Doa Ditimpa Musibah dan Adab Ketika Menghadapinya
Musibah datang dalam hidup kita dari pelbagai bentuk yang kadang kala membuatkan kita lemah dan tidak berdaya. Justeru, Islam mengajarkan kita untuk membaca doa ditimpa musibah ini agar terus sabar dan redha dengan ujian yang diberikan.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan beberapa doa ditimpa musibah untuk anda bermuhasabah diri setiap kali mendapat ujian.
Baca juga:
Himpunan doa ditimpa musibah
Berikut ini adalah beberapa contoh doa ditimpa musibah dalam bahasa Arab, rumi dan terjemahannya untuk anda jadikan panduan.
Doa 1
Ummu Salamah membaca doa ini ketika suaminya, Abu Salamah meninggal dunia. Lalu Allah menggantikan suaminya dengan insan yang lebih baik apabila Rasulullah SAW meminangnya.
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللَّهُمَّ أْجُرْنِى فِى مُصِيبَتِى وَأَخْلِفْ لِى خَيْرًا مِنْهَا
Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raaji’un. Allahumma’Jurni Fii Musibati, Wa Akhlifli Khairan Minha
"Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya." - (Hadis Riwayat Muslim, no. 918)
Doa 2
Rasulullah SAW juga ketika melihat perkara yang kurang menyenangkan atau yang memudaratkannya, Baginda akan mengucapkan:
الحَمْدُ لِله عَلَى كُلِّ حَال
"Segala puji bagi Allah di atas setiap perkara."
Doa 3
إنّاَ للهِ وإنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
"Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya lah akan kembali".
Doa 4
لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ العَظِيْمُ الحَلِيْمُ . لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ رَبُّ السَّمَوَاتِ وَ الأَرْضِ. وَرَبُّ العَرْشِ العَظِيْمِ
Lailaha illallahul adhimul halimu. La ilaha illallahu rabbussamawati warabbul ardhi. Wa rabbul arsyil adhimi.
"Tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Besar dan Maha Pemurah. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan langit dan bumi serta Tuhan Arasy yang Maha Besar."
Doa 5
Daripada Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW, apabila menghadapi suatu masalah, beliau berdoa,
“Wahai Yang Maha Hidup Kekal, Yang terus menerus mengurus (makhluk-Nya), hanya dengan rahmat-Mu saja, saya meminta pertolongan.” – (Hadis Riwayat al-Tirmidzi, No. 3524)
Doa 6
Doa Nabi Yunus saat berada di perut ikan:
“Bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” – (Surah Al-Anbiya, ayat 87).
Doa 7
Dari Sa’ad bin Abi Waqqash RA berkata, Nabi SAW bersabda, Doa Nabi Yunus taatkala ia berada di dalam perut ikan:
“Bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.
Sesungguhnya tidak ada seorang Muslim yang berdoa kepada Rabb-nya dengan doa itu dalam keadaan apapun kecuali Allah akan mengabulkan untuknya.” – (Hadis Riwayat al-Tirmidzi, No. 3505)
Doa 8
Doa ketika nabi keluar dari rumah: Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Nabi SAW bersabda:
Apabila seseorang keluar dari rumahnya lalu membaca, “Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan Nya.” – (Hadis Riwayat Abu Dawud, No. 4431)
Doa 9
Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang membaca:
“(Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”
sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.
Dan barangsiapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 5088)
Doa 10
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata:
Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu:
“(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta)’ nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudaratkan kamu.” – (Hadis Riwayat Muslim, No. 2709)
Doa 11
Daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Rasulullah berdoa:
“Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk).” – (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 1554)
Doa 12
وَقُلْ رَّبِّ اَعُوْذُ بِكَ مِنْ هَمَزٰتِ الشَّيٰطِيْنِ
Wa qur rabbi a’uzu bika min hamazaatisy-syayaatiin
Dan katakanlah: "Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan."
Doa 13
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
La Ilaha Illallahul ‘Azhimul Halim, La Ilaha Illallahu Rabbul ‘Arsyil ‘Azhim, La Ilaha Illallahu Rabbus Samawati wa Rabbul’ Ardhi wa Rabbul ‘Arsyil Karim
"Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Yang Maha Agung lagi Lemah-Lembut, Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Tuhan Pemilik Arsy yang agung, Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Tuhan pemilik langit dan bumi, dan pemilik Arsy yang mulia."
Doa 14
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Rabbana afrig ‘alaina shabran wa tsabbit aqdamana
"Ya Tuhan kami, berikanlah kesabaran dalam diri kami dan berikanlah kami pendirian yang kukuh."
Adab ketika berhadapan dengan musibah
Musibah boleh datang dan pergi secara tiba-tiba atas izin Allah. Justeru, jika kita tidak mempunyai keimanan yang kukuh dan teguh, kita mungkin tidak akan mampu untuk menghadapinya dengan penuh keikhlasan dan redha.
Kita akan diuji dari pelbagai bentuk seperti kehilangan, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan, kesakitan, kesengsaraan, bencana alam atau wabak penyakit.
Dalam menghadapi musibah ini, perkara yang pertama perlu kita buat adalah bersabar dan ikhlas dalam menerimanya.
Kemudian berdoa agar Allah memudahkan segala urusan dan memberi pertolongan menghadapi ujian tersebut.
Kita juga hendaklah berusaha menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang azab Allah.
Hal ini kerana, musibah juga mungkin berlaku disebabkan perbuatan dan kealpaan manusia sendiri.
Sepertimana yang disebutkan dalam Hadis Rasulullah SAW, turunnya bala kepada manusia adalah berpunca daripada kesalahan dan maksiat yang berlaku:
إِذَا ظَهَرَتْ الْمَعَاصِي فِي أُمَّتِي عَمَّهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَذَابٍ مِنْ عِنْدِهِ
“Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab, seksa, kepada mereka.” – (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan doa ditimpa musibah ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Sumber:
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-514: Ucapan Terbaik Ketika Seseorang Ditimpa Musibah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-149: Beramal Dengan Hadis Elak Musibah Oleh Ummu Salamah. Mufti Wilayah Persekutuan