11 Jenis Zakat Dalam Islam Serta Pembahagiannya

Apakah jenis zakat yang perlu dikeluarkan oleh umat Islam yang berkemampuan untuk menyucikannya daripada sebahagian harta yang di perolehi?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda berkenaan dengan jenis-jenis zakat dan perbezaan setiap satu darinya yang perlu anda tahu.

Baca juga:

Apa maksud zakat?

Zakat dari segi bahasa adalah bermaksud “bersih dan suci”.

Zakat ini adalah sesuatu perkara yang dilakukan atas tujuan membersihkan harta dari hak orang lain dan menyucikan dari sifat kedekut dan bakhil.

Dalam maksud lain zakat ini adalah bertujuan untuk menyucikan diri daripada sifat dengki dan demdam terhadap kekayaan yang dimiliki oleh orang lain.

Manakala dari segi istilah pula zakat bermaksud sejumlah harta yang tertentu yang diwajibkan oleh Allah SWT supaya diserahkan kepada orang yang lagi berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu.

Zakat ini juga merupakan rukun islam yang keempat iaitu membayar zakat.

Fieman Allah SWT:

Maksudnya:

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”

(surah An-Nur: 54)

Terdapat dua kategori utama dalam pembahagian zakat, iaitu zakat fitrah dan juga zakat harta.

Zakat fitrah atau zakat ” badaniah” ( بدنية ) ialah zakat tubuh badan.

Manakala zakat ” maliah” ( مالية ) adalah zakat harta benda yang terdiri daripada wang ringgit, emas, perniagaan, binatang ternakan dan sebagainya

Mari kita lihat secara ringkas pembahagian dan jenis-jenis zakat yang terdapat di dalamnya.

Jenis zakat dalam Islam

Jenis Zakat 1 : Zakat Fitrah


Zakat fitrah merupakan zakat badan yang wajib dibayar sempena berakhirnya bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan.

Zakat Fitrah ini merupakan satu kewajipan fardu ain yang wajib dibayar ke atas orang Islam.

Kewajipan ini dituntut untuk dilaksanakan pada bulan ramadan atas tujuan untuk membersihkan dan menyucikan jiwa keatas mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia.

Zakat Fitrah tersebut dapat igunakan untuk membantu golongan fakir dan miskin untuk membuat persiapan Hari Raya.

Zakat Fitrah difardhukan pada tahun kedua hijriah iaitu pada tahun yang sama difardhukan kewajipan puasa Ramadhan.

Nabi SAW bersabda menerusi riwayat Ibn Umar:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya:

“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.”

Hukum Zakat Fitrah

Hukum mengeluarkan zakat fitrah adalah wajib keatas orang islam yang merdeka dan mampu mengeluarkannya pada waktu yang telah ditetapkan.

Orang Islam adalah meliputi daripada golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak.

Syarat Wajib Zakat Fitrah

  1. Islam dan Merdeka ( bagi mereka yang bukan islam dan hamba tidak diwajibkan untuk berzakat).
  2. Mempunyai kelebihan harta untuk keperluan diri dan ahli keluarga pada malam dan siang hari raya.
  3. Wajib Zakat Fitrah ialah apabila terbenam matahari pada akhir Ramadhan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

HukumWaktu
Waktu Harus* iaitu bermulanya dari awal Ramadan sehinggalah hari akhir Ramadan
Waktu Wajib* iaitu selepas terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan
Waktu Afdal* iaitu selepas solat subuh sehinggalah sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri
Waktu Haram* iaitu selepas solat sunat Aidilfitri

Kadar Bayaran Zakat Fitrah

1- Kadar bayaran bagi Zakat Fitrah adalah mengikut cara asal ialah 1 gantang Baghdad berdasarkan makanan asasi sesuatu tempat seperti beras dan gandum.

2- Kadar yang dikeluarkkan mengikut sukatan/ timbangan iaitu sebanyak 2.6 kilogram (2600 gram) bersamaan nilai matawang mengikut kadar nilai matawang semasa.

Lafaz Akad Zakat Fitrah

Lafaz Untuk Diri Sendiri

” Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”.

Lafaz Untuk Diri Sendiri dan Tanggungan

” Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz Untuk Bagi Pihak

” Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas pihak yang aku wakili …… pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.”

* Tidak wajib zakat Fitrah ke atas orang-orang berikut

  1. Orang yang mati sebelum terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadhan.
  2. Anak yang lahir selepas terbenamnya akhir bulan Ramadhan.
  3. Tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
  4. Orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.

Jenis Zakat 2 : Zakat Harta


Zakat Harta merupakan zakat yang wajib dibayar oleh seseorang ke atas harta-harta apabila mencapai jumlah tertentu dan boleh dibayar pada bila-bila masa.

Kadar zakat harta yang dikenakan adalah sebanyak 2.5% dari jumlah harta yang ada.

Syarat-syarat Zakat Harta

Terdapat beberapa syarat yang harus dititik beratkan sebelum seseorang itu mengeluarkan zakat harta dari hasil pendapatannya:

  1. Islam. (Zakat harta hanyalah diwajibkan keatas orang islam sahaja). Contohnya, sekiranya sesuatu perniagaan yang dijalankan terdapat perkongsian bersama orang bukan Islam, maka bahagian yang diambil kira untuk pengiraan zakat adalah hanyalah dikira pada bahagian orang Islam sahaja (peratusan ekuiti/syer/bahagian yang dipegang orang Islam)
  2. Sempurna Milik. ( Zakat hanya wajib ke atas orang yang merdeka sahaja, bukan hamba)
  3. Merdeka. ( Harta yang dimiliki adalah sempurna milik iaitu mempunyai kekuasaan sepenuhnya ke atas harta tersebut, bukan hutang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik boleh melakukan apa-apa sahaja ke atas harta tersebut dan mendapatkan manfaat daripadanya.
  4. Cukup Nisab ( mengikut kadar-kadar tertentu bagi jenis-jenis zakat iaitu bersamaan dengan 85 gram emas).
  5. Cukup Haul (memilikinya tidak kurang dari 1 tahun).

Terdapat pelbagai jenis-jenis zakat iaitu:

jenis zakat

Zakat Emas & Perak


1. Emas

Emas yang diwajibkan untuk dikeluarkan zakat adalah terdiri daripada emas yang tulen sama ada dalam bentuk jongkong emas, perhiasan rumah serta perhiasan wanita seperti gelang, cincin, rantai dan seumpama dengannya.

Perkara ini telah dijelaskan oleh Al-Quran dari Surah At-Taubah: 34 yang bermaksud:

“Dan ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak, serta tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan atau azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Zakat emas terbahagi pula kepada dua bahagian iaitu:

1- Emas yang Dipakai

Emas yang dipakai walaupun sekali-sekala ataupun secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib untuk dikeluarkan zakat ke atasnya.

Namun, walau bagaimanapun jika ia melebihi ‘uruf maka diwajibkan keatasnya untuk dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai ‘uruf.

Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.

2- Emas Simpanan

Emas yang tidak digunakan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun.

Namun, jika nilai emas yang tidak dipakai tersebut menyamai atau melebihi 85 gram (nisab), maka wajib dikeluarkan keatasnya zakat sebanyak 2.5%.

Sebagai contoh, jika berat keseluruhan emas yang tidak dipakai itu seberat 90 gram bernilai RM9500 maka zakatnya adalah : RM9500 x 2.5% = RM237.50

Kaedah Kiraan :

1- Emas yang dipakai wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut melebihi uruf (nilai kebiasaan pemakaian setempat).

Kadar Uruf bagi negeri Kedah ialah 150 gram. Kadar zakatnya adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan nilai emas tersebut.

2- Emas Simpan yang disimpan atau tidak dipakai wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut menyamai atau melebihi 85 gram / 25 mayam.

Kadar zakatnya ialah 2.5% atas nilai keseluruhan emas tersebut.

* Kadar uruf bagi setiap negeri boleh disemak melalui pautan link tersebut:

https://www.hargaemas.com.my/terkini/tag/zakat-emas-kedah

Perak

Zakat Perak yang wajib dikeluarkan oleh seseorang adalah terdiri daripada jenis perak yang tulen.

Sama ada dalam bentuk jongkong, bijih, wang, perkakas atau perhiasan rumah serta barang-barang kemas atau perhiasan seperti cincin, gelang, rantai dan seumpama dengannya.

Kaedah Kiraan:

Ijmak’ ulama’ telah menetapkan nisab perak yang wajib dikeluarkan zakat apabila beratnya menyamai atau melebihi 200 dirham 595 gram / 176 mayam.

Kadar zakatnya adalah sebanyak 2.5% daripada nilai keseluruhan perak tersebut.

rukun islam

Zakat Galian


Zakat galian ini merupakan zakat yang dikenali sebagai rikaz dan ma’adin adalah dari emas dan perak yang dijumpai oleh manusia dari perut bumi.

Pembahagian Zakat Galian:

1- Rikaz

Rikaz adalah segala harta benda (emas dan perak atau seumpamanya) yang tersimpan di dalam bumi dan mempunyai tanda-tanda bahawa ia tersimpan sebelum kedatangan Islam sebagai

Contoh : harta karun

2- Ma’adin

Ma’adin adalah segala hasil galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair diproses dan menghasilkan logam galian atau dalam bentuknya sebagai

Contoh; emas, perak, bijih besi, minyak mentah, garam dan lain lain.

* Tidak disyaratkan haul bahkan zakat wajib dikeluarkan segera selepas diperolehi secara mencukupi nisab.

Kaedah kiraan;

1. Maadin;

Wajib dikeluarkan zakatnya apabila terjumpa atau dijumpa.

Tidak ada tempoh waktu (haul). Harta ini perlu menemui dengan kadar wang sebanyak 85 gram emas atau 595 gram perak dengan kadar zakat adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan harta tersebut.

2. Rikaz;

Wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 20% atas harta tersimpan atau harta karun yang dijumpai jika melebihi kadar wang sebanyak 85gram emas.

jenis zakat

Zakat tanaman


Zakat tanaman seperti biji-bijian dan buah-buahan yang cukup nisabnya hendaklah dibayar zakatnya mengikut peratus penghasilan.

Tanaman dan buah-buahan yang wajib untuk dibayar zakat hanyalah yang menjadi makanan asasi manusia (yang mengenyangkan) dan ianya boleh disimpan dan tidak rosak.

Antara jenis-jenis tanaman dan buah-buahan ialah kurma, anggur kering, gandum, barli, beras atau padi dan sebagainya.

Bagi negara Malaysia, zakat tanaman ini hanya dikhususkan kepada tanaman padi.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah:267 yang membawa maksud:

Maksudnya:

“Wahai orang yang beriman! Balanjakanlah ( pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari Bumi untuk kamu..”

Kaedah Kiraan:

Bagi kiraan zakat tanaman ini ia dikenakan zakat tanaman sekiranya hasil tanaman itu menyamai atau melebihi 1000 kg atau 400 gantang Baghdad (5 ausuq).

Tanaman yang diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia atau lainnya seperti binatang dan jentera atau dengan kadar perbelanjaan yang banyak maka kadar zakatnya ialah sebanyak 5% atau 1/20.

Bagi tanaman yang menggunakan jirusan air hujan atau aliran air secara semula jadi seperti sungai atau parit, maka kadar zakatnya ialah 10% atau 1/10.

Zakat Wang Simpanan


Zakat wang simpanan akan dikenakan keatas wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa,

Zakat wang simpanan akan dikenakan keatas wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan.

Kaedah Kiraan:

1- Simpanan Tetap

Zakat 2.5 % daripada keseluruhan simpanan tersebut.

2- Simpanan Biasa

Zakat 2.5 % dari nilai terendah (cukup nisab) dalam tempoh setahun simpanan tersebut.

Zakat Ternakan


Zakat ternakan adalah zakat yang dikeluarkan hasil daripada binatang-binatang yang diternak seperti lembu,kerbau, kambing, biri-biri dan unta apabila sempurna syarat-syaratnya.

Kaedah Kiraan:

Zakat yang perlu dikeluarkan apabila bilangan ternakan melebihi kadar nisab seperti berikut :

Lembu / Kerbau : mencukupi 30 ekor atau lebih
Kambing / Biri-biri : mencukupi 40 ekor atau lebih
Unta : mencukupi 5 ekor atau lebih

Zakat Saham


Zakat saham ini adalah zakat yang harus dikeluarkan ke atas pelaburan saham yang dilaburnya apabila cukup (haul) dan cukup nisabnya.

Zakat Perniagaan


Zakat perniagaan wajib dikeluarkan hasil daripada perniagaan yang dijalankan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan.

Zakat yang wajib dikeluarkan sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.

Zakat Pendapatan


Zakat pendapatan ini merupakan wajib dikenakan keatas jumlah pendapatan yang diperolehi seseorang daripada majikannya.

Hasil daripada usaha atau pekerjaan yang dilakukan untuk majikannya sama ada semasa berkhidmat, selepas berkhidmat atau selepas kematiannya (pencen terbitan).

Contoh: termasuklah hasil daripada gaji bulanan, upah kerja, elaun, bonus, dan lain-lain.

Kaedah Kiraan :

Kaedah kiraan zakat pendapatan pada asasnya adalah berdasarkan jumlah pendapatan kasar dari semua sumber pendapatan yang halal dalam setahun selepas dibuat tolakan Had Kifayah* seterusnya didarab dengan 2.5%

Zakat KWSP


Zakat KWSP adalah zakat yang dikeluarkan oleh seseorang itu apabila ia menyimpan sebahagian daripada pendapatannya ke dalam simpanan wang KWSP.

KWSP ini dekenakan zakat kerana konsepnya adalah sama seperti wang simpanan cuma, perbezaan simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewanang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa.

Simpanan caruman wang pekerja dan majikan ke dalam akaun KWSP dikenakan zakat apabila ianya cukup haul dan nisab.

Kadar Kiraan:

Terdapat dua pendapat dalam pengiraan zakat KWSP:

1- Milik tak Sempurna:

Zakat hanyalah wajib dikeluarkan ketika bersara atau mengeluarkan sebahagian wang daripada KWSP semasa cukup umur. Kadarnya ianya sebanyak 2.5% daripada keluaran tersebut.

2- Milik Sempurna:

Wang yang tersimpan dalam akaun simpanan KWSP dikenakan zakat apabila ianya cukup nisab dan haul ( caruman wang pekerja sahaja iaitu tidak termasuk caruman majikan).

Ini bermaksud ianya wajib dikeluarkan zakat keatas zakat tersebut apabila memenuhi syarat-syaratnya walaupun wang tersebut masih berada dalam akaun KWSP.

Kadar yang harus dibayar adalah sebanyak 2.5% apabila caruman tersebut mencukupi nisab yang ditetapkan.

Golongan Yang Berhak Menerima Zakat


Terdapat 8 golongan yang berhak untuk menerima zakat

jenis zakat
  1. Orang Fakir Mereka yang tidak berharta, tiada mata pencarian atau mempunyai hasil pendapatan yang tidak sampai separuh daripada keperluan asas.
  2. Orang Miskin ( mereka yang mempunyai harta tetapi hanya sekadar dapat menampung separuh atau lebih keperluan semasa bagi diri sendiri dan tangungannya).
  3. Amil ( adalah seorang pemungut zakat yang ditauliahkan oleh pemerintah).
  4. Muallaf ( mereka yang baru memeluk islam yang keislamannya masih terumbang ambing lagi).
  5. Hamba “Al-Riqab ( adalah mereka yang diberi peluang oleh tuannya untuk menebus diri tetapi tiada kemampuan untuk berbuat seperti demikian).
  6. Mereka Yang Berhutang ( penanggung hutang yang menepati syarak seperti berhutang untuk kepentingan umum tetapi tidak mampu untuk melunaskannya).
  7. ” Fi Sabilillah” ( adalah mereka yang berjuang atau berjihad demi untuk menegakkan agama Islam).
  8. ” IBN Sabil” ( adalah mereka yang kehabisan belanja untuk meneruskan sesebuah perjalanan yang bertujuan untuk kebaikan).

Zakat yang wajib dikeluarkan adalah berdasarkan nilai nisab, kadar dan pengiraannya adalah berbeza antara negeri-negeri di Malaysia ia bergantung kepada ketetapan Majlis Agama Negeri masing, masing.

Maklumat yang telah disediakan di atas adalah bersifat umum untuk pengetahuan asas sahaja kepada semua orang.

Untuk maklumat lanjut dan lebih spesifik, sila rujuk Majlis Agama Negeri masing-masing.

Zakat juga dapat membersihkan dan menyucikan harta yang kita perolehi. Dengan berzakat kita juga dapat membatu orang yang susah dan membantu meringankan beban mereka.

Sumber:

  1. Indahnya Hidup Bersyariat- Dato’ Ismail Kamus
  2. Jenis-Jenis Zakat. Lembaga Zakat Selangor
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.