Doa Bulan Rejab Dengan Teks Rumi & Amalan Sunat Yang Boleh Dilakukan
Tibanya bulan Rejab menandakan persediaan awal menuju ke bulan mulia Ramadhan sudah hampir ke puncaknya.
Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda doa bulan Rejab dan amalan baik yang sangat bagus untuk diamalkan oleh kita dalam bulan ini.
Apa itu bulan Rejab?
Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun Hijrah serta memiliki keutamaan yang penting dalam Islam.
Panggilan lain untuk bulan ini adalah bulan Mikraj. Ini disebabkan kerana, pada bulan ini telah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Justeri itulah, agama Islam sangat menuntut umatnya untuk menghidupkan bulan ini dengan amalan-amalan ibadat.
Bulan Rejab dimuliakan oleh Islam dengan amalan sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Dengan hadirnya masuk bulan ini, umat Islam perlu semakin giat untuk meningkatkan amalan bagi membentuk ketakwaan dan keimanan yang tinggi sebagai seorang Mukmin.
Dalil tentang bulan Rejab
Terdapat beberapa dalil melalui hadis mengenai bulan Rejab yang pernah diriwayatkan. Antaranya seperti yang berikut:
1. Termasuk dalam bulan Haram dalam Islam
Bulan ini dihormati dalam agama Nabi Ibrahim AS dan orang Arab amat memuliakan bulan ini dengan tidak dibenarkan untuk berperang dalam bulan ini. Hal ini sebagaimana Hadis yang dijelaskan oleh Nabi SAW:
عن أبي بكرة – رضي الله عنه – عن النبي – صلى الله عليه وسلم – قال: (إن الزمان قد استدار كهيئته يوم خَلَق الله السموات والأرض، السنة: اثنا عشر شهرًا، منها أربعة حُرُم؛ ثلاثٌ متواليات: ذو القعدة، وذو الحجة، والمحرم، ورجب مُضر الذي بين جمادَى وشعبان))
Maksudnya: “Abu Bakrah berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Zaman (masa) terus berjalan dari sejak awal penciptaan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan antaranya ada empat bulan haram (suci), tiga bulan berurutan, iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam serta Rejab yang berada antara Jamadilakhir dan Syaaban.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari)
2. Bulan yang diiktiraf oleh Allah SWT
Bulan Rejab juga merupakan bulan yang diiktiraf oleh Allah sebagai bulan Allah sebagaimana Hadis riwayat dari Aisyah RA:
عن عائشة,قالت رسول الله صلى الله عليه وسلم: (ٳن رجب شهر الله))
Maksudnya: “A’ishah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Rejab merupakan bulan Allah SWT.” – (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
Peristiwa yang pernah terjadi dalam bulan Rejab
- Peristiwa Isra’ Mikraj
- Penghijrahan pertama ke Habsyah
- Peperangan Tabuk
- Imam Syafie meninggal dunia
- Pembebasan kedua Baitul Maqdis
- Malaikat Jibril membelah dada Rasulullah SAW
- Rasululullah SAW diperlihatkan tentang syurga dan neraka
- Rasulullah SAW bertemu dengan Rasul-Rasul terdahulu
- Perintah solat lima waktu difardhukan ke atas umat Islam
- Kelahiran Ali ibn Abi Talib
- Perjanjian Aqabah Kedua
- Kemenangan tentera Islam dan Perang Khaibar
Doa bulan Rejab yang boleh dibaca
Berikut ini adalah doa bulan Rejab yang boleh dibaca apabila masuk sahaja bulan Rejab.
Allahumma baarik lana fii rajabi wasya’ban wa ballighna ramadhan
Maksudnya: “Ya Allah, berkatikanlah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” – (Hadis Riwayat Baihaqi)
Amalan sunat bulan Rejab
Secara umumnya tidak terdapat amalan khusus yang boleh dilakukan pada bulan ini. Namun begitu, berikut ini adalah beberapa amalan sunat bulan Rejab yang boleh dibuat.
1. Berpuasa sunat
Tiada dalil yang khusus untuk mengalakkan atau meralang seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab. Hal ini dijelaskan sendiri oleh Imam Al-Nawawi.
Maksudnya: “Tiada dalil yang khusus mengena berpuasa di bulan Rejab (sahaja) dan tiada juga dalil yang melarang. Namun secara asasnya hukum berpuasa (di bulan ini) adalah harus.”
2. Memperbanyakkan sedekah
Bersedekah memberi kebaikan bukan sahaja kepada penerima tetapi juga pemberi sedekah itu.
Amalan memberi sedekah sering dikaitkan dengan pembuka rezeki. Justeru itu, ada manusia di dunia dulu sangat berat untuk bersedekah.
Namun, ketika sudah meninggal dunia, dia merayu kepada Allah supaya ditangguhkan seketika supaya dia dapat berbuat demikian.
3. Memperbanyakkan membaca Al-Quran
Mereka yang membaca Al-Quran sangat banyak kelebihan dan ganjaran pahala yang diterimanya.
Al-Quran memberi kesan yang cukup mendalam kepada jiwa dan kehidupan seseorang.
Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”
4. Memperbanyakkan berzikir
Sayyidul istighfar adalah salah satu daripada doa atau ucapan taubat yang amat digalakkan untuk kita buat. Bacaannya seperti:
“Allahumma anta robbii laa ilaaha illaa anta, kholaqtanii wa anaa ‘abduka wa anaa ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastatho’tu. A’udzu bika min syarri maa shona’tu, abuu-u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu-u bi dzanbii, faghfirlii fainnahuu laa yaghfirudz dzunuuba illa anta
Maksudnya: ”Ya Allah Engkau adalah Tuhanku, Tidak ada sesembahan yang haq kecuali Engkau,Engkau yang menciptakanku, sedang aku adalah hamba Mu dan aku diatas ikatan janji -Mu dan akan menjalankannya dengan semampuku, aku berlindung kepadamu dari segala kejahatan yang telah aku perbuat, aku mengakui Mu atas nikmat-Mu terhadap diriku dan aku mengakui dosaku pada Mu, maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang mengampuni segala dosa kecuali Engkau.” – (Hadis Riwayat Bukhari no. 6306)
5. Memperbanyakkan solat-solat sunat
Solat-solat sunat yang dilakukan adalah untuk menambah pahala dan menampung mana-mana kecatatan dalam solat-solat fardhu.
6. Belanja orang lain makan
Tidak perlu tunggu kaya untuk belanja orang makan. Ustaz Azhar Idrus juga memberitahu ada beberapa hadis sahih yang menyebut setiap makanan yang kita beri akan disimpan di sisi Allah sehingga menjadi sebesar gunung Uhud.
“Beri orang makan. Dia beli makanan bagi orang, pergi rumah kawan belikan makanan. Ada beberapa hadis lain menyebut, bahawasanya setiap suap yang orang makan dari belanja kita tadi disimpan di sisi Allah sehingga menjadi sebesar gunung Uhud.”
7. Memperbanyakkan berselawat
Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan jalan untuk mendapatkan cinta Allah dan Rasulullah SAW.
Dari Anas bin Malik RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku satu selawat maka nescaya Allah berselawat ke atasnya sepuluh selawat, dihapuskan darinya sepuluh dosa dan diangkatkan untuknya 10 tingkatan.” – (Hadis Riwayat An-Nasai)
Diharapkan semoga artikel berkenaan dengan doa bulan Rejab ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dipraktikkan dalam kehidupan seorang Muslim.
Sumber:
- Tahqiqi Masail Siri Ke-3: Bulan Rejab dan Isu-Isu Berkaitan Dengannya. Mufti Wilayah Persekutuan
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-261: Ganjaran Bulan Rejab. Mufti Wilayah Persekutuan
- Bulan Rejab: Peristiwa dan Amalan Sunnah. Harakahdaily
- Meluruskan Salah Faham Keistimewaan Rejab. Harian Metro