Solat Terlalu Cepat dan Laju, Semak Hukumnya Dalam Islam
Solat terlalu cepat atau terlalu lambat, kedua-duanya sah dalam Islam bila mana cukup segala rukun dan syarat solat itu sendiri.
Namun sudah pasti dalam kewajaran ini, kita boleh ringkaskan bahawa solat terlalu cepat sangat cenderung tidak sempurna rukun dan syaratnya.
Justeru, artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hukum solat terlalu cepat atau tergesa-gesa dalam Islam dengan lebih mendalam.
Baca juga:
Kisah sahabat Nabi solat laju
Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW masuk ke masjid. Kemudian ada seorang lelaki masuk ke masjid dan solat.
Setelah selesai, dia memberi salam kepada Nabi SAW. Baginda menjawab dan berkata kepadanya:
ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ
“Kembalilah dan ulangi solatmu kerana sesungguhnya kamu belum solat.”
Maka lelaki itu mengulangi solatnya seperti yang dilakukannya pertama kali tadi kemudian datang menghadap kepada Nabi SAW dan memberi salam.
Namun Baginda tetap berkata: “Kembalilah dan ulangi solatmu kerana sesungguhnya kamu belum solat.”
Baginda mengulangi perintah itu tiga kali hingga akhirnya lelaki tersebut berkata:
“Demi Dzat yang mengutus tuan dengan hak. Aku tidak boleh melakukan yang lebih baik daripada itu. Maka ajarlah aku.”
Baginda lantas berkata:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا
“Jika kamu berdiri untuk solat, maka mulalah dengan takbir lalu bacalah apa yang mudah bagimu daripada Al-Quran. Kemudian rukuklah sebenar-benar rukuk dengan thoma’ninah, lalu bangkitlah (daripada rukuk) hingga kamu berdiri tegak.
Lalu sujudlah sebenar-benar thoma’ninah, lalu angkat (kepalamu) untuk duduk hingga benar-benar duduk dengan thoma’ninah. Maka lakukanlah dengan cara seperti ini dalam seluruh solatmu.” – (Hadis Riwayat Bukhari, No. 715)
Hukum solat terlalu cepat dalam Islam
Hukum solat terlalu cepat dalam Islam apabila ia tidak mencukupi rukun dan syarat solat itu sendiri maka solatnya tidak sah dan perlu diulangi semula.
Sekiranya kita tidak mahu mengulangi solat itu semula, maka kita dikira tidak menunaikan solat dan dikira sudah melakukan dosa.
Hal ini seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa, ayat 103 yang bermaksud:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
Kenapa thoma’ninah itu penting?
Thoma’ninah dari segi bahasa adalah ketenangan. Manakala dari segi istilah pula ia ditakrifkan sebagai kestabilan atau penetapan sejenak anggota badan pada satu masa.
Hukum thoma’ninah menurut pendapat jumhur ulama termasuk ulama mazhab asy-Syafi‘e adalah wajib dilakukan dalam solat sama ada solat fardhu atau solat sunat.
Terdapat empat rukun solat yang diwajibkan padanya thoma’ninah iaitu rukuk, i‘tidal, sujud dan duduk antara dua sujud.
Orang yang meninggalkan thoma’ninah dalam ibadah solatnya wajib mengulangi solat tersebut semula.
Bahkan ada sesetengahnya mengatakan bahawa solat yang tidak ada thoma’ninah adalah umpama badan tanpa kepala untuk mengambarkan betapa pentingnya thoma’ninah itu.
Kenyataan ini disokong dengan sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تُجْزِئُ صَلاَةُ الرَّجُلِ حَتَّى يُقِيمَ ظَهْرَهُ فِي الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ
“Tidak dikira sembahyang seseorang sehinggalah tegak atau lurus belakangnya daripada (bongkok) ruku‘ dan sujud.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)
Berdiri, niat, melafazkan takbiratul ihram, membaca surah Al-Fatihah, rukuk serta thoma’ninah, iktidal serta thoma’ninah, sujud dua kali serta thoma’ninah, duduk di antara dua sujud serta thoma’ninah, duduk bagi tasyahhud akhir, membaca tasyahhud akhir, membaca selawat, memberi salam pertama, dan tertib.
Tergesa-gesa yang dibenarkan dalam Islam
Hatim Al-Ashm berkata, “Tergesa-gesa berasal daripada syaitan kecuali dalam lima perkara ini (yang disunatkan) iaitu:
- Menyiapkan makanan ketika tetamu datang.
- Ketika seseorang meninggal dunia, maka disunatkan untuk segera dimandikan, dikafankan, dan disolatkan jenazahnya.
- Menikahkan anak perempuan yang telah pun cukup umur untuk menikah.
- Membayar hutang ketika sudah jatuh tempoh.
- Segera bertaubat ketika melakukan dosa.
Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan hukum solat terlalu cepat ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Dapatkan Buku Soal Jawab Solat Mengikut Mazhab Yang Empat ini untuk menjawab segala pertanyaan yang berkaitan dengan ibadah solat anda setiap hari
Sumber:
- Siapa Pernah Solat Laju-Laju, Bolehkah Sebenarnya? Ustazah Asma’ Harun
- Thuma’ninah dan Akibat Mencuaikannya Di Dalam Sembahyang. Fatwa Irsyad Brunei