Amalan Antara Maghrib Isyak Dalam Masa 60 Minit
Apakah amalan antara maghrib isyak yang boleh kita amalkan dengan segera tetapi mempunyai pahala yang besar?
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda beberapa amalan antara maghrib isyak yang boleh anda lakukan.
Baca juga
Waktu maghrib ke isyak
Tempoh waktu antara maghrib ke isyak boleh dikatakan agak pendek berbanding waktu solat yang lain.
Jaraknya antara 30 minit hingga 45 minit mengikut zon waktu solat yang telah ditetapkan.
Amalan antara maghrib isyak
1. Solat Sunat Awwabin
Solat sunat awwabin adalah solat yang (صلاة سنة الأوابين) adalah solat sunat yang dilaksanakan antara waktu Maghrib dan Isyak.
Awwabin bermaksud orang orang yang kembali kepada Allah ataupun orang yang bertaubat kepada Allah
Ia dinamakan al-Awwabin iaitu kembali mengingati Allah dengan melaksanakan amalan sunat kerana pada waktu tersebut (antara Maghrib dan Isyak) manusia sedang leka dan lalai dengan aktiviti santai seperti makan malam, berbual-bual, tidur dan urusan yang lain.
Biasanya dilaksanakan selepas solat sunat rawatib ba’diyah Maghrib dan merupakan sunat muakkad iaitu sangat dituntut umat Islam melakukanya.
Berikut adalah niat bagi solat sunat awwabin:
أُصَلِّي سُنَّةَ الأَوَّابِينَ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli sunnatal auwabina rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Awwabin dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
Tentang keutamaan solat ini, banyak hadis yang menjelaskannya. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa solat (sunat) enam rakaat setelah solat Maghrib tanpa diselangi dengan perbicaraan kotor, maka solat tersebut mampu mengimbangi ibadah selama 12 belas tahun.” – (Hadis Riwayat Tirmidzi)
2. Berzikir
Zikir adalah satu istilah yang suci dari Allah. Ia meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT.
Ia termasuklah dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya.
Zikir menjadi amalan yang sangat dituntut dalam agama. Dalam surah Al-Ahzab, ayat 41, Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”
Banyak zikir yang boleh kita lantunkan setiap kali selepas solat sebagai salah satu bentuk bacaan wirid.
Namun yang umum dan lazimnya adalah seperti yang berikut:
- SubhanAllah ( سبحان الله)
- Alhamdulillah ( الحمد لله)
- AllahuAkbar (الله أكبر )
- Lailahaillallah ( لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ)
3. Membaca surah dalam Al-Quran
Lazimkan diri dengan membaca surah-surah amalan dalam Al-Quran seperti Al-Mulk, Al-Waqiah, As-Sajadah dan lain-lain.
4. Beriktikaf
Iktikaf bermaksud berdiam atau tinggal di masjid dengan adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat untuk beribat serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Amalan ini mempunyai rukun-rukunnya yang tersendiri. Keseluruhan rukun tersebut adalah empat yang berikut:
1. Mu’takif (orang yang melakukan iktikaf)
Disyaratkan bagi sesiapa yang hendak melakukan iktikaf itu adalah seorang Muslim, berakal, serta suci dari sebarang hadas besar seperti junub, haid, dan juga nifas.
2. Masjid
Perlu dilakukan di dalam masjid.
3. Niat
Niat ikhtikaf yang perlu dibaca adalah seperti yang berikut:
نَوَيْتُ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ للهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Aku berniat iktikaf di masjid ini kerana Allah.”
4. Menetap
Tidak sah iktikaf melainkan seseorang itu beriktikaf di dalam masjid dalam kadar tempoh yang dinamakan sebagai menetap mengikut uruf.
Hendaklah kadar tempohnya melebihi kadar thoma’ninah di dalam rukuk dan seumpamanya.
Tidak cukup sekadar melalui bahagian dalam masjid tanpa menetap di dalamnya seperti seseorang itu masuk melalui suatu pintu dan keluar dari pintu yang lain.
Perkara-perkara yang boleh dilakukan oleh orang yang beriktikaf
Berikut kami kongsikan beberapa perbuatan yang boleh dilakukan oleh orang yang sedang beriktikaf.
Antara yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi adalah seperti berikut:
- Memakai minyak wangi.
- Bercantik-cantik dalam berpakaian.
- Makan di dalam masjid. Yang lebih utama adalah makan di atas safrah (kain lapik)
- Boleh untuk berbekam di dalam masjid dengan syarat selamat dari sebarang percikan yang boleh mengotorkan masjid.
- Boleh untuk orang yang beriktikaf mengahwinkan orang lain.
- Bersungguh dalam membaca Al-Quran dan mengulangkaji ilmu.
- Berjual beli. Akan tetapi Imam Al-Nawawi memakruhkan perbuatan ini kerana terdapat larangan akannya berdasarkan hadis yang sahih.
Kesimpulannya, jadikanlah peluang, ruang, dan masa yang diberikan ini untuk kita asyik dalam beribadah kepada Allah serta merasai kelazatan taat dalam melakukan perintah Nya.
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan amalan antara maghrib isyak dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan panduan.
Sumber:
- Facebook Ustaz Hanafi
- Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadhan #79: Iktikaf: Pengertian dan Persoalan Berkaitan. Mufti Wilayah Persekutuan