surah Yang Sama Dalam Solat. Mufti Wilayah Persekutuan
- Bacaan Rasulullah Dalam Solat. Dr. Ahmad Sanusi Azmi