Solat Sunat Fajar: Cara Pelaksanaan, Lafaz Niat Serta Kelebihannya

Waktu subuh adalah waktu yang sangat berkah. Begitu besar rahmat yang diberikan oleh Allah kepada sesiapa yang bangun sebelum subuh. Salah satu nikmatnya adalah dengan melaksanakan solat sunat fajar.

Apakah yang dimaksudkan dengan solat sunat fajar dan bagaimana pula cara pelaksanaannya? Artikel pada kali ini, kami akan kongsikan panduan yang mudah untuk rujukan anda semua.

Apa itu solat sunat fajar?

solat sunat fajar

Solat sunat fajar adalah solat sunat dua rakaat yang merupakan salah satu solat tambahan kepada solat-solat yang telah difardukan oleh Allah SWT.

Menurut Ibn al-Qayyim, katanya:

Penjagaan Baginda SAW terhadap sunat Rawatib subuh melebihi seluruh solat sunat. Baginda SAW tidak pernah meninggalkan sunat rawatib subuh dan solat Witir sama ada ketika melakukan perjalanan musafir atau ketika bermukim.

Dalam riwayat lain, daripada Aisyah RA bahawa beliau berkata:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العِشَاءَ، ثُمَّ صَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ، وَرَكْعَتَيْنِ جَالِسًا، وَرَكْعَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءَيْنِ وَلَمْ يَكُنْ يَدَعْهُمَا أَبَدًا

Maksudnya: “Nabi SAW solat isyak kemudian Baginda solat lapan rakaat, dua rakaat dengan duduk, serta dua rakaat di antara dua seruan (azan dan iqamat). Baginda tidak pernah meninggalkan dua rakaat sunat Fajar tersebut.”

Tempoh waktu untuk mengerjakannya

Solat sunat sebelum subuh didirkan selepas azan subuh atau dalam kata lain sebelum mengerjakan solat fardhu subuh.

Ini bermaksud sekiranya ia dilakukan sebelum subuh, ia tidak dikira solat sunat fajar.

Kata Ibn Abdil Barr: “Tidak ada perselisihan daripada amalan baginda SAW, bahawa apabila fajar mula kelihatan, baginda bersolat dua rakaat sebelum solat fardhu subuh”

Hadis Hafsah RA juga ada menyatakan bahawa:

Maksudnya: “Adalah rutin Rasulullah SAW, apabila muazzin senyap daripada azan subuh, dan fajar mula kelihatan, baginda bersolat dua rakaat yang ringkas sebelum didirikan solat.”- (Hadis Riwayat Muslim)

Perbezaan solat ini dengan solat sunat qabliyyah subuh

Tiada perbezaan antara solat sunat fajar dan solat sunat qabliyyah subuh. Kedua-duanya mempunyai pengertian dan perlaksanaan yang sama.

Cara melaksanakan solat sunat fajar

Solat sunat ini dilaksanakan sama sahaja seperti solat sunat yang lain. Bilangan rakaatnya adalah sebanyak 2 rakaat. Berikut adalah tatacara yang boleh anda jadikan panduan:

Rakaat pertama

1. Berdiri tengak menghadap kiblat kemudian baca lafaz niat dalam bahasa arab seperti ini.

solat sunat fajar

Usolli sunnatal fajri rak’ataini lillahi taala

“Sahaja aku menunaikan solat sunat fajar dua rakaat kerana Allah ta’ala”

2. Takbiratul ihram dan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil menyebut:

الله أكبر

Allahuakbar

Maksudnya: Allah Maha Besar

3. Membaca doa iftitah

“Allaahu akbaru kabiirawwalhamdu lillaahi katsiiraa. Wa subhaanallaahi bukratawwa aashiila. Wajjahtu wajhiya lilladzii fatoros samaawaati wal ardha haniifam-muslimaa. Wamaa anaa minal musyrikiin. Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiin. Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin”

Maksudnya: Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan Nya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku daripada golongan muslimin.

4. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah hirabbil alamin. Arrahmanirrahim. Maliki yaumiddin. Iyya kana’ budu iyya kanasta ‘in. Ihdinas sirotol mustaqim. Sirotollazina an’am ta’alaihim ghairil maghdu bi ‘alaihim waladhollin

Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah,Tuhan semesta alam. Maha Pemurah,Maha Penyayang. Memiliki hari Pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah,dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang –orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang murka, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

5. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan.

6. Rukuk sambil bertakbir

“Subhaa na rabbiyal a’zimi wabihamdih” (diulang sebanyak tiga (3) kali)

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifat-Nya yang terpuji.”

Dalam keadaan ini kedudukan kedua-dua belah tangan mestilah diletakkan di atas kedua-dua belah lutut kaki.

7. I’tidal sambil melafazkan bacaan ini:

“Sami’allahu liman hamidahu robbana lakalhamdu”

Maksudnya: “Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.”

8. Sujud sambil bertakbir dengan lafaz ini

“Subhana rabbiyal a’la wabihamdih”

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.”

9. Bacaan duduk antara dua sujud

“Rabbigfirli warhamni wajburni warfagni warzuqni wahdini wa a’fini wa’fu anni “

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.”

10. Sujud kembali sambil bertakbir. Selepas sujud kedua, bertakbir dan bangun untuk meneruskan rakaat kedua.

Rakaat kedua

1. Bangun lalu meneruskan dengan rakaat kedua.

2. Membaca Al-Fatihah dengan tartil dan dilafazkan

3. Membaca mana-mana surah pilihan dalam Al-Quran mengikut kemahuan.

4. Rukuk sambil bertakbir.

5. I’tidal (bangun dari rukuk), sujud, duduk diantara dua sujud.

6. Bacaan sujud pada sujud terakhir.

8. Membaca tahiyat akhir.

“Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu lillah. Assalamu’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh. Assalamu’alaina wa’la ‘ibadillahis salihin. Asyahadu anlaa illaha illallah. Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah. Allahumma solli’ala saidina Muhammad wa’ala ali saidina Muhammad. Kama sollaita’ala saidina Ibrahim wa’ala ali saidina Ibrahim. Wabarik ‘ala saidina Muhammad wa’ala ali saidina Muhammad. Kama barakta ‘ala saidina Ibrahim wa’ala ali saidina Ibrahim. Fil ‘alamin innaka hamidummajid”

Maksudnya: “Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.

Dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah. Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim.

Dan berkahilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Sebagaimana Engkau memberhati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.”

8. Memberikan salam

Doa selepas solat

“Allahumma robbu jibrila wa israfila wa mika i a wa Muhammadin nabiyyi sollallahu alayhi wassalam. A’uzuu bika minan narr”

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad SAW, aku memohon perlindungan Mu daripada api neraka.”

Kelebihan mengerjakan solat sunat ini

Solat sunar fajar mempunyai ganjaran pahala yang besar dari dunia dan isinya.

عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Dari ‘Aisyah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Dua rakaat sunat fajar (sebelum solat fardu subuh) lebih baik daripada dunia seisinya.” – (Hadis Riwayat Muslim, 1193)

Selain itu, solat ini juga menjadi penerang pada hari kiamat nanti seperti mana yang dinyatakan oleh Rasulullah,

“Berilah khabar gembira bagi orang yang berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang terang benderang pertolongan pada Hari Kiamat.” – (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Diharapkan semoga perkongsian mengenai solat sunat fajar ini memberikan anda informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk memantapkan lagi ibadah sebagai seorang Muslim.

Sumber:

  1. #696: Waktu Solat Sunat Subuh (March, 2022). Maktabah Al-Bakri
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-192: Kelebihan Solat Sunat Fajar. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia. UTM
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.