Wukuf 2023 / 1444H: Tarikh dan Masa Wukuf di Arafah

Bilakah tarikh dan masa wukuf 2023 di Malaysia bagi jemaah haji dan mereka yang mahu berpuasa sunat Arafah?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan ibadah wukuf 2023.

Apa itu wukuf?

Wukuf adalah berada di Arafah walau apa jua sekalipun dalam sebarang keadaan bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga seketika sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijjah.

Wukuf ini merupakan salah satu dari enam rukun-rukun haji yang perlu anda tahu. Kesan sekiranya kita tidak berwukuf, haji tidak sah.

Syarat-syarat wukuf

  • Berada dalam ihram dengan niat haji
  • Ahli ibadat (tidak gila / mabuk / hilang akal / murtad sepanjang masa wukuf)
  • Berada di bumi Arafah walau seketika dalam waktu wukuf

Amalan sunat yang boleh dilakukan ketika wukuf

  • Solat berjemaah
  • Bertalbiah
  • Berzikir
  • Solat sunat
  • Membaca Al-Quran
  • Berdoa, berselawat, beristighfar

Hadis berkenaan hari Arafah

Hari wukuf di Arafah juga dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud Hari Renungan di mana Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut, akhirnya Baginda memahami maksud mimpi itu.

Arafah merupakan hari yang dimuliakan oleh Allah. Justeru itu adalah setiap orang berkumpul dalam keadaan yang penuh khusyuk dengan cara mengabdikan diri kepada Allah.

Dengan menadah tangan dan berdoa supaya segala dosa yang kita lakukan itu mendapat keampunan serta diterima juga segala amalan di sisi Nya.

Arafah adalah peluang terbaik untuk menumpukan sepenuh hati ibadah kita kepada Allah SWT kerana Padang Arafah antara tempat yang paling mustajab untuk doa

Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya lebih dicintai Allah daripada 10 hari pertama dari bulan Zulhijah”. Mereka (sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, bukankah berjihad di jalan Allah lebih utama darinya?” Baginda SAW bersabda: “Bukanlah berjihad di jalan Allah itu lebih utama darinya, kecuali seseorang yang berjuang dengan dirinya dan hartanya, lalu ia kembali dengan tangan yang kosong tiada ganjaran.” – (Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Waktu / tarikh wukuf 2023

Waktu wukuf adalah bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga seketika sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijjah.

Sedangkan waktu wukuf yang afdhal adalah pada sebahagian daripada siang 9 Zulhijjah dan sebahagian daripada malam 10 Zulhijjah.

Wukuf 2023

Tarikh wukuf 2023 / 1444H adalah pada 27 Jun 2023 hari Selasa. Manakala tarikh jangkaan permulaan 1 Zulhijjah 1444H di Malaysia bagi tahun 2023 ini adalah bermula pada 20 Jun 2023.

Wukuf 2023

Namun begitu sama seperti Hari Raya Aidilfitri, tarikh permulaan bulan Zulhijjah ini akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dan disiarkan secara langsung di setiap televisyen tempatan.

Untuk maklumat lanjut tentang tarikh-tarikh penting dalam Islam, sila rujuk laman web JAKIM di atau Portal e-solat di https://www.e-solat.gov.my/.

Tarikh dan waktu puasa sunat Hari Arafah di Malaysia

Bagi anda yang tidak berkesempatan untuk melaksanakan ibadah haji di tanah suci, janganlah sia-siakan hari tersebut dengan tidak melakukan apa-apa.

Sebaliknya berpuasa sunat pada hari tersebut secara tidak langsung juga dapat meraih lebih fadhilat yang serupa.

Daripada Abu Qatadah al-Anshari RA,  Rasulullah ketika ditanya tentang puasa hari Arafah, Baginda bersabda:

“Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.”  – (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda: 

“Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”

Rasulullah SAW bersabda lagi: 

“Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

Manakala bagi mereka yang melaksanakan ibadah haji, mereka disunatkan untuk tidak berpuasa dan menyalahi perkara utama jika mereka berpuasa juga pada hari ini.

Menjawab persoalan tarikh dan masa berpuasa sunat hari Arafah, ia boleh dilakukan pada 28 Jun 2023, hari Rabu.

Doa wukuf

Untuk perincian himpunan doa wukuf yang mustajab untuk Hari Arafah. Anda boleh baca pada artikel kami yang lalu di https://taqwa.my/doa-wukuf/

Diharapkan semoga perkongsian kami ini mengenai tarikh dan masa wukuf 2023 / 1444H bagi negara Malaysia dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan bersama.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Haji dan Korban Siri Ke-61: Polemik Masyarakat Terhadap Penentuan Hari Wukuf Di Arafah. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-115: Kelebihan-Kelebihan Hari Arafah. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.