Dua Kalimah Syahadah: Maksud, Penjelasan dan Hikmahnya

Mengucap dua kalimah syahadah adalah perkara pertama dalam Rukun Islam. Apakah yang dimaksudkan dengan kalimah syahadah ini?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda intipati dari kalimah syahadah yang perlu anda tahu dan amalkan sebagai umat Islam.

Pengertian

Perkataan syahadah adalah berasal dari syahida ( شَهِدَ ), yasyhadu ( يَشْهَدُ ) atau syahaadatan ( شَهَادَةً ) yang membawa maksud kesaksian. 

Dari segi definisinya, syahadah membawa pengertian tentang kesaksian seseorang yang hadir dalam suatu peristiwa dengan memberitahu, menceritakan atau mengakui apa yang diketahuinya melalui pancainderanya sama ada melihat, mendengar, merasa atau menyentuh akan suatu perkara.

Manakala dua kalimah syahadah pula adalah satu bentuk ucapan pengakuan yang menyatakan keimanan pengucapnya kepada keesaan Allah Taala selain Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Nya.

Lafaz Kalimah Syahadah

Berikut ini adalah lafaz dua kalimah syahadah yang dibaca:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah”

وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Maksudnya: “Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah”

Kategori Syahadah

Kalimah ini terbahagi kepada dua iaitu syahadah menetapi antara lisan dan hati serta syahadah dengan lisan tanpa ditepati dengan hati.

1. Syahadah menetapi antara lisan dan hati

  • Lafaz dengan lisan serta yakin dalam hati
  • Dikenali sebagai syahadah yang benar

2. Syahadah dengan lisan tanpa ditepati dengan hati.

  • Hanya lafaz dengan lisan tanpa yakin dalam hati
  • Disebut sebagai syahadah yang dusta

Syarat Penerimaan Syahadah

1. Ilmu

Kalimah tauhid ini diterima bukanlah sekadar melafazkan sahaja. Sebaliknya kita perlu faham akan maksud makna Laa Ilaaha Illa Allah .

Hal ini seperti mana yang tertulis dalam Surah Muhammad, ayat 19:

Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan,

dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).”

2. Keyakinan

Seterusnya, kita perlu mengimani kalimah tauhid tersebut dengan sepenuh hati tanpa rasa ragu dan berbelah bahagi.

3. Pelaksanaan

Setelah memahami dan yakin, maka kita perlu melaksanakan segala yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan Nya dalam kehidupan.

Perkara Yang Membatalkan Syahadah

Perbuatan yang menyebabkan syahadah seseorang itu terbatal adalah bila mana ia menyekutukan (mensyirikkan) Allah sama ada di dalam aspek zat, sifat, perbuatan apalagi ibadah.

Syirik kepada Allah dari segi zat bermaksud menyakini bahawa sifat-sifat makluk ini sama dengan sifat Allah.

Syirik kepada Allah dari segi perbuatan bermaksud meyakini bahawa makhluk yang mengatur alam semesta dan rezeki yang diperoleh oleh manusia.

Dan syirik kepada Allah dari segi ibadah adalah menyembah selain Allah SWT, mengagungkannya serta mencintainya sama seperti mengagungkan Allah SWT.

Kepentingan

Terdapat beberapa kepentingan kalimah tauhid ini:

1. Pintu masuknya Islam

Pertama, kalimah syahadah penting kerana ia adalah pintu masuk ke dalam agama Islam. Dalam kata lain, iman seseorang terbukti sah apabila dia menyatakan syahadah dalam hatinya.

Hal ini dijelaskan menerusi surah Ali-Imran ayat 18 yang mana perkara yang membezakan antara Muslim dengan kafir adalah syahadah.

“Allah menyatakan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, yang menegakkan keadilan….”

2. Intisari ajaran Islam

Selain itu, kepentingannya kalimah juga adalah kerana ia merupakan intisari ajaran Islam.

Pemahaman seorang Muslim terhadap agama Islam adalah bergantung kepada pemahaman mereka kepada kalimah ini.

3. Dasar perubahan menyeluruh

Pernyataan La ilaha illa Allah merupakan penerimaan penghambaan kepada Allah dengan melaksanakan aturan-aturan yang ditetapkan oleh Nya.

Bagi pernyataan Muhammad Rasulullah pula bermaksud penerimaan cara penghambaan itu daripada Nabi Muhammad SAW. Baginda menjadi teladan dan ikutan dalam mengikuti minhajillah.

Dan pasti, penghambaan kepada Allah ini meliputi seluruh aspek kehidupan. Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 162,

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam.”

Sewaktu peristiwa hijrah ke Habsyah, Najasyi telah bertanya kepada umat Islam,

“Apa sebenarnya cerita kamu ini dan apa agama baru yang kamu bawa?”

Lantas Jaafar bin Abi Talib menjawab, “Dahulu kami menyembah berhala, kami makan binatang yang tidak disembelih, kami melakukan maksiat, kami bergaduh sesama sendiri dan kami memutuskan persaudaraan. Selepas itu, datang kepada kami seorang lelaki daripada kaum kami, mengajak kami menyembah Allah yang Maha Esa dan meninggalkan berhala batu yang tidak memberi manfaat itu…”

Daripada kata-kata ini, dapat kita lihat bahawa kalimah syahadah itu adalah dasar-dasar perubahan.

4. Hakikat dakwah para Rasul

Setiap Rasul diberikan tanggungjawab untuk memikul risalah dakwah dan menegakkan din Allah SWT.

Hal ini seperti mana yang difirmankan dalam surah Al-Mumtahanah, ayat 4 yang bermaksud:

 “Sesungguhnya telah ada suri teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia…” Maksudnya, kalimah syahadah merupakan hakikat seruan para rasul.

5. Keutamaan yang besar

Akhir sekali, kalimah ini mempunyai keutamaan yang besar kepada setiap umat Islam. Dengan adanya kalimah tauhid ini maka setiap dari kita akan memperoleh ganjaran di dunia dan akhirat.

Diharapkan semoga perkongsian kami kali ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan.

Sumber:

  1. Harakah Daily
  2. My Masjid
  3. Aku Muslim Asia
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.