Surah Al-Falaq Dalam Teks Arab & Rumi Berserta Kelebihannya
Artikel ini akan berkongsi kepada anda serba sedikit mengenai inti pati surah Al-Falaq yang sepatutnya anda perlu tahu. Di sini juga disediakan audio bacaan surah ini dalam bentuk MP3 dan juga teks bacaannya dalam rumi untuk memudahkan pembacaan.
Asal usul surah Al-Falaq
Surah Al-Falaq mempunyai 5 ayat selepas surah Al-Fill dan merupakan surah ke-113 daripada turutan surah dalam Al-Quran. Ia diturunkan di Mekah namun sebahagian ada yang mengatakan surah ini adalah Madaniyyah.
Nama Al-Falaq diambil daripada perkataan Al-Falaq yang terdapat pada ayat pertama surah ini bermaksud waktu subuh.
Dalam Riwayat Al-Baihaqi, diceritakan bahawa surah Al-Falaq dan An-Naas diturunkan pada masa Rasulullah SAW disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin al-A’sham dengan sebelas simpulan tali.
Di mana setiap kali dibacakan satu demi satu ayat-ayat dari kedua surah tersebut, maka terlepaslah simpulan itu satu persatu. Kisah tentang disihirnya Nabi SAW ini sendiri terdapat dalam Sahih Al-Bukhari.
Menurut Abdullah Yusuf Ali pula, pada waktu zaman kenabian Nabi SAW, terdapat seorang bomoh perempuan yang mengenakan sihir hitam ke atas musuhnya menggunakan sihir pada simpulan.
Dengan itu, Allah SWT menurunkan surah ini sebagai perlindungan daripada sihir tersebut.
Ringkasan surah
Isi utama dalam surah ini adalah Allah SWT memerintahkan agar manusia berlindung kepada Nya daripada segala jenis kejahatan.
Hal ini kerana, surah tersebut mengandung isti’aadzah (permintaan perlindungan) kepada Allah SWT dari segala kejahatan makhluk. Makhluk ini boleh sesiapa pun dan apa pun, termasuk dirinya sendiri yang merupakan ciptaan Allah.
Dijelaskan juga dengan terang dalam surah ini bahawa hasad dengki akan membawa keburukan dan mengakibatkan kejahatan.
Bacaan surah Al-Falaq
قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ
Qul a’oozu bi rabbil falaq
Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,
مِن شَرِّ مَا خَلَقَ
Min sharri maa khalaq
"Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;
وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ
Wa min sharri ghaasiqin izaa waqab
"Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;
وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّـٰثَٰتِ فِي ٱلۡعُقَدِ
Wa min sharrin naffaa saati fil ‘uqad
"Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);
وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Wa min sharri haasidin izaa hasad
"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".
Kelebihan dan manfaat surah ini
Surah Al-Falaq tergolong dalam surah 3 qul yang terdiri daripada dua lagi surah pendek iaitu Surah Al-Ikhlas dan Surah An-Nas. Daripada sebuah hadis ada diriwayatkan:
“Barangsiapa yang membacanya 3 kali ketika pagi dan petang maka dia akan dicukupkan dari segala sesuatu.” – (Hadis Riwwayat Imam Abu Daud, 5082 & Imam Tirmizi, 3575, Sahih Hasan)
Selain daripada itu juga, surah ini juga mempunyai beberapa kelebihan yang tersendiri. Antaranya seperti:
1. Sebagai syifa kepada penyembuhan sakit
Kelebihan surah tersebut sangat bagus sebagai penyembuh semula jadi bagi mereka yang sakit khususnya untuk penyakit mistik dan makhluk halus.
Contohnya seperti angkara sihir, gangguan jin, santau, dan sebagainya,
2. Surah yang tiada bandingan
Nabi Muhammad SAW, bersabda: “Apakah engkau tidak melihat ayat-ayat yang diturunkan malam ini yang belum pernah ada bandingannya. Ayat-ayat itu ialah ‘Qul A’uzdu Birabbil Falaq’ (Al-Falaq) dan ‘Qul A’udzu Birabbin Naas’ (An-Nas).” – (Hadis Riwayat Muslim).
3. Memberi perlindungan dari sihir
Mengambil pengajaran dari kisah Rasulullah SAW yang disihir oleh lelaki Yahudi itu menunjukkan bahawa kelebihan surah ini ada bila mana kita mahu meminta perlindungan dari perkara luaran seperti sihir.
Allah Al-Wakil, Allah Maha Perlindung. Al-Wakil adalah penjamin atau pelindung bagi orang yang bertawakkal kepada Nya.
4. Penawar gigitan binatang berbisa
Ali Bin Abi Thalib RA pernah menerangkan bahawa Rasulullah SAW pernah disengat kala jengking. Kemudian baginda mengambil air garam.
Lalu baginda membaca surah Al-Falaq dan surah An-Nas dan disapukan pada anggota badan yang disengat kala jengking tadi.
Semoga dengan panduan membaca surah Al-Falaq ini dapat menjadikan kita semua semakin sayang dan mencintai kitab Al-Quran serta menghayati setiap bait ayatnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Sumber:
- Rasulullah SAW Pernah Disihir? Ini Sebab Surah Al-Falaq Diturunkan. Sinar Islam Plus
- Ringkasan Tafsir Surah Al-Falaq (Surah 113). Dakwah dan Tarbiah