Hajarul Aswad: Sejarah dan Peristiwa Yang Boleh Dipelajari

Amalan mencium Hajarul Aswad sangat sinonim kepada umat Islam setiap kali mengerjakan umrah atau haji di Mekah.

Namun tahukah anda, batu ini mempunyai banyak sejarah dan latar belakang yang sangat menarik untuk kita ketahui?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan kisah disebalik Hajarul Aswad.

Baca juga:

Apa itu Hajarul Aswad?

hajarul aswad

Hajarul Aswad (الحجر الأسود) atau Hajar Al-Aswad berasal dari perkataan Arab yang bermaksud batu hitam.

Batu hitam ini boleh anda jumpai di pada sudut timur Kaabah atau lebih mudahnya dari sebelah kiri Multazam iaitu antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah.

Berikut adalah ciri-ciri batu ini yang perlu anda tahu:

  • Berbentuk bundar.
  • Berwarna hitam dan berlubang.
  • Tinggi sekitar 150 sentimeter dari atas tanah.
  • Saiz lingkaran sekitar 30 sentimeter dan mempunyai garis tengah 10 sentimeter (lebih besar daripada lingkaran muka seseorang)

Dikatakan bahawa batu ini berasal dari syurga. Hal ini bertepatan denan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

نَزَلَ الحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الجَنَّةِ، وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Al-Hajar al-Aswad diturunkan dari Syurga. Warna lebih putih daripada putihnya susu tetapi ia telah dihitamkan oleh sebab dosa-dosa anak Adam.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 877)

Hukum mencium hajar aswad

Hukum mencium atau memegang batu Hajar Aswad ini adalah sunat.

Perbuatan kita mencium batu ini bukanlah bermakna kita menyembah batu tersebut. Namun, ini adalah salah satu dari sunnah Nabi Muhammad SAW.

Hal ini seperti mana yang bertepatan dengan hadis:

إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ مَا تَنْفَعُ وَلاَ تَضُرُّ، ولَوْلا أنِّي رأَيْتُ رسولَ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku (Saidina Umar al-Khattab) mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari, No. 167)

Sejarah Hajarul Aswad menurut Islam

Hajarul Aswad dikenali sebagai batu yang diturunkan dari syurga. Ciri batu ini pada asalnya adalah berwarna putih seperti salju.

Namun dikatakan kerana dosa manusia dan kelakukan orang-orang musyrik di muka bumi, batu tersebut akhirnya berubah menjadi hitam.

Hal ini seperti mana yang dinyatakan dalam hadis Ibnu Abbas RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,

نَزَلَ الْحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الْجَنَّةِ وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِى آدَمَ

Maksudnya: “Hajarul Aswad turun dari syurga padahal batu tersebut begitu putih lebih putih daripada susu. 

Dosa manusialah yang membuat batu tersebut menjadi hitam." - (Hadis Riwayat Tirmidzi, No. 877)

Pada tahun 606 M, berlakulah peristiwa di mana perselisihan di antara kabilah-kabilah Arab Quraisy mengenai siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu di tempatnya.

Dengan kebijaksanaan Nabi SAW, baginda telah menghamparkan kainnya dan bersabda:

لتأخذ كل قبيلة بنحية من الثوب

“Hendaklah setiap kabilah memegang tepi kain ini.”

Kemudian Nabi meletakkan Hajar Al-Aswad di tengahnya. Nabi perintahkan supaya kain diangkat menuju ke tempatnya.

Nabi mengambil Hajar Al-Aswad dengan tangannya yang mulia dan diletakkan pada tempatnya.

Tindakan ini telah menyebabkan Nabi SAW mendapat penilaian dan penghormatan yang besar dari ketua-ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu.

Berkenaan dengan Hajar Al-Aswad yang dihiasi dengan lingkaran pita perak di sekelilingnya pula, ia sebenarnya baru sahaja dilakukan setelah kewafatan Rasulullah SAW.

Individu yang pertama yang bertanggungjawab memasang lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Al-Aswad adalah, Abdullah bin Zubair.

Hajar Al-Aswad pernah dicuri?

Melalui satu peristiwa serangan ke atas Masjidil Haram, ia membawa kesan kepada pencurian Hajar Al-Aswad oleh Abu Tharir dari Daulah Qaramithah.

Hajar Al-Aswad telah dibawa bersama segala harta rampasan jemaah haji ke pusat pemerintahan mereka di Al Ahsa.

Batu itu disimpan selama 22 tahun dan dikatakan cuba untuk dihancurkan.

Namun akhirnya, Khalifah Al-Muktadir Billah telah melancarkan satu serangan terhadap kelompok ini dan merampas batu itu semula dan kembali dibawa ke Masjidil Haram.

Tips untuk dapat mencium Hajarul Aswad

hajarul aswad

Berikut adalah beberapa langkah untuk memudahkan anda mencium batu ini:

  1. Lakukan selepas tawaf sunat. Bukan semasa anda buat tawaf umrah.
  2. Pasangkan niat dan berdoa untuk mengucup Hajar Al-Aswad agar dipermudahkan urusan tersebut.
  3. Mula bergerak dari rukun yamani mengjala ke Hajar Al-Aswad.
  4. Posisikan kedudukan anda hampir atau rapat dengan dinding Kaabah.
  5. Jangan masuk dari arah bertentangan dengan Hajar Al-Aswad sebab orang yang selesai mencium Hajar Al-Aswad akan menolak keluar badan mereka dari arah situ.
  6. Dari rukun yamani bergerak perlahan-lahan ke Hajar Al-Aswad sambil berzikir dan ambik posisi sebolehnya untuk pegang tali tebal hitam yang ada disekeliling.
  7. Waktu yang paling ideal untuk anda pergi adalah awal pagi iaitu 1-2 jam sebelum subuh sebab belum ramai orang.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan sejarah Hajarul Aswad dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. #1889: Hukum Mencium Hajar Aswad. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-472: Al-Hajar Al-Aswad Tangan Kanan Allah Di Bumi. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.