Solat Aidiladha: Panduan Lengkap Berserta Amalan Di Pagi Raya

Solat Aidiladha (sunat hari raya haji) merupakan sunat muakkad yang dilakukan pada hari raya Aidiladha atau dikenali sebagai hari raya korban. Segala rukun, syarat serta sunatnya adalah sama seperti melakukan solat pada kebiasaanya.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi mengenai panduan dan cara secara lengkap bagaimana untuk melaksanakan solat aidiladha secara berjemaah ataupun sendirian di rumah.

Baca juga:

Pengenalan Solat Aidiladha


solat aidiladha

Solat sunat aidiladha dilaksanakan setiap tahun pada 10 Zulhijjah. Perkataan ‘eid’ ( العِيْدُ ) diambil daripada perkataan ‘audah’ ( العَوْدة ) yang bermaksud kembali atau berulang.

Mungkin kerana hari raya ini berulang dan kembali setiap tahun atau kerana berulangnya kegembiraan menyambutnya.

Ia merupakan penghormatan dan kesyukuran kepada umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah Haji di Tanah Suci Makkah.

Hari Raya Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau (Hari Raya Korban) digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan haiwan koban.

Hukum mengerjakan solat Aidiladha

Hukum mengerjakan solat sunat ini adalah sunat muakkad, bermaksud sunat yang amat digalakkan di dalam Islam.

Solat sunat ini hendaklah dilaksanakan secara berjemaah dan selepasnya dibacakan dua khutbah oleh khatib (pembaca khutbah).

Waktu bagi solat sunat Aidiladha adalah sesudah terbit matahari, lebih kurang jam 8.00 pagi waktu Malaysia sehinggalah sebelum masuk waktu Zohor.

Cara melaksanakan solat Aidiladha adalah sama sebagaimana solat Aidilfitri, cuma perbezaannya adalah dari segi niat.

solat aidiladha

Amalan Sunnah Pagi Hari Raya Aidiladha


Antara amalan sunat yang boleh dilakukan pada pagi Hari Raya Aidiladha adalah:

  1. Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
  2. Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
  3. Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
  4. Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
  5. Sunat menjamah makan-minum selepas pulang dari masjid.
  6. Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid. Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
  7. Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
  8. Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.
  9. Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
  10. Elakkan menyambut hari raya dengan perkara yang ditegah oleh syarak.

Rasulullah SAW menyarankan umat Islam menyambut hari raya dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda:

“Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah).” (Hadis riwayat al-Thabrani).

Pada Hari Raya Haji / Aidiladha disunatkan bertakbir (Takbir Muqayyad) setiap kali selepas solat fardu, bermula dari Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) sehingga waktu Asar pada hari ke 3 Tasyriq, iaitu 13 Zulhijjah.

Waktu Solat Sunat Aidiladha


Sembahyang solat sunat ini dilakukan pada 10 Zulhijjah. Iaitu ketika mula terbitnya matahari sehingga tergelincirnya matahari lebih kurang jam 8.00 pagi waktu Malaysia sehinggalah sebelum masuknya waktu Zohor.

Disunatkan untuk tidak mengambil sarapan sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُيَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

Maksudnya:

Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)

Niat Solat Sunat Aidiladha


Niat Solat Sunat Aidiladha Bersendirian

solat aidiladha
Usolli Sunnatan Li ‘idilAdha Rak’ataini Adaan Lillahi Taala 

Niat Dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku sembahyang sunat Aidiladha dua rakaat tunai kerana Allah Taala.

Niat Solat Sunat Aidiladha (Makmum)

Usolli Sunnatan Li idilAdha Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala 

Niat Dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku sembahyang sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

Niat Solat Sunat Aidiladha (Imam)

Usolli Sunnatan Li ‘idilAdha Rak’ataini imaman Lillahi Taala 

Niat Dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku sembahyang sunat Aidiladha dua rakaat sebagai imam kerana Allah Taala.
solat aidiladha

Cara Menunaikan Solat Sunat Aidiladha


Solat sunat ini dilakukan sebanyak 2 rakaat, sama seperti mana solat sunat biasa.

Syarat serta sunatnya adalah sama seperti solat biasa cuma ditambahkan dengan bertakbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara setiap takbir.

Berikut merupakan cara atau panduan bagi menunaikan solat aidiladha secara lengkap.

Rakaat pertama

1. Di mulai dengan lafaz takbirratul ihram dengan menyebut “Allahu Akbar” dan disertakan dengan niat di dalam hati.

2. Kemudian, membaca doa iftitah.

3. Seterusnya, Lafaz takbir 7 kali diselang seli dengan tasbih.

solat aidiladha
Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaaHa illallahu Wallahu Akbar Walaa Haulawala Quwwata illa Billahil ‘Aliyyil ‘Adzim 

Maksudnya:

Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

4. Selesai sahaja takbir sebanyak 7 kali, seterusnya, Membaca surah Al-Fatihah.

5. Membaca mana-mana surah (Dicadangkan membaca surah Al-A’laa).

6. Kemudian, rukuk dan sujud seperti biasa sehingga selesai rakaat pertama.

Rakaat kedua

7. Dimulai dengan lafaz takbit intiqalat (takbir intiqalah bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).

8. Bertakbirlah sebanyak lima kali yang diselang-seli dengan bacaan tasbih.

solat aidiladha
Subhanallah Walhamdulillah Wala ilaaHa illallahu Wallahu Akbar Walaa Haulawala Quwwata illa Billahil ‘Aliyyil ‘Adzim 

Maksudnya:

Maha Suci Allah, segala pujian bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar, dan tiada daya dan upaya serta kekuatan (bagi kita) melainkan dengan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

9. Selesai sahaja takbir sebanyak 5 kali, seterusnya, Membaca surah Al-Fatihah.

10. Membaca mana-mana surah dari al-Quran. (Dicadangkan membaca surah Al-Ghahiyah atau Al-Ikhlas).

11. Kemudian, rukuk dan sujud seperti biasa sehingga selesai rakaat kedua.

12. Memberi salam.

Khutbah Aidiladha

Adalah disunatkan untuk dilaksanakan khutbah sesudah sahaja mengerjakan solat Hari Raya. Khutbah Aidiladha ini adalah sama dengan khutbah Jumaat dari segi rukunnya.

Namun sunat di mulakan oleh khatib dengan lafaz takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut pada khutbah pertama dan tujuh kali berturut-turut pada khutbah kedua.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini mengenai panduan solat Aidiladha dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Solat Sunat Aidiladha : Panduan, Lafaz Niat Berjemaah & Sendirian. e-central.my
  2. Panduan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha. JAKIM
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.