Solat Ketika Kontraksi Bersalin, Wajib Ke Tidak Bagi Wanita?

Selalu kita dengar persoalan dari para wanita khususnya mengenai status solat ketika kontraksi bersalin. Apakah cara dan tips terbaik boleh dilakukan untuk membolehkan kita solat dalam keadaan tersebut.

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan solat ketika kontraksi bersalin.

Baca juga:

Hukum solat ketika kontraksi bersalin

Dalam memahami isu solat ketika kontraksi bersalin ini, para wanita perlu faham dan perhatikan apakah hukum di setiap cairan atau darah yang keluar ketika sakit bersalin tersebut?

Dalam Mazhab Syafie, darah yang keluar sebelum bersalin dikenali sebagai dam al-thalaq atau darah fasad (rosak). Hukumnya adalah sama dengan hukum istihadhah. Di mana wanita wajib untuk mendirikan solat kerana kewajipan solat tidak gugur.

Namun, sekiranya darah tersebut bersambung dengan haid yang sebelumnya maka ia dihukumkan sebagai darah haid (sekiranya mencukupi syarat-syarat haid).

Selain itu, dari segi hukum keluar air ketuban sebelum bersalin pula ia adalah najis dan membatalkan wuduk. Justeru, adalah diwajibkan untuk para wanita bersuci terlebih dahulu dan menunaikan solat setelah air ketubannya kering.

Sekiranya air ketuban berterusan keluar tanpa henti, maka hukumnya sama seperti istihadhah.

Tatacara solat ketika hendak bersalin

Setiap ibu hamil diwajibkan untuk mendirikan solat mengikut kemampuan diri masing-masing sama ada secara duduk atau baring.

Bahkan sekiranya terdapat tanda-tanda awal kelahiran seperti keluar air ketuban atau darah tetapi belum tiba saat untuk melahirkan, maka tetap wajib dia untuk solat seperti biasa.

Dalam keadaan yang terlalu sukar sekalipun untuk mengangkat tangan, kita dibolehkan untuk menggantikan anggota solat dengan menggerakkan kepala sahaja.

Syarat sah solat

  • Suci daripada hads kecil dan besar.
  • Suci daripada najis pada badan, pakaian, dan tempat solat.
  • Menutup aurat.
  • Menghadap kiblat (yang berkemampuan). Yakin masuk waktu solat.

Kaedah solat di wad ibu bersalin

  • Bersihkan darah atau air ketuban terlebih dahulu sebelum solat.
  • Berwuduk seperti biasa atau menggunakan botol spray.
  • Menutup aurat.
  • Menghadap kiblat.
  • Solat boleh dilakukan di kerusi atau di katil mengikut kemampuan.
  • Jika tiada yang membantu, solatlah seperti biasa dengan niat menghormati waktu tetapi solat tersebut perlu diqadakan setelah suci dari hadas.

Cara solat ibu bersalin

Terdapat beberapa cara solat ketika kontraksi bersalin yang boleh anda sesuaikan dengan kemampuan diri. Berikut adalah tatacara lengkapnya:

Secara duduk di atas katil:

  1. Duduk menghadap kiblat mengikut kemampuan dan keselesaan pesakit dan berniat.
  2. Takbiratul ihram.
  3. Membaca surah Al-Fatihah.
  4. Rukuk dengan menundukkan sedikit kepala mengikut kemampuan.
  5. I’tidal (bangun dari rukuk dan kembali seperti kedudukan asal.
  6. Sujud mengikut kemampuan (tunduk lebih sedikit dari had rukuk).

Secara duduk di atas kerusi:

  1. Duduk menghadap kiblat mengikut kemampuan dan keselesaan pesakit dan berniat.
  2. Takbiratul ihram.
  3. Membaca surah Al-Fatihah.
  4. Rukuk dengan menundukkan sedikit kepala (mengikut kemampuan)
  5. I’tidal (bangun dari rukuk dan kembali seperti keadaan asal).
  6. Sujud mengikut kemampuan (tunduk lebih sedikit dari had rukuk).
  7. Duduk di antara dua sujud.
  8. Duduk membaca tahiyyat (awal akhir bergantung pada bilangan rakaat).
  9. Memberi salam ke kanan dan ke kiri.

Secara berbaring:

  1. Baring menghadap kiblat mengikut kemampuan dan keselesaan pesakit dan berniat.
  2. Takbiratul ihram.
  3. Membaca surah Al-Fatihah.
  4. Rukuk dengan menundukkan sedikit kepala (mengikut kemampuan)
  5. I’tidal.
  6. Sujud mengikut kemampuan (tunduk lebih sedikit dari had rukuk).

Tips solat ketika hampir waktu bersalin

Wajib Tunai Solat Walau Alami Kontraksi | Ustazah Shadiya Abbas

Menurut Ustazah Shadiya Abbas, ketika para wanita berada dalam situasi ingin melahirkan anak dan dalam masa yang sama keluar darah fasad, maka wanita tersebut perlu solat seperti biasa.

Ia kerana sakit kontraksi biasanya akan berlaku lebih lama dan kekerapannya juga berbeza-beza.

Bila sudah turun tanda seperti air ketuban pecah, suami perlu bantu isteri untuk membersihkan diri dan seterusnya membantu untuk memakaikan tuala wanita, baju bersih yang sesuai bagi mendirikan solat.

Jadi antara tips yang boleh dilakukan untuk memudahkan ibu bakal bersalin solat adalah:

  • Membasuh faraj.
  • Menyumbat faraj dengan kapas atau seumpamanya supaya darah tidak menitis keluar.
  • Wajib membalut faraj dengan kain atau seumpamanya yang boleh menahan darah daripada mengalir keluar.
  • Bersuci dengan wuduk atau bertayammum.

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan solat ketika kontraksi bersalin dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Fatwa Ke-411: Hukum Solat Bagi Wanita Yang Keluar Darah dan Air Ketuban Sebelum Bersalin. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Panduan Solat Wanita Hamil Di Wad. JAKIM
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.