Kenali Hadis Sahih & Senarai Hadis Popular Yang Sahih
Hadis sahih adalah hadis yang bersambung sanadnya oleh perawi yang adil dan sempurna penjagaannya dari awal sanad sehingga ke akhirnya, berserta tiada pada hadis tersebut syaz dan ‘illah yang merosakkan kesahihan hadis.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan hadis sahih untuk anda jadikan panduan dalam kehidupan.
Baca juga:
Apa itu hadis sahih?
Dari segi bahasa, hadis sahih bermaksud sihat. Manakala dari segi istilahnya pula, ia ditakrifkan sebagai hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang adil, sempurna ingatan, sanadnya bersambung-sambung, tidak ber’illah dan tidak janggal.
Syarat hadis sahih
1. Sanad bersambung
Perawi telah bertemu dan menerima hadis secara langsung daripada gurunya. Tidak terputus pun walau seorang perawi.
Wujud kesinambungan riwayat dari seorang perawi ke perawi selepasnya dari sudut pertemuan atau sabiq dan lahiq.
Sabiq adalah perawi yang meninggal dunia lebih awal. Manakala lahiq adalah perawi yang meninggal dunia lebih lewat.
2. Perawi adil
Perawi seorang yang soleh, bertakwa, menjaga maruah serta menjauhi perkara fasik dan bidaah. Syaratnya:
- Islam
- Baligh
- Berakal
- Bukan fasik
- Bermaruah
Perawi adil atau keadilan perawi termasuklah dalam:
- Mengerjakan suruhan dan taat kepada Allah
- Tidak melakukan sebarang dosa besar
- Menjauhi segala perkara yang boleh mengugurkan iman
- Tidak mengikut hadis bertentangan dengan syarak
- Menjaga maruah sama ada dari segi sudut syarak mahupun adat
3. Perawi dabit
Perawi dabit adalah perawi yang memiliki daya ingatan yang kuat, cerdik, dan faham, sama ada berbentuk hafazan atau tulisan.
Di mana perawi tersebut dapat menjaga tulisan-tulisannya daripada sebarang penambahan, pengurangan, dan perubahan dengan sebab terlupa atau cuai.
Perawi yang tidak baik penjagaannya adalah seperti berikut:
- Sering lupa
- Banyak melakukan kesilapan
- Menyalagi perawi thiqah yang lain
- Banyak syak
- Hafazan tidak kuat
4. Tidak syaz / janggal
Tidak ada penentangan antara hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang lebih baik daripadanya.
5. Tiada ‘illah
‘Illah yang dimaksudkan ini adalah kecatatan dan kesamaran yang boleh meragui atau merosakkan kesahihan sesebuah hadis.
Sanad bersambung, perawi adil, perawi dabit, tidak syaz / janggal, dan tiada ‘illah
Jenis hadis sahih
1. Sahih li zatih
Dari sudut istilah, sahih li zatih bermaksud hadis yang mempunyai silsilah, sanad yang bersambung, diwakili oleh para perawi adil, dabit atau baik pemeliharaannya sama ada sudut tulisan atau hafazan, tidak janggal juga tiada kecatatan yang boleh merosakkan riwayat tersebut.
Dalam erti kata lain, hadis Li Zatih ialah hadis yang memenuhi syarat-syarat hadis sahih sebagaimana yang telah ditetapkan sebelumnya.
Oleh itu, hadis Munqati’, Mu’dal, Mu’allal, Mawdu, Syaz dan Mudallas adalah terkeluar kategori sahih li zatih.
2. Sahih li ghairih
Sahih li ghairih adalah hadis yang mana sanadnya bersambung dan perawinya adil serta dabit, hanya sahaja dari sudut keadilan dan kedabitannya kurang sedikit daripada Sahih Li Zatih.
Hadis ini berasal daripada kategori hadis Hasan Li Zatih, namun ia dinaikkan tarafnya yang melayakkan naik taraf iaitu:
- Ekoran ia diriwayatkan melalui para perawi yang sudah terkenal dengan kebenaran dan baik, walaupun hanya sedikit kurang pemeliharaan mereka.
- Hadis ini turut diriwayatkan melalui jalan sanad lain yang sahih dan mempunyai kekuatan untuk mendukung hadis ini terhadap penjagaan yang sempurna.
Hadis yang asalnya Hasan Li Zatih akan dinaikkan taraf ke Sahih Li Ghairih kerana riwayat yang lain, bukan kerana ia berasal dari kategori Sahih Li Zatih.
Antara contoh hadis Sahih Li Zatih yang dapat dikemukakan ialah sebagaimana hadis riwayat Abu Hurairah:
Maksudnya: “Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan melalui jalan sanad Muhammad bin Amru daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya tidak kerana bimbang menjadi bebanan terhadap umatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka agar bersugi setiap kali hendak menunaikan solat. (Al-Tirmidzi, al-‘ilal al-Kabir: 10)
Hadis riwayat melalui jalan sanad Muhammad bin Amru ini asalnya adalah Hasan Li Zatih.
Namun begitu, sanad ini telah dikuatan oleh sanad riwayat lain melalui jalan sanad riwayat al-A’raj.
Contoh hadis Sahih Li Zatih
Sebagaimana hadis riwayat Al-Bukhari, maksudnya:
Qutaibah bin Sa’id meriwayatkan kepada kami, Jarir meriwayatkan kepada kami, daripada ‘Umarah bin Al-Qa’qa’ bin Syubrumah, daripada Abu Zur’ah, daripada Abu Hurairah, katanya:
“Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?
Baginda SAW menjawab: “Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Baginda menjawab: Kemudian ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi?
Baginda menjawab: “Kemudian ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Baginda menjawab: Kemudian ayahmu.” – (Al-Bukhari, al-Adab: 5541)
Sudut silsilah sanad hadis di atas bersambung bermula al-Bukhari (194-256H) yang menerima hadis ini daripada gurunya Qutaibah (218H).
Qutaibah pula menerima hadis ini daripada Jarir (93-179H). Jarir menerima hadis ini daripada ‘Umarah bin Al-Qa’qa’ bin Syubrumah (124H).
Selepas itu ‘Umarah pula menerima hadis ini daripada Abu Zur’ah (100H), beliau pula menerima hadis ini daripada Abu Hurairah (59H) daripada Rasulullah SAW secara bersambung atau muttasil.
Rangkaian dari satu tabaqah ke tabaqah yang lain tidak terputus atau tiada menunjukkan sebarang keguguran perawi.
Sudut sifat perawi hadis ini dikenali sebagai perawi: thiqah, adil, sabit hadisnya, menepati ciri-ciri adil serta dabit.
Manakala sudut matan dan sanad ini tidak bersalahan dengan riwayat thiqah lain atau tidak syaz dan tiada perkara-perkara yang boleh mencatakannya atau tiada sebarang illah.
Sebagaimana hadis riwayat Muhammad bin Jubair bin Mut’im daripada ayahnya:
Maksudnya: Al-Bukhari berkata: Abdallah Biin Yusuf meriwayat daripada Malik daripada Ibn Syihab daripada Muhammad bin Jubair bin Mut’im daripada ayahnya, katanya:
Saya mendengar Rasulullah SAW membaca dalam solat maghrib surah at-Tur. (al-Bukhari, al-Azann: 726)
Sudut silsilah sanad hadis ini adalah bersambung dengan kaedah penerimaan hadis melalui pendengaran daripada seorang perawi lainnya, semuanya bersifat adil dan dabit.
Buktinya, dari aspek kesinambungan antara perawinya di dapati: Abdallah bin Yusuf (218H) kalangan Tabi’ al-Tabi’in Besar, yang meriwayatkan daripada Malik (179H) kalangan Tabi’in Besar, daripada Ibn Syihab (124H) kalangan para Tabi’in Pertengahan, daripada ayahnya, iaitu Jubair bin Mut’im (59H) kalangan sahabat, mengatakan beliau mendengar sendiri daripada Rasulullah SAW.
Kedudukan Sahih Li Zatih
Menurut pendapat Ibn Al-Salah, wajib menerima hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim.
Ibn Hajar mengatakan, wajib bagi umat Islam menerima semua hadis bertaraf sahih walaupun tidak terdapat di dalam kedua-dua sahih, namun menepati syarat kedua-dua Imam Bukhari dan Muslim.
Menurut Al-Qasimi, umat Islam mesti menerima hadis yang bertaraf sahih, walaupun hadis tersebut diamalkan oleh sesiapa pun.
Hadis bertaraf sahih yang tidak di mansukhkan atau telah disepakati tidak menyalahi riwayat yang bertentangan fakta denganya mestilah diterima. Bahkan boleh beramal dengannya sehingga diketuai ada perkara yang menggugatkan kesahihannya, ia hendaklah diselidiki dengan segera.
Menurut pendapat Ibn Qayyim, sesuatu hadis itu tidak boleh digugat kesahihannya walau hanya seorang sahabat yang meriwayatkannya. Ia kerana tidak semua hadis itu mesti diamalkan oleh umum.
Tingkat kesahihan hadis
Sebagaimana panduan kepada kita dalam berpegang kepada hadis menurut kitab-kitab yang masyur dan muktabar menurut tertib keutamaan adalah 7 tingkat iaitu:
- Kitab yang mengandungi hadis telah disepakati kesahihannya oleh al-Bukhari dan Muslim atau muttafoq ‘alaih.
- Kitab yang mengandungi hadis riwayat Al-Bukhari sahaja.
- Kitan yang mengandungi hadis riwayat Muslim sahaja.
- Kitab yang mengandungi hadis Sahih yang menepati syarat-syarat al-Bukhari dan Muslim, tetapi tidak dimasukkan ke dalah sahih mereka.
- Kitab yang mengandungi hadis Sahih yang menepati syarat-syarat al-Bukhari sahaja, tetapi tidak dimasukkan ke dalah sahihnya.
- Kitab yang mengandungi hadis sahih yang menepati syarat-syarat Imam Muslim, tetapi tidak dimasukkan ke dalam sahaja.
- Hadis tersebut bertaraf sahih menurut pandangan ulama selain mereka yang tidak menurut syarat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim.
Cara semak keaslian hadis
Untuk membuat semakan keaslian sesebuah hadis atau sumbernya, sebuah laman web telah dibangunkan untuk membantu umat Islam membuat carian.
Laman web ini ialah laman web Bahasa Malaysia untuk semakan hadis.
Pasukan semakhadis.com berusaha menghimpunkan semakan-semakan hadis dari sumber yang dipercayai bagi rujukan umat Islam.
Setiap hadis yang ada di website ini disertakan dengan sumber rujukan bagi membolehkan semakan dilakukan.
Sila layari : https://semakhadis.com/
Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan hadis sahih dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.
Dapatkan Sahih Al Bukhari Bahasa Melayu Edisi Lengkap (7 Jilid) untuk panduan anda dan keluarga di rumah.
Sumber:
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-358: Hadith Hassan. Mufti Willayah Persekutuan
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-104: Hadith Sahih. Mufti Wilayah Persekutuan
- Jenis Hadith. JAKIM