Zikir Rabu Dalam Rumi, Fadhilat Dengan Terjemahannya

Zikir harian adalah amalan zikir yang sangat dianjurkan untuk umat Islam baca setiap hari. Artikel pada kali ini, kami akan berkongsi kepada anda zikir Rabu untuk dibaca, dihafal, dan diamalkan.

Himpunan Zikir Rabu Yang Boleh Diamalkan

Panduan zikir Rabu ini disertakan dalam Bahasa Arab, Bahasa Rumi, terjemahan zikir, serta kelebihan atau fadhilat dalam pengamalannya. Berikut ini adalah antara zikir yang boleh dibaca.

Zikir 1

اَسْتَغْفِرُاللَّهَ الْعَظِيْمَ

Astaghfirullahal ‘adzim

Maksudnya: “Aku memohon Keampunan kepada Allah, tuhan yang maha agung.”


Zikir 2

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْه

Astaghfirullah hal ‘azim al lazi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih

Maksudnya: “Aku meminta ampun pada Allah yang Maha Agung, tiada tuhan selain Dia yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dan aku bertaubat pada Mu.”

Sumber: Kisah Zakat Malaysia

Kelebihan Beristighfar

Zikir Rabu yang disenaraikan di atas adalah kalimah-kalimah “istighfar” yang merupakan ungkapan taubat seorang hamba tentang dosa-dosanya kepada Allah SWT.

Selain diampunkan segala dosa-dosa kita, terdapat banyak kelebihan lain yang boleh kita perolehi apabila melazimi zikir ini. Berikut adalah kelebihan yang boleh kita perolehi.

1. Diampunkan segala dosa oleh Allah

Sebagai seorang hamba, kita tidak akan pernah sepi dari melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidup ini. Baik membuat dosa kepada Allah mahupun kepada sesama manusia.

Namun, Allah Maha pengampun atas segala dosa hamba Nya. Justeru itu, sangat digalakkan untuk kita tidak berputus asa dalam mengharapkan keampunan daripada Allah dengan cara beristighfar.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” – (Hadis Riwayat Ibn al-Sunni, 83)

2. Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW

Nabi Muhammad SAW sentiasa melazimi diri untuk beristighfar lebih daripada 70 kali sehari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6307)

3. Diri dekat dengan Allah

Kekerapan kita mengucapkan istighfar adalah cara satu usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah.

zikir rabu

4. Dikeluarkan dari kesusahan hidup

Menurut pandangan Ibnu Taimiyyah, kata beliau:

“Sungguh, kadang-kadang terlintas di hatiku suatu persoalan yang sulit untuk aku fahami, maka aku beristighfar kepada Allah, sehingga dadaku menjadi lapang dan persoalan itu terpecahkan. Terkadang aku berada di pasar, masjid atau sekolah, hal itu tidak menghalangiku untuk mengucapkan istighfar, hingga aku memperoleh yang aku inginkan.”

Dalam masa yang sama Ibn Abbas RA ada berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, 1518)

5. Meluaskan pintu rezeki

Amalan beristighfar dikatakan sebagai kunci pembuka pintu rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Hal ini seperti mana yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Nuh, Ayat 10 hingga 12 yang bermaksud:

Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan memberikanmu kebun-kebun dan (di dalamnya pula) untukmu sungai-sungai.

Diharapkan semoga perkongsian kami berkenaan dengan zikir Rabu ini dapat memberikan anda ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan amalan zikir harian sepanjang hari.

Sesungguhya zikir kita kepada Allah adalah untuk diri kita sendiri agar hati lebih tenang, fikiran dan jiwa lebih tenteram, diampunkan segala dosa, dan diberi kemudahan hidup di dunia dan akhirat.

Sumber:

  1. Rahsia dan Kelebihan Istighfar, Muhammad Afdoluddin Abdullah. Penerbitan Pustaka Ilmuwan
  2. Kelebihan Istighfar Yang Patut Anda Tahu. TZKRH
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.