Doa Keluar Rumah Beserta Adab-Adabnya Untuk Amalan Harian

Apakah doa keluar rumah yang banyak ganjaran pahalanya dan boleh anda amalkan setiap masa?

Setiap perbuatan dalam kehidupan seharian kita umat islam diajarkan untuk sentiasa memanjatkan doa dan munajat kepada Allah SWT.

Artikel ini mengajarkan kepada anda mengenai bacaan doa keluar rumah yang boleh diamalkan dengan bantuan ejaan rumi bagi memudahkan pembacaan tulisan Arab berserta adab-adabnya.

Baca juga:

Pentingnya adab dalam kehidupan

doa masuk keluar rumah

Ketika masuk dan keluar rumah kita digalakkkan untuk menyebut nama Allah SWT dalam setiap aktiviti yang dilakukan seharian.

Ia bertujuan untuk memohon perlindungan dan pertolongan daripada Allah SWT dari bahaya dan segala bentuk kejadian yang tidak diingini berlaku disaat berada di luar rumah.

Islam juga turut menitikberatkan kepada kita adab yang tinggi serta halus budi bahasanya yang harus diamalkan dalam kehidupan seharian kita.

Adab merupakan perilaku dan perbuatan yang membawa kepada kebaikan, nilai murni dan sikap yang terpuji seseorang dalam melakukan perkara-perkara yang disukai oleh Allah SWT.

Ketinggian adab itu merupakan cerminan peribadi mulia seseorang. Orang yang beradab sangat disenangi dan disukai oleh orang lain.

Doa Masuk Rumah


Allahumma inni as aluka khairal maulij wa khairal makhraj bismillahi walajnaa wa bismillahi kharajnaa wa ‘alallahi rabbinaa tawakkalna

Maksudnya:

"Ya Allah, aku memohon pada-Mu kebaikan ketika masuk dan keluar dari rumah. Dengan nama Allah kami masuk dan Dengan nama Allah kami keluar, dan kami serahkan diri kami kepada Tuhan kami".

Doa Keluar Rumah


Bismillahi tawakkaltu ‘alallah laa haulawalaa quwwata illa billah

Maksudnya:

“Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah”
doa keluar masuk rumah jakim
Sumber: JAKIM

Adab-Adab Ketika Masuk dan Keluar Rumah


Rumah merupakan sebuah tempat kediaman untuk kita berlindung dan tempat tinggal yang selesa.

Ketika masuk ke dalam kita sebagai umat islam dianjurkan untuk sentiasa menyebut nama Allah.

Bukan itu sahaja, malah Nabi Muhamamad SAW menggalakkan umatnya untuk memberi salam sebelum memasuki rumah walaupun tiada sesiapa didalam rumah tersebut.

Hal ini kerana, ia bertujuan untuk menghindari diri daripada syaitan masuk bersama-sama kita dan juga ia dapat menghalau makhuk lain menumpang atau menghuni di dalam rumah tersebut.

Anjuran daripada perbuatan memberi salam ini terdapat dalam hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah RA pernah mendengar nabi Muhammad SAW bersabda, 

“Jika seseorang masuk ke dalam rumahnya lalu menyebut nama Allah SWT ketika masuk dan ketika makan, maka syaitan berkata, ‘Tidak ada tempat bermalam bagi kamu semua dan tidak ada makanan di sini.’

Jika seseorang masuk tanpa mengucapkan nama Allah, maka syaitan berkata, ‘Kamu semua telah mendapat tempat untuk bermalam.’ Jika seseorang tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, maka syaitan berkata, ‘Kamu semua telah mendapat tempat untuk bermalam dan makanan’.” (Hadis Riwayat Muslim)

Adab-adab masuk ke dalam rumah

Antara adab-adab yang boleh diamalkan sebelum memasuki rumah adalah seperti:

1. Memberi Salam

Disunatkan kepada kita untuk memberi salam sebelum memasuki ke rumah sendiri, rumah orang sekalipun rumah tersebut kosong.

Jika rumah tersebut tidak berpenghuni maka hendaklah mengucapkan salam kepada diri sendiri dengan bacaan:

السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Assalamu ‘alainaa wa ‘ala ‘ibadillahis shalihin

Jika rumah yang akan dimasuki itu, kita yakin bahawa mempunyai penghuni di dalamnya maka berilah salam seperti biasa dengan mengucapkan:

السلا م عليكم ورحمة الله وبركاته

Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Firman Allah SWT: ” Apabila kamu memasuki rumah-rumah, maka hendaklah kamu memberi salam kepada sesama kamu, sebagai penghormatan yang berkat, lagi baik disisi Allah.” ( Surah An-nur ayat 61)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda kepadaku yang maksudnya, 

“Wahai anakku! Apabila engkau masuk (ke rumah) ahli keluargamu berilah salam nescaya akan mendatangkan keberkatan ke atasmu dan ahli keluarga rumahmu.” – (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

2. Membuka kasut sebelum masuk rumah

Kita mestilah membuka kasut dan menyusun kasut tersebut dengan kemas. Adakalanya kasut yang dipakai itu mengeluarkan bau-bau yang tidak menyenangkan.

Bahkan, jangan biarkan ia dalam keadaan yang bersepah kerana akan dipijak-pijak oleh orang lain.

Selain itu, adab ini juga bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya kotor di rumah tersebut kerana disitulah tempat kita menunaikan ibadah seperti solat.

3. Elak bawa kotoran ke dalam rumah

Sebelum memasuki rumah pastikan segala pakaian yang dipakai haruslah dalam keadaan yang bersih bagi mengelakkan keadaan di dalam rumah kita itu kotor.

Pastikan juga kaki dicuci sebelum memasuki rumah.

4. Membaca doa masuk rumah

بِسْمِ اللهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا، ثُمَّ لِیُسَلِّمْ عَلَى أَھْلِه

Allahumma inni as aluka khairal maulij wa khairal makhraj bismillahi walajnaa wa bismillahi kharajnaa wa ‘alallahi rabbinaa tawakkalna

5. Masuk dengan kaki kanan

Setelah membaca doa masuk rumah kita hendaklah melangkah masuk ke rumah dengan menggunakan kaki kanan terlebih dahulu.

Hal ini kerana setiap perbuatan yang diajarkan kepada kita oleh Rasulullah SAW biasanya mengutamakan sesuatu perkara ini dengan sebelah kanan kepada sesuatu urusan yang baik.

Adab-adab ketika keluar rumah

Dibawah terdapat pula beberapa adab keluar rumah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian kita antaranya adalah:

1. Nait yang baik

Niat merupakan kunci utama tujuan seseorang itu melakukan sesuatu perkara.

Berniatlah ketika keluar rumah untuk mencari reda Allah, mencari rezeki yang halal, atau mencari ilmu. Serta memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat.

2. Membaca doa keluar rumah

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Bismillahi tawakkaltu ‘alallah laa haulawalaa quwwata illa billah

Panjatkan doa kepada Allah SWT agar sentiasa berada didalam lindungannya.

3. Keluar menggunakan kaki kiri

Sebaik sahaja melangkah keluar daripada rumah kita seharusnya menggunakan kaki kiri ini kerana musibah dari dalam rumah juga turut terkeluar bersama.

Kelebihan Menjaga Adab


Melaksanakan adab-adab ini menjadikan kita secara tidak langsung sentiasa memperingati kepada Allah SWT.

Dengan sentiasa mengamalkan ia dapat menjadikan kita sebagai seorang mukmin yang bertaqwa serta memperolehi pahala, keberkatan dan kesejahteraan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat dalam aktiviti yang dilaksanakan sepanjang kehidupan seharian kita.

Dengan mengamalkannya juga ia akan diberikan ganjaran pahala kepada setiap kebaikan yang dilakukan.

Selain itu, kasih sayang antara keluarga juga dapat dipupuk sesama penghuni di dalam rumah umpama kata “ Rumah Bersih Keluarga Bahagia”.

Sumber:

  1. Amalan-Amalan Memasuki Rumah Baru. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Doa Ketika Keluar Dari Rumah. Mufti Negeri Sembilan
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.