Panduan Mudah Mencari Arah Kiblat Di Rumah

Bagaimanakah cara untuk mencari arah kiblat di rumah yang betul dan tepat mengikut kaedah yang dicadangkan pakar ilmu falak dan agamawan Islam?

Artikel pada kali ini kami akan berkongsi dengan anda tips mudah untuk mencari arah kiblat di rumah.

Baca juga:

Apa itu kiblat?

Dari segi bahasa, kiblat adalah arah hadap dan kiblat yang dimaksudkan adalah Kaabah. 

Manakala dari pengertian ilmu falak pula, kiblat bermaksud arah menghadap ke Kaabah di atas glob bulatan bumi mengikut jarak yang terdekat. 

Dalil tentang arah kiblat

Para ulama’ telah pun bersepakat dengan mengatakan bahawa menghadap kiblat adalah salah satu dari syarak sah solat melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan dan solat sunat dalam keadaan bermusafir. 

Ini jelas dinyatakan dalam surah Al-Baqarah, ayat 150 yang bermaksud:

"Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.."

Cara menentukan kiblat

Mengikut keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, menghadap Kiblat menjadi syarat sah solat.

Bagi Mazhab Syafie terdapat tiga kaedah berhubung dengan syarat sah menghadap Kiblat iaitu:

  • Bagi seseorang yang berada di dalam Masjidil Haram sama ada nampak Baitullah (Kaabah) atau tidak, wajib ia menghadap dan menghalakan dirinya ke Baitullah dengan penuh yakin. Kewajipan tersebut boleh dipastikan terlebih dahulu dengan melihat atau menyentuhnya bagi cacat penglihatan atau dengan cara lain yang boleh dipastikan, asalkan ada keyakinan. Menentukan Kiblat dengan cara ini dinamakan “Kiblat Yakin”.

  • Bagi seseorang yang jauh dari Baitullah (Kaabah) iaitu yang berada di luar Masjidil Haram dan di sekitar Tanah Suci Makkah hendaklah menghadap ke arah Masjidil Haram dengan tujuan ke arah Kaabah secara dzanni sahaja dan bergantung kepada ijtihadnya. Oleh yang demikian cara ini dinamakan “Kiblat Dzanni”. Kaedah ini boleh diketahui melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Makkah.

  • Bagi seseorang yang berada di luar Masjidil Haram dan di luar tanah suci Makkah hendaklah menghadap ke arah tanah suci Makkah dengan tujuan menghadap Masjidil Haram atau Kaabah. Cara ini memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika mendirikan solat dan ibadat-ibadat lain.

Semak arah kiblat melalui kaedah istiwa’

Untuk semakan sendiri di rumah, boleh buat ketika istiwa adzam. Ketika ini kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah, pada jam 12.16 tengah hari waktu Makkah.

Fenenoma ini berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei, 5.16 petang dan 16 Julai, 5.28 petang waktu Malaysia. Dengan berpandukan tiang yang tegak, arah bayang mesti lurus dengan saf.

Semak arah kiblat dengan teknologi moden

mencari arah kiblat di rumah

Berikut ini adalah beberapa kaedah moden yang boleh anda gunakan untuk mencari arah kiblat di rumah.

1. Menggunakan kompas biasa

Cara untuk menggunakan kompas magnetik ini adalah seperti yang berikut:

  • Pegang kompas di tangan selari dan rata ke tanah atau boleh juga diletakkan di atas permukaan yang rata.
  • Anda akan melihat jarum atau penunjuk merah kompas yang hadapannya sentiasa menunjuk ke utara magnet (N). Manakala bahagian belakangnya pula adalah ke arah selatan.
  • Untuk mencari arah kiblat yang berada di arah barat (W), anda perlu putar kompas tersebut sehingga jarum menunjukkan ke arah barat (W).

2. Menggunakan aplikasi kompas

Terdapat banyak aplikasi islamik yang memberi kemudahan untuk anda periksa dan semak arah kiblat walau di mana pun anda berada.

Aplikasi ini biasanya menggunakan GPS dan kompas yang terbina di dalamnya untuk menghala ke arah yang tepat tidak kira di mana pun anda berada.

3. Menggunakan jam tangan analog

Sesetengah jam tangan analog juga ada memberi kemudahan untuk semak arah kiblat dengan betul. Caranya mudah sahaja:

  • Pegang jam tangan anda secara mendatar, dan halakan jarum jam ke arah matahari.
  • Arah yang terletak di tengah-tengah antara jarum jam dan 12 jam pada jam tangan ialah selatan.
  • Manakala untuk hemisfera selatan pula, anda perlu pegang jam tangan secara mendatar, dan arahkan tanda pukul dua belas ke arah matahari.
  • Arah yang terletak di tengah-tengah antara pukul 12 dan jarum jam adalah utara.
mencari arah kiblat di rumah

Bolehkah membuat permohonan untuk menyemak arah kiblat di rumah?

Pejabat Mufti wilayah Persekutuan mengambil tanggungjawab dalam menentukan arah kiblat bagi masjid-masjid, surau-surau, musolla dan tanah perkuburan Islam tetapi tidak termasuk rumah-rumah persendirian.

Bagi rumah-rumah persendirian, permohonan boleh dibuat kepada Persatuan Jurufalak Syarie yang ada menyediakan perkhidmatan menentukan arah kiblat rumah-rumah persendirian.

*Kos untuk servia yang dikenakan adalah sebanyak RM50 – RM70 sahaja.

Jika anda berminat boleh semak pada pautan yang berikut:

• Untuk Selangor, isi form dalam Facebook
https://www.facebook.com/1545826402395030/posts/2746263022351356/
•Putrajaya: https://wa.me/60193623578?text=Farhan
•JohorBharu: https://wa.me/60197566385?text=Asri

Diharapkan semoga perkongsian kami ini berkenaan dengan panduan mencari arah kiblat di rumah ini dapat memberikan anda semua informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dijadikan rujukan bersama.

Sumber:

  1. Soal Jawab: Arah Kiblat. Mufti Penang
  2. Kiblat. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Jom Semak Arah Kiblat Sendiri Dengan Kaedah Istiwa’. Mufti Selangor
Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.