10 Amalan Sunat Hari Raya Aidilfitri Perlu Anda Tahu

Ramai orang melupakan amalan sunat hari raya Aidilfitri yang sebenarnya membawa banyak pahala dan kebaikan kepada diri dan keluarga.

Artikel pada kali kami akan berkongsi kepada anda mengenai beberapa contoh amalan sunat hari raya Aidilfitri sangat bagus jika diamalkan oleh umat Islam.

Pengenalan

Hari Raya Aidilfitri atau dalam bahasa arabnya (الفطر عيد) mempunyai pengertian yang sangat istimewa untuk seluruh umat Islam.

Eid (عيد) bermaksud kembali manakala fitri (فطر) bermaksud fitrah yang mana membawa maksud “kembali kepada fitrah”.

Makna dari perkataan fitrah di sini menunjukkan kepada kejadian manusia yang suci bersih daripada dosa seperti bayi yang baru dilahirkan.

Justeru itulah, hari raya Aidilfitri ini disambut dengan penuh kegembiraan bagi
meraikan kembalinya kita kepada fitrah.

Walaupun begitu, meraikan hari raya Aidilfitri juga merupakan satu ibadah jika ia dilaksanakan dengan betul dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Antara amalan hari raya Aidilfitri yang boleh kita lakukan adalah seperti yang berikut:

Amalan Sunat Hari Raya Aidilfitri

1. Memperbanyakkan takbir

Kita disunatkan melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah dilihat dengan jelas dan diteruskan lagi sehingga 1 Syawal.

Ibn Umar RA keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

2. Mandi sunat Aidilfitri

amalan sunat hari raya aidilfitri

Mandi sunat hari raya biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya.

Dalilnya ini berdasarkan daripada amalan para sahabat:

عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى

Maksudnya: “Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar RA mandi pada Hari Raya Aidilfitri sebelum pergi ke tempat solat.” – (Muwatta’ Malik, hadis sahih)

Selain itu, berdasarkan hadis riwayat Al-Baihaqi:

Maksudnya: Ali bin Abi Thalib RA pernah ditanya mengenai mandi. “Adakah diharuskan mandi setiap hari?” Beliau menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Waktu mandi sunat ini diharuskan bermula dari tengah malam manakala waktu yang disunatkan pula adalah selepas terbitnya fajar hingga terbenam matahari.

Sebelum mandi, jangan lupa untuk baca lafaz mandi sunat seperti yang berikut:

نويت الغسل لعيد الفط سنة لله تعلى

Maksudnya: “Sahaja aku mandi sunat Aidilfitri kerana Allah Ta’ala.”

Kemudian, mandilah seperti biasa seperti mana yang kita lakukan setiap hari.

3. Memakai haruman

amalan sunat hari raya aidilfitri

Kita memakai wangian setiap hari kerana untuk menghilangkan bau badan dan menambah keyakinan diri. Namun jauh dari semua itu, kita terlupa bahawa berwangi-wangian ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW.

Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Tiga perkara yang disukai oleh ku daripada dunia 1. Wanita yang halal 2. Wangian 3. Rasa seronok dalam solat.” – (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi- hadis hasan)

Bahkan Rasulullah SAW juga amat menyukai wangian, dan baginda tidak pernah menolak pemberian seperti wangian.

4. Memakai pakaian yang indah

Pakaian yang indah di sini bukanlah bermaksud pakaian yang mewah dan baru. Sebaliknya pakailah sesuatu yang istimewa mengikut kemampuan diri kita dan elakkan dari membazir.

Sekiranya baju tahun lepas masih cantik dan bagus untuk dipakai, maka tidak salah untuk kita memakainya.

5. Mengerjakan solat sunat Aidilfitri

Solat sunat Aidilfitri adalah solat dua rakaat yang dilakukan pada 1 Syawal. Solat ini mempunyai rukun dan syarat serta sunatnya yang sama seperti solat fardu yang lima.

Kecuali ada perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir.

Hukum mendirikan solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakkad. Lafaz niat solat sunat Aidilfitri ini adalah seperti yang berikut:

أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala.”

6. Saling ziarah-menziarahi

Dikesempatan ini rebut sebanyak mungkin pahala kita menyambut hari raya dengan keluarga dan sanak-saudara.

Amalkan budaya ziarah-menziarahi kerana begitu banyak faedahnya boleh kita perolehi selain merapatkan hubungan sesama manusia.

Hadis dari Nabi Muhammad SAW bermaksud:

“Barangsiapa yang suka untuk memperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Memperbanyakkan bersedekah

Untuk menyambut hari raya ini, tentunya banyak persiapan yang perlu kita buat dan sediakan. Dan untuk memastikan persiapan itu berjalan lancar, tidak dinafikan wang ringgit sangat penting untuk membeli barang dapur dan sebagainya.

Sebagai seorang anak, berilah kelapangan kepada keluarga dari segi perbelanjaan, memperbanyakkan sedekah sekadar yang termampu.

8. Berpuasa sunat 6 hari

Puasa 6 hari pada bulan Syawal mempunyai banyak kelebihannya seperti mana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” – (Hadis Riwayat Muslim, 1164)

Puasa sunat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dalam bulan Syawal kecuali 1 Syawal.

Lafaz niat puasa 6 Syawal adalah seperti yang berikut:

نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِنَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى

Maksudnya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari Syawal kerana Allah Ta’ala”

9. Ucap selamat dan saling mendoakan

Bersalam-salaman, maaf-memaafkan, dan saling mendoakan antara satu sama lain merupakan amalan yang terpuji.

Doa dan ucapan yang baik-baik kita keluarkan dari bibir ini untuk orang lain sebenarnya pada akhir nanti ia semua akan berbalik kepada diri kita sendiri juga.

Hal ini seperti mana sabda Rasulullah SAW:

“Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim dari jauh tanpa diketahui olehnya akan dikabulkan. Di atas kepala orang Muslim yang berdoa ada malaikat yang telah diutus menjaganya. Setiap kali ia berdoa untuk kebaikan bagi saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan Amin (semoga Allah mengabulkan) dan bagi kamu juga akan mendapatkan seperti itu.” – (Hadis Riwayat Muslim, 4914)

10. Menjamah makanan sebelum keluar

Makan sebelum keluar rumah untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri adalah amalan sunat hari raya Aidilfitri juga.

Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.” – (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih)

Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai amalan sunat hari raya Aidilfitri ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama semasa menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal nanti.

Sumber:

  1. Cara Menyambut Aidilfitri Mengikut Sunnah. Mufti Terengganu
  2. Hari Raya Menurut Islam. Mufti Pahang
  3. Bayan Linnas Siri Ke-23: Adab Berhari Raya dan Kesilapannya. Mufti Wilayah Persekutuan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.