Pengumuman Hari Raya Aidilfitri 2023 & Tarikh 1 Syawal
Berdasarkan dari cerapan hilal atau tarikh lihat anak bulan Syawal bagi tahun 2023M / 1444H yang berlaku pada hari Khamis, 20 April 2023 lalu, satu pengistiharaan akan dibuat secara menyeluruh melalui saluran radio dan televisyen pada malam itu juga.
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai Pengumuman Hari Raya Aidilfitri 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Teks penuh Pengumuman Hari Raya Aidilfitri 2023
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
“Bagi menyempurnakan titah perintah Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong setelah diperkenankan oleh duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Maka adalah dengan ini saya mengistiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu 22 hari bulan April 2023.”
Sekian wassalamualaikum warahmatullah.
Bagaimana tarikh awal Ramadhan dan 1 Syawal ditentukan?
Proses penentuan anak bulan Aidilfitri adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam.
Tujuan ia dilakukan adalah untuk menentukan Hari Raya Aidilfitri atau permulaan Ramadhan.
Proses ini dilakukan oleh para ulama dan ahli Falak dengan menggunakan beberapa kaedah seperti melalui pandangan mata kasar atau menggunakan teodolite dan teleskop bagi proses pengamatan Hilal.
Anak bulan akan muncul selepas bulan mengalami fasa ijtimak atau fasa bulan gelap atau new moon.
Nabi Muhammad SAW mengajar kita melihat anak bulan untuk menentukan bila umat Islam akan mula berpuasa. Dalam sebuah hadis oleh Nafi’ dari Ibnu Umar, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda tentang bulan Ramadan.
“Jangan kamu berpuasa kecuali kamu melihat Hilal iaitu (Ramadhan). Dan janganlah kamu berbuka sebelum melihat Hilal (Syawal). Apabila penglihatan kamu dilindungi oleh awan maka hendaklah kamu takdirkannya.” – (Hadis Riwayat Sahih Bukhari)
Tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijah adalah seperti:
- Rukyah iaitu mencerap anak bulan semata-mata.
- Hisab falak iaitu kiraan hari semata-mata.
- Rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria imkanur rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan.
Malaysia adalah salah sebuah negara yang mengamalkan praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria imkanur rukyah.
Intipati perutusan khas Perdana Menteri sempena Aidilfitri 2023
Terdapat tujuh intipati penting yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia berkenaan dengan manfaat yang boleh rakyat nikmati bersempena dengan Aidilfitri.
Antara inisiatif tersebut adalah seperti yang berikut:
1. Tol Rahmah: Pengecualian tol selama 4 hari
Pelaksanaan Tol Rahmah Percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari yang melibatkan 33 lebuh raya bagi semua jenis kelas kenderaan.
Inisiatif ini dapat meringankan beban semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri ini.
Tempoh Tol Rahmah bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat) dan juga 24 April 2023 (Isnin).
2. Diskaun untuk pengusaha Menu Rahmah
Kerajaan mengambil inisiatif baru untuk melestarikan Menu Rahmah dengan menawarkan harga diskaun khas bahan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Rahmah.
3. Bayaran saman khas RM50
Kadar khas bayaran saman diberikan bermula 21 April sehingga 21 Mei 2023 bagi semua saman trafik PDRM iaitu kesalahan pada tahun 2022 dan sebelumnya dengan harga RM50.
Inisiatif ini tidak terpakai pada mana-mana saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023.
4. Pelepasan lebih 1,000 Orang Bebas Berlesen
Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).
Usaha ini untuk memberi peluang kepada penghuni penjara yang beragama Islam untuk pulang beraya meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Pelapasan OBB ini akan melibatkan lebihh 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadhan dan Syawal meliputi seluruh institusi Penjara Malaysia.
5. Harga simen pada kadar berpatutan
Kos bahan mentah iaitu harga simen akan diberikan pada kadar berpatutan dengan pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah.
Usaha ini tertumpu kepada kategori rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah yang akan memanfaatkan golongan B40 dan M40.
6. Tambahan peruntukan RM250 juta untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan
Peruntukan sebanyak RM250 juta diberikan untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan yang diberikan kepada kontraktor kecil Bumiputera.
7. Hari kelepasan am tambahan untuk Hari Raya
Sekiranya, 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat 21 April, maka kerajaan akan menetapkan hari Isnin 24 April sebagai kelepasan am berdasarkan Seksyen 8 Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Walau bagaimanapun, andai kata tarikh 1 Syawal jatuh pada hari Sabtu 22 April, yang kini kemungkinan besar, maka kerajaan hari Jumaat 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.
Diharapkan semoga perkongsian kami mengenai Pengumuman Hari Raya Aidilfitri 2023 ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat.
Di kesempatan ini kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada pembaca semua. Berhati-hati di jalan raya.
Semoga Hari Raya Aidilfitri tahun ini dapat kita sambut dengan penuh bahagia di samping keluarga tercinta.
Sumber:
- Pengumuman Raya 2023 | Tarikh Hari Raya Puasa 2023 Live. Harian Semasa
- #1030: Penentuan Awal Bulan Syawal di Malaysia. Maktabah Al-Bakri
- Intipati Perutusan Khas Perdana Menteri Sempena Aidilfitri 2023. Buletin TV3