Doa Masuk Syurga dan Dijauhkan Dari Neraka (Hadis Sahih)

Apakah doa masuk syurga yang boleh kita baca setiap hari dan amalkan?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan doa masuk syurga dan perihal berkaitan syurga berpandukan Al-Quran dan hadis.

Baca juga:

Apa itu syurga?

Syurga adalah tempat, kediaman, atau rumah yang disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba Nya yang bertakwa kepada Nya, sebagai balasan atas keimanan dan amal soleh mereka semasa di dunia.

Di dalam Al-Quran, syurga juga disebut sebagai Al-Jannah. Makna Al-Jannah dari sudut bahasa merujuk kepada taman-taman, pokok-pokok dan kebun.

Menurut Al-Raghib Al-Asfahani, perkataan al-jannah adalah merujuk kepada setiap “taman” (bustan). Manakala Ibn Manzur pula berpendapat bahawa kalimah al-jannah bermaksud “taman” (al-hadiqah).

Di sudut istilah, al-jannah digambarkan sebagai suatu kebun yang suasananya nyaman, dihiasi dengan segala kemegahan yang tidak terhitung, dinaungi oleh pelbagai pokok-pokok rendang dan terlindung dari cuaca yang sejuk dan panas.

Al-Jannah juga merujuk kepada suatu tempat yang disediakan oleh Allah SWT bagi hamba-hambaNya yang bertakwa sebagai ganjaran di atas keimanan dan amalan soleh yang di lakukan.

Selain itu, dikatakan juga di dalam syurga terdapat pelbagai kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati dan fikiran manusia.

Nama-nama syurga

Para ulama kalam juga berbeza pandangan mengenai jumlah mana-mana syurga, ada yang mengatakan empat, ada yang mengatakan tujuh dan, ada yang mengatakan lapan dan sembilan.

1. Jannatul Firdaus

Dikenali sebagai syurga pohon anggur dan kurma. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kahfi, ayat 107:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ كَانَتْ لَهُمْ جَنَّاتُ الْفِرْدَوْسِ نُزُلً

Maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat tetamu (yang serba mewah)”

Ciri-ciri penghuni Syurga Firdaus adalah:

  • Orang yang menjaga dan memelihara solatnya.
  • Orang yang sentiasa membayar zakat.
  • Orang yang sentiasa menjaga lidah dari mengeluarkan perkataan yang kesat dan perkara-sia-sia.
  • Para syuhada’ yang mati syahid kerana berjihad ke jalan Allah, para nabi dan rasul.
  • Orang yang sentiasa menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka.

2. Jannatul Ma’wa

Dikenali sebagai tempat kembali. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Najm, ayat 15:

عِنۡدَہَا جَنَّۃُ الۡمَاۡوٰی

Maksudnya:

“Yang di sisinya terletak syurga al-Ma’wa”

Ciri-ciri penghuni Syurga Ma’wa adalah:

  • Orang-orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh.
  • Orang yang bertakwa kepada Allah S.W.T.
  • Orang yang takut kepada kebesaran Allah S.W.T dan menahan diri dari hawa nafsu.

3. Jannatu ‘Adn

Dikenali sebagai taman kekal abadi (tidak berubah). Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nahl, ayat 31:

جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَآءُونَ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْزِى ٱللَّهُ ٱلْمُتَّقِينَ

Maksudnya:

(Untuk mereka) Syurga-syurga ” Adn “, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa.

4. Jannatul Khuld

Dikenali sebagai taman yang kekal. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Furqan, ayat 15:

قُلْ أَذَٰلِكَ خَيْرٌ أَمْ جَنَّةُ الْخُلْدِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ ۚ كَانَتْ لَهُمْ جَزَاءً وَمَصِيرًا

Maksudnya:

Katakanlah: “Apa (azab) yang demikian itukah yang baik, atau surga yang kekal yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa?” Dia menjadi balasan dan tempat kembali bagi mereka?”

Ciri-ciri penghuni Syurga Khuldi adalah:

  • Orang-orang sentiasa menjalankan segala perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya

5. Jannatun Na’im / Naiim

Dikenali sebagai taman kenikmatan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Syu’ra, ayat 85:

وَاجْعَلْنِيْ مِنْ وَّرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيْمِ

Maksudnya:

“Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Na’im”.

Ciri-ciri penghuni Syurga Na’im

  • Orang yang beriman dan beramal soleh
  • Orang-orang yang bertakwa

6. Darussalam / Dar al-Salam

Dikenali sebagai negeru sejahtera. Allah SWT berfirman dalam surah Al-An’am, ayat 127:

لَهُمْ دَارُ ٱلسَّلَٰمِ عِندَ رَبِّهِمْ ۖ وَهُوَ وَلِيُّهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Maksudnya:

“Bagi merekalah syurga Dar al-Salam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dialah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.” 

Ciri-ciri penghuni Syurga Darussalam/ Dar al-Salam adalah:

  • Orang yang berpegang tuguh kepada keimanannya.
  • Orang yang sering memerhatikan ayat-ayat al-Quran dan sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan sehariannya kerana Allah.

7. Darul Muqamah

Dikenali sebagai negeri ketenangan. Allah SWT berfirman dalam surah Fathir, ayat 35:

ٱلَّذِىٓ أَحَلَّنَا دَارَ ٱلْمُقَامَةِ مِن فَضْلِهِۦ لَا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلَا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ

Maksudnya:

“Dan mereka berkata:” Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita kami. Sesungguhnya Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun. Yang menempatkan kami dalam tempat yang kekal (syurga) dari kurnia-Nya; di dalamnya kami tiada berasa lelah dan tiada pula berasa lesu.”

Ciri-ciri penghuni Syurga Darul Muqamah adalah:

  • Orang-orang yang sentiasa berpegang teguh kepada iman dan islam.
  • Orang yang sentiasa banyak melakukan amal soleh.

8. Darul Qarar

Dikenali sebagai negeri kekal abadi.

9. Jannatul A’liyah

Dikenali sebagai taman yang tinggi pada darjat dan kemuliaan.

*Menurut Ar-Razi, Al Tabari dan Al Alusi, syurga tertinggi adalah Al-Firdaus.

Gambaran tentang syurga

Daripada Abi Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Tanah syurga berwarna putih, halamannya adalah batu-batu dari kapur barus dan ia dikelilingi oleh kesterui seperti bukit pasir. Di dalamnya terdapat sungai-sungai yang mengalir kemudian penghuni syurga berkumpul di dalamnya dan berkenalan.

Lantas Allah SWT menghembuskan angiin rahmat lalu berhembuslah aroma kesturi pada mereka. Masing-masing mereka pulang menemui isterinya dan mereka bertambah tampan hingga isterinya berkata.

“Dahulu kamu telah pergi dari sisiku dan sekarang kamu kembali dalam keadaan yang sangat menakjubkan dan mempersonakan aku.” – (Hadis: Al Taghrib wa Al Tarhib 4/373)

Antara kenikmatan syurga yang disebutkan dalam Al-Quran adalah seperti berikut:

  • Sungai yang banyak dan air yang tidak pernah kering (surah Muhammad, ayat 15)
  • Penuh tersedia dengan berbagai buah-buahan dan daging burung (surah Al-Waqiah, ayat 20-21)
  • Dilayani oleh wildan yang muda lagi rupawan (surah Ad-Dahr, ayat 19-21)
  • Makanan dihidangkan menggunakan piring dan gelas daripada emas (surah Az-Zukhruf, ayat 71)
  • Sungai-sungai mengalir di bawah bilik-bilik mereka (surah Az-Zumar, ayat 20)
  • Ditemani isteri-isteri yang dijadikan sentiasa muda, jelita dan suci (surah Al-Waqiah, ayat 35-37)
  • Keharuman syurga dapat dicium dari jarak perjalanan 1000 tahun
  • Penghuni syurga hidup dalam ketenangan, kedamaian, tiada dengki dan permusuhan (surah Al-Hijr, ayat 45-48)
  • Tiada percakapan sia-sia, yang ada hanyalah kata-kata yang mensucikan Allah (surah Al-Waqiah, ayat 25-26)
  • Dapat melihat Allah (surah Al-Qiyamah, ayat 22-23)
  • Dapat bermunajat dan menerima ucapan penghormatan daripada Allah SWT (surah Yasin, ayat 55-58)
  • Memperoleh keredhaan Allah (surah At-Taubah, ayat 72)
  • Mendapat rahmat Allah (surah Al-Hadid, ayat 21)

Doa masuk syurga dari Rasulullah

Doa ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, di mana beliau berkata bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kepada beliau doa ini.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ،وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang aku ketahui mahupun tidak aku ketahui.

Aku berlindung kepada-Mu dari semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui.

Ya Allah, sungguh aku memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan aku berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan.

Dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan aku memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untukku.”

Riwayat Ibn Majah (3846), Ahmad (25180), al-Tabarani (2/252) dan Ibn Hibban (458)

Syurga itu mahal perlu pengorbanan

Setiap orang pastinya ingin mendapatkan nikmat di syurga. Namun jelasnya syurga itu amat mahal.

Sekiranya masih ada lagi umat Islam terpesona dengan kenikmatan dunia, maknanya dia belum memahami hakikat kenikmatan syurga Allah SWT.

Semua manusia layak mendapat ganjaran syurga asalkan setiap perintah Allah SWT dipatuhi dengan kesedaran bahawa kehidupan di dunia adalah untuk bercucuk tanam bagi meraih hasilnya dengan ganjaran syurga nanti.

Menurut al-Imam al-Tibi, hadis ini adalah satu perumpamaan yang diberikan oleh Rasulullah agar kita merancang dan berusaha bersungguh untuk mencapai destinasi syurga. Kita hendaklah merancang, bertindak keluar awal dan bergerak cergas bagi mencapai destinasi akhirat kerana syurga Allah itu mahal. (Tuhfah al-Ahwazi)

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan doa masuk syurga dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. #3474: Doa Untuk Mohon Masuk Syurga dan Dijauhkan Daripada Neraka. Maktabah Al Bakri
  2. Syurga Keindahan & Kenikmatannya. Ustaz Muhadir Haji Joll
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.