Surah Al-Maun (سورة الماعون): Teks Arab & Rumi Serta Pengajarannya

Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati surah Al-Maun yang sepatutnya anda perlu tahu.

Di sini juga disediakan audio bacaan surah ini dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.

Baca juga:

Pengenalan tentang surah Al-Maun

surah Al-Maun

Surah Al-Maun adalah surah yang diturunkan di Mekah dan mempunyai tujuh ayat keseluruhannya.

Nama surah ini yang bermaksud barang-barang yang berguna, diambil dari perkataan Al-Maun pada akhir surah.

Nama lain bagi surah ini adalah surah ad-Din kerana di awal surah, Allah mencela golongan yang mendustakan ad-Din atau agama Islam.

Ringkasan surah Al-Maun

Terdapat dua gambaran penting berkenaan perilaku manusia dalam surah ini.

Pertama (ayat 1-3): perilaku manusia yang mendustakan ad-din dan melakukan penganiayaan terhadap manusia. Ia merujuk kepada golongan Musyrikin.

Kedua (ayat 4-7): khusus kepada orang munafik dan orang Muslim yang cuai terhadap tanggungjawabnya kepada Allah, iaitu dalam hal menunaikan hak kepada Allah untuk menyempurnakan solat dengan bersungguh-sungguh; juga celaan kepada orang enggan memberi pertolongan.

Di awal surah (ayat 1-3) ia membincangkan tentang orang-orang kafir. Manakala di akhirnya (ayat 4-7) ia memperkatakan tentang orang-orang munafik.

Permulaan surah mengandungi celaan terhadap orang-orang kafir yang mendustakan ad-Din. Yakni agama Islam dan Hari Pembalasan. Mereka mempunyai dua sifat utama:

  1. Mereka tidak suka, bersikap kasar dan mengusir anak-anak yatim
  2. Mereka tidak menggalakkan orang lain memberi makan kepada fakir miskin dan tidak suka berbudi kepada orang lain.

Manakala di akhir surah (ayat 4-7) mengandungi celaan terhadap orang-orang munafik yang menzahirkan keislaman dan menyembunyikan kekufuran.

Golongan ini mempunyai tiga sifat utama yang ditonjolkan secara peribadi iaitu:

  1. Lalai dan cuai dari mendirikan solat.
  2. Suka mempamerkan apa-apa yang dilakukannya kepada orang lain.
  3. Enggan memberi bantuan yang lumrah (yang biasa) kepada jiran.

Bacaan surah Al-Maun

(1) أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ

Ara ‘aytal lazee yukazzibu biddeen

Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?

(2) فَذَٰلِكَ ٱلَّذِي يَدُعُّ ٱلۡيَتِيمَ

Fazaalikal lazee yadu’ul-yateem

Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

(3) وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ

Wa la yahuddu ‘alaa ta’aamil miskeen

Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

(4) فَوَيۡلٞ لِّلۡمُصَلِّينَ

Fa wailul-lil musalleen

(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -

(5) ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِهِمۡ سَاهُونَ

Allazeena hum ‘an salaatihim saahoon

(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

(6) ٱلَّذِينَ هُمۡ يُرَآءُونَ

Allazeena hum yuraaa’oon

(Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

(7) وَيَمۡنَعُونَ ٱلۡمَاعُونَ

Wa yamna’oonal maa’oon

Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

Pengajaran surah Al-Maun

Antara pengajaran yang boleh kita pelajari dari surah Al-Maun adalah seperti:

  • Pentingnya berbuat baik kepada anak-anak yatim dan fakir miskin.
  • Melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh.
  • Memupuk sikap suka membantu meraka yang dalam kesusahan

Semoga dengan panduan membaca surah Al-Maun ini dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Sumber:

  1. Al -Quran dan Terjemahannya
  2. Tafsir Ibn Kathir Versi Bahasa Melayu. Telaga Biru
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.