Zikir Fatimah: Teks Arab / Rumi Dengan Terjemahannya
Artikel pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda mengenai Zikir Fatimah dalam bahasa Arab, rumi, berserta terjemahannya.
Dalam kehidupan, tidak kiralah kita dalam posisi apa sekalipun, sama ada seorang isteri yang menjadi suri rumah atau suami yang bekerja di luar, masing-masing pasti akan berhadapan dengan rasa penat yang tersendiri.
Wajar, kadang kala kita mengeluh dengan tanggungjawab dan ujian kehidupan yang dipikul sehari-hari.
Bagi mengatasi kepenatan semasa melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun yang ada di tempat kerja, anda boleh mengamalkan zikir ini untuk memudahkan urusan seharian anda.
Pengenalan
Zikir Fatimah adalah antara zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada puteri bongsu kesayangannya iaitu, Saidatina Fatimah Az-Zahra RA.
Manfaat zikir ini adalah untuk memberi kekuatan kepada diri dalam membantu menyelesaikan urusan harian seperti mana yang berlaku dalam kisah Saidatian Fatimah dan Saidina Ali.
Kisah disebalik Zikir Fatimah
Pada suatu hari, Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.
Saidina Ali berkata:
"Bapa kamu telah membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."
Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah.
Bagaimanapun Rasulullah SAW tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu baginda SAW berkata:
أَلاَ أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا، أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ
"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbilah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."
Justeru, zikir inilah yang boleh menjadi penawar ringkas yang Nabi SAW ajarkan kepada anak dan juga menantunya demi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.
Selepas daripada perkongsian Nabi SAW itu kepada anakanda baginda, Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah SAW ini setiap masa sungguhpun dalam keadaan yang menyukarkannya untuk melafazkan zikir. Katanya:
فَمَا تَرَكْتُهَا بَعْدُ
"Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku. Alangkah baiknya amalan kepadaku. Alangkah baiknya amalan ini dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca zikir ini."
Bacaan Zikir Fatimah
Berikut adalah himpunan zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada anakanda baginda:
سبحان الله
Subhan Allah - (33 kali) Maha Suci Allah
الحمد لل
Alhamdulillah - (33 kali) Segala puji bagi Allah
الله أكب
Allahuakbar - (33 kali) Allah Maha Besar
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْر
La ilaha illallah wahdahu la syarikalah lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai 'in qadir - (di cukupkan menjadi 100 dengan kalimat ini 1 kali) Tiada Tuhan yang lain melainkan Allah yang Maha Esa. Tiada sesuatu yang menyekutukan bagi Nya. Tuhan yang memiliki segala kekuasaan. Tuhan yang memiliki segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah Allah yang Berkuasa atas segalanya.
Bacaan tasbih, tahmid, dan takbir adalah sebaik-baiknya bacaan zikir. Zikir ini boleh diamalkan sebelum tidur agar kita bertenaga untuk melakukan pelbagai pekerjaan pada keesokan harinya dengan izin Allah SWT.
Betapa hebatnya amalan zikir ini sehingga Ali RA tidak meninggalkan amalan ini walaupun dalam peperangan.
Diharapkan semoga perkongsian mengenai zikir ini dapat memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan amalan harian.
Marilah kita sama-sama istiqamah dalam mengamalkan zikir ini sebelum tidur agar kita mendapat pahala sunnah dan manfaat seperti mana yang diberitahu oleh Rasulullah SAW.
Sumber:
- Amalan Ketika Kepenatan. Mufti Perlis
- Zikir Fatimah Az-Zahra Sebelum Tidur. My Wilayah