12 Adab Bersedekah Yang Tidak Ramai Orang Tahu
Apa yang ingin dilakukan oleh orang yang telah meninggal dunia seandainya diberikan kesempatan untuk hidup? Dalam Surah Al-Munafiqun ayat 10, Allah SWT menyebut bahawa seseorang yang banyak dosa lalu dia meninggal dunia, dan amalannya tidak mencukupi untuk menyelamatkannya di akhirat, dia hanya merayu kepada Allah agar dikembalikan ke dunia untuk bersedekah. Ternyata sedekah mempunyai manfaat yang cukup besar. Oleh yang demikian, apakah adab bersedekah yang boleh kita amalkan? Ikuti perkongsian ini sehingga ke penghujungnya.
Apakah itu bersedekah?
Perkataan sedekah berasal dari bahasa Arab iaitu “shadaqah”. Asalnya dia adalah dari perkataan “sidq” yang bermaksud kebenaran. Dari segi bahasa, sedekah adalah kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih.
Manakala dari segi istilah, ulama’ memberi maksud bersedekah adalah pemberian semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaan Nya. Bahkan ini telah dijelaskan sendiri oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 271:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksundya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Jenis-jenis sedekah
Umumnya, sedekah ini mempunyai dua jenis kategori iaitu sedekah sunat ataupun sedekah fardhu. Zakat adalah contoh bagi sedekah fardhu. Manakala bgai sedekah sunat ataupun jariah ini ia akan terus mengalir manfaatnya sunggupun penyumbang sudah meninggal dunia dan bersifat kekal sehingga bila-bila.
Ini berdasarkan dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” – [Hadis Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)]
Sedekah jariah termasuklah seperti:
- Ilmu yang diajarkan dan sebarkan
- Anak soleh yang dia tinggalkan
- Mushaf Al-Quran yang dia wariskan
- Masjid yang dibina
- Rumah bagi ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan) yang dia bina
- Sungai yang dia alirkan
- Sedekah yang dia keluarkan dari harta ketika dia sihat dan hidup
Adab bersedekah yang boleh diamalkan
Dalam bersedekah bukanlah semata-mata kita memberikan sesuatu kepada orang sahaja. Ini kerana masih terdapat beberapa adab yang perlu diketahui, dijaga, dan diamalkan untuk memperoleh pahala yang sempurna. Antara adab bersedekah yang perlu anda tahu adalah seperti yang berikut:
1. Mendahulukan sedekah kepada orang terdekat
Salman bin ‘Amir RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturrahim.”- (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Pada hadis yang lain juga dibahaskan soal mendahulukan sedekah kepada orang terdekat iaitu:
“Sedekahlah kepada orang miskin (mendapat satu pahala), sedangkan sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala silaturrahim.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Orang terdekat yang dimaksudkan ini adalah mereka yang mempunyai pertalian darah dengan diri kita seperti keluarga, adik beradik, atau saudara-mara.
2. Tidak mengungkit sedekah yang diberikan
Mengungkit sedekah yang diberikan sama erti dengan kita tidak ikhlas dalam memberi. Inilah yang kita amat risaukan selama ini. Hal ini kerana, ikhlas sangat berkait rapat dengan hati manusia. Kita sukar untuk menjemput hati yang ikhlas jika tidak menetapkan tujuan beribadah hanya semata kerana Allah SWT.
Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu dengan menyebut-menyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima).” – (Surah al-Baqarah, ayat 264)
3. Dari sumber yang halal
Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Allah SWT kurangkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya.” – (Surah al-Baqarah, ayat 276)
Pastikan sedekah diberi dari sumber yang halal, suci, dan tidak diragui dalam apa jua aspek.
4. Sedekah dari harta yang disayangi
Sedekah yang paling baik adalah bersedekah dari harta yang sangat kita sayangi. Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 92:
Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”
5. Bukan sedekah untuk menunjuk-nunjuk
Sedekah mempunyai dua cara iaitu sedekah secara terang atau sedekah secara tersembunyi. Kedua-duanya sebenarnya memberikan kebaikan yang tersendiri. Contohnya bersedekah secara terang atau dilihat oleh orang lain boleh memberikan pengajaran kepada orang lain untuk mencontohi perbuatan baik yang kita lakukan.
Manakala sedekah secara tersembunyi akan mendidik diri kita lebih ikhlas dengan amal kebaikan yang dibuat. Namun titik pertemuan yang membezakan orang yang diterima amal sedekahnya atau tidak bukanlah kepada cara dia bersedekah tetapi keikhlasan hatinya.
6. Tunaikan sedekah yang wajib dahulu
Sedekah yang wajib diberikan adalah zakat. Oleh yang demikian, sekiranya terdapat pilihan untuk memberikan sedekah kepada sedekah sunat atau wajib maka mesti diutamakan yang wajib dahulu.
7. Lebih baik menjadi pemberi dari penerima
Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah
Itulah hadis yang selalu kita baca dan dengar apabila bercakap dalam konteks sedekah. Hadis ini sebenarnya menerangkan kita bahawa adalah lebih baik untuk kita menjadi pemberi sedekah daripada penerima sedekah. Lantas ia juga menggalakkan orang Islam untuk berusaha dari meminta sedekah.
8. Tidak buruk siku dengan pemberian yang diberi
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang bersedekah kemudian dia mengambil kembali sedekahnya, seperti anjing yang memuntahkan sesuatu kemudian ia menjilat muntahnya untuk memakannya kembali.” – (Hadis Riwayat Muslim)
9. Menginsafi dari perbuatan sedekah yang dibuat
Lebih banyak kita beri, sepatutnya lebih banyak kita bersyukur dengan rezeki kita ada. Inilah yang sepatutnya disematkan dalam diri masing-masing. Sedar hakikat harta dan rezeki ini hanyalah pemberian dari Allah yang sementara.
10. Jangan menunda bayar zakat
Segerakan diri kita membayar zakat jika tidak mempunyai apa-apa keuzuran.
Daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” – (Hadis Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)
11. Memberikan sedekah pada orang yang tepat
Firman Allah yang bermaksud : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” – (Surah al-Taubah, ayat 60)
12. Bersedekah walau sedikit
Sedekah bukan dikira dari banyaknya jumlah sedekah. Sedekah juga bukan dikira dari mewahnya pemberiaan atau bernilainya barang sumbangan yang diberikan. Tetapi sedekah itu kita memberi walau sedikit yang penting ikhlas kerana Nya.
Sumber:
- Bersedekah Pada Hari Jumaat Sangat Dianjurkan Islam, Tetapi Jangan Bertangguh Untuk Lakukan Amalan Mulia Itu Pada Hari Lain. Sinar Plus
- Bayan Linnas Siri Ke-194: Konsep Sedekah Jariah Menaja Kesatuan Ummah. Mufti Wilayah Persekutuan
- Dahsyatnya Sedekah Di Bulan Ramadhan. Mufti Negeri Kedah
- Pengertian & Maksud Sedekah Dalam Islam. Perkim Datuk Keramat