Solat Jumaat: Pengertian, Hukum dan Cara Pelaksanaannya

Bagaimakah cara solat Jumaat yang betul dan tepat mengikut kepada panduan yang telah disyariatkan oleh agama Islam?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai panduan solat Jumaat yang terperinci dalam bahasa Arab dan Rumi untuk memudahkan pembacaan anda.

Pengenalan

Dari segi bahasa, Jumaat berasal dari perkataan Al-Jumuah atau Al-Jum’ah yang bermaksud perhimpunan (segala kebaikan)

Dari segi istilah, sembahyang Jumaat adalah solat dua rakaat yang dilakukan secara berjemaah dalam waktu zuhur pada hari Jumaat di masjid atau tempat-tempat tertentu dan didahului dengan dua khutbah dengan syarat-syarat tertentu.

Dalil berkenaan solat Jumaat

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Jumu’ah, ayat 9 yang bermaksud:

يَآاَيُّهَاالَّذِيْنَ ءٰمَنُوْآإِذَانُوْدِيَ لِلصَّلٰوةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا اِلٰى ذِكْرِ اللهِ وَذَرُواالْبَيْعَ ۗ

“Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 9)

Dalam ayat di atas ini, Allah SWT melarang berjual beli ketika azan Jumaat telah dikumandangkan agar seseorang tidak disibukkan selain dari menunaikan solat Jumaat. 

Dalil hadis yang lebih tegas iaitu dari Thariq bin Syihab dari Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِ أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوْكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيْضٌ

“Solat jumaat adalah hak yang wajib atas setiap muslim dengan berjemaah, selain atas empat (golongan): budak sahaya, wanita, anak kecil, atau orang yang sakit.” - (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dari Abu Jakdi ad-Dhamri pula bahawa Rasulullah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat 3 kali dengan sengaja, maka Allah SWT akan menutup hatinya daripada menerima petunjuk.” – (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bagi mereka yang tidak mempunyai keuzuran, atau alasan yang munasabah untuk tidak hadir menunaikan sembahyang jumaat secara berjemaah, haram hukumnya. Mereka juga wajib mengantikannya dengan solat Zuhur.

Hukum melaksanakan solat Jumaat

Sebelum kita pergi lebih jauh mengenai solat ini, kita perlulah terlebih dahulu mengetahui akan hukum dalam melaksanakannya sebagai umat Islam.

Untuk pengetahuan anda, solat ini diwajibkan ke atas semua golongan yang memenuhi syarat-syarat wajib Jumaat.

Ia adalah salah satu dari kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu Muslim dan bukanlah fardhu kifayah.

Dalam surah Al-Jumuah, ayat 9, Allah SWT ada berfirman yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman (Lelaki dan perempuan)! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),

Menerusi ayat tersebut, ada dinyatakan yang semua orang Islam diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat.

Dalam hadis Nabi yang lain yang telah diriwayatkan oleh Thariq bin Syibab pula menyatakan Rasulullah SAW bersabda:

“Solat Jumaat adalah yang wajib ke atas setiap orang Islam, melainkan empat golongan iaitu hambar yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang sakit.” – (Hadis riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud)

Hadis di atas ini dengan jelasnya mengatakan beberapa pengecualian bagi mereka yang tidak diwajibkan untuk melaksanakan solat tersebut.

Syarat wajib solat Jumaat

  • Islam – tidak wajib bagi orang kafir
  • Baligh – tidak wajib bagi kanak-kanak belum baligh
  • Berakal – tidak wajib bagi orang yang gila
  • Merdeka – tidak wajib ke atas hamba abdi
  • Lelaki – tidak diwajibkan berjemaah untuk orang perempuan
  • Sihat – tidak wajib berjemaah bagi orang yang uzur, dan berhalangan
  • Bermastautin atau bermukim – tidak wajib berjemaah bagi orang yang musafir

Syarat sah solat Jumaat

  • Didirikan di dalam waktu Zuhur.
  • Tempat mendirikan solat Jumaat itu mestilah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang, dan sebagainya.
  • Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang beriman yang tinggal di kawasan itu.
  • Didahului dengan dua khutbah.

Panduan solat Jumaat

solat jumaat

Rukun dalam cara solat Jumaat sama sahaja seperti solat-solat fardhu yang lain. Tetapi yang membezakannya adalah niat sahaja dan bilangan rakaat paling sedikit adalah sebanyak dua rakaat.

1. Berdiri dengan betul, tegak, dan menghadap kiblat.

2. Membaca niat solat Jumaat

solat jumaat

Usolli fardol jum’ati rak’ataini makmuman lillahi taala

“Sahaja aku solat fardhu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.”

3. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut:

الله أكبر

Allahuakbar

Allah Maha Besar

4. Membaca doa iftitah

Doa iftitah bukanlah rukun solat tetapi ia sunat dibaca.

Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin

Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.

5. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

solat jumaat

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

6. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan

7.  Rukuk sambil bertakbir

Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih (diulang sebanyak tiga kali)

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.

8. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini:

solat jumaat

Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu

Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.

9. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini:

Subhana rabbiyal a’la wabihamdih

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.

10. Bacaan duduk antara dua sujud

solat jumaat

Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni

Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.

11. Sujud kembali sambil bertakbir

12. Berdiri semula sambil bertakbir intiqalat untuk memulakan rakaat kedua. Ulangi dengan membaca surah Al-Fatihah sehingga habis dan sujud di rakaat kedua

13. Duduk tahiyat akhir

Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.

14. Memberikan salam

15. Selesai solat fardhu Jumaat, duduk dan amat baik jika kita mengikut imam bertasbih, tahmid, takbir dan berdoa.

Maksud mastautin, mukim, dan musafir serta hukumnya

Jenis JemaahPengertianHukum Solat Jumaat
MastautinOrang yang tinggal tetap di sesuatu tempatWajib solat
MusafirOrang yang sedang dalam perjalanan dengan jarak melebihi dua marhalah (81 km)Wajib solat jika memulakan perjalanan selepas waktu subuh hari Jumaat
MukimOang yang menetap disatu tempat lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari perjalanannyaWajib solat jika mendengar azan

Hikmah disyariatkan solat ini

Umat Islam akan memperoleh banyak manfaat dari solat yang didirikan ini. Antara hikmah ia disyariatkan adalah seperti yang berikut:

  • Melati diri menjadi hamba yang taat kepada perintah Allah SWT.
  • Merapatkan ukhuwah dan memupuk perasaan kasih sayang.
  • Mendengar nasihat, teguran, bimbingan dan pedoman daripada khutbah.
  • Mendapatkan pahala dan ganjaran besar.
  • Melatih diri melakukan perkara yang baik secara berjemaah.
  • Lambang perpaduan dan kekuataan umat Islam.
  • Menzahirkan syiar Islam pada hari kebesaran iaitu hari Jumaat.

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai panduan solat Jumaat ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Sheikh Daud al-Fatani. Matla’ al-Badrain.
  2. Cara Solat Fardhu Jumaat (July, 2020). The Aqra
  3. Tinggal Solat Jumaat Dengan Sengaja? Apa Hukumnya? Ummah Today
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.