Waktu Berbuka Pahang – Jadual Waktu (JAKIM) 2026 M / 1447H

Waktu berbuka puasa Pahang 2026 / 1447H merupakan panduan utama bagi umat Islam di wilayah ini sepanjang bulan Ramadan. Bagi mereka yang ingin mendapatkan jadual waktu imsak dan berbuka puasa bagi negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, maklumat tersebut boleh dirujuk melalui laman rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Umat Islam di Malaysia dijangka akan memulakan ibadah puasa pada 19 Februari 2026 (Khamis), tertakluk kepada pengumuman rasmi penetapan anak bulan Ramadan.

Berikut disertakan jadual waktu berbuka puasa Pahang bagi tahun 2026 yang disusun berdasarkan takwim waktu solat JAKIM serta Majlis Agama Negeri sebagai rujukan yang sah dan tepat.

Apa itu Jadual Waktu Berbuka Puasa

Jadual waktu berbuka puasa ialah satu panduan rasmi yang menunjukkan waktu masuk Maghrib, iaitu waktu seseorang Muslim dibenarkan untuk berbuka puasa selepas seharian menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa.

Jadual ini disusun khusus sepanjang bulan Ramadan dan berbeza mengikut lokasi, negeri serta zon waktu di Malaysia.

Jadual waktu berbuka puasa biasanya disediakan oleh pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri, berdasarkan pengiraan falak yang tepat dan disahkan.

Selain waktu berbuka, jadual ini turut memaparkan waktu imsak sebagai peringatan awal sebelum masuk waktu Subuh.

Dengan merujuk jadual waktu berbuka puasa, umat Islam dapat memastikan ibadah puasa dilakukan mengikut waktu yang sah, sekali gus mengelakkan kesilapan berbuka terlalu awal atau melewatkan berbuka tanpa sebab yang dibenarkan.

Jadual ini juga memudahkan perancangan ibadah lain seperti solat Maghrib, berbuka bersama keluarga serta aktiviti sepanjang bulan Ramadan.

Jadual Waktu Berbuka Pahang 2026

Jadual Waktu Berbuka Pahang 2026

ZON 1: Pulau Tioman

ZON 2: Pekan, Muadzam Shah dan Kuantan

ZON 3: Maran, Chenor, Jengka, Temerloh, Bera, dan Jerantut

waktu berbuka pahang

ZON 4: Bentong, Raub, dan Lipis

waktu berbuka pahang

ZON 5: Genting Sempah, Janda Baik, dan Bukit Tinggi

ZON 6: Bukit Fraser, Genting Highland, dan Cameron Highlands

waktu berbuka pahang

ZON KHAS: Mukim Rompin, Mukim Endau, dan Mukim Pontian

waktu berbuka pahang

*Tertakluk kepada Pengisytiharan Penyimpanan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia

** Tarikh melihat anak bulan Syawal tertakluk kepada Pengisytiharan Penyimpanan Mohor

Doa Berbuka Puasa

1. Doa Berbuka Puasa Ketika Seorang

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلىَ رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Allahumma lakasumtu wabika aamantu wa’alaa rizqika afthortu birohmatika yaa arhamar roohimin.

Maksudnya: Ya Allah kerana-Mu aku berpuasa, Dengan-Mu aku beriman, kepada-Mu aku berserah dan dengan rezeki-Mu aku berbuka (puasa), dengan rahmat-Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih

2. Doa Berbuka Puasa Ketika Ramai

اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا وَبِكَ آمَناَّ وَعَلىَ رِزْقِكَ أَفْطَرْناَ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Allahumma lakasumna wabika aamanna wa’alaa rizqika afthorna birohmatika yaa arhamar roohimin

Maksudnya: Ya Allah kerana-Mu kami berpuasa, Dengan-Mu kami beriman, kepada-Mu kami berserah dan dengan rezeki-Mu kami berbuka (puasa) dengan rahmat-Mu, Ya Allah Tuhan Maha Pengasih

Adab Semasa Berbuka

Berbuka puasa bukan sekadar menghilangkan lapar dan dahaga setelah seharian menahan diri, bahkan ia merupakan satu waktu yang penuh keberkatan dan dianjurkan untuk dipenuhi dengan adab serta amalan sunnah.

Islam mengajar umatnya agar menjaga adab ketika berbuka supaya ibadah puasa yang dilakukan menjadi lebih sempurna dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

1. Membaca “Bismillah” Sebelum Makan

Antara adab utama semasa berbuka puasa ialah memulakan dengan menyebut nama Allah SWT. Ini selaras dengan perintah umum sebelum makan, agar setiap perbuatan yang dilakukan diberkati dan dijauhkan daripada gangguan syaitan.

Daripada ‘Aisyah radhiyallahu anha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin makan maka sebutlah nama Allah Taala.”
[HR. Abu Daud, no. 3767 – dinilai sahih li ghairihi oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

Oleh itu, disunatkan bagi orang yang berpuasa untuk membaca “Bismillah” sebelum menjamah makanan ketika berbuka.

2. Berbuka Dengan Kurma Atau Air Putih

Adab seterusnya ialah berbuka dengan kurma atau air putih, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Perbuatan ini bukan sahaja menepati sunnah, malah baik untuk kesihatan tubuh badan setelah seharian berpuasa

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

Maksudnya: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam biasanya berbuka dengan kurma basah sebelum menunaikan solat. Jika tidak ada kurma basah, maka dengan kurma kering. Jika tidak ada juga, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.”
[HR. Abu Daud no. 2356 dan Ahmad 3/164, hasan sahih]

Hadis ini menunjukkan keutamaan menyegerakan berbuka dan mendahulukan makanan yang ringkas.

3. Membaca Doa Setelah Berbuka

Antara adab yang sangat dianjurkan ialah membaca doa selepas berbuka puasa. Doa ini merupakan sunnah yang sabit daripada Rasulullah SAW.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: « ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam apabila telah berbuka, baginda mengucapkan: Telah hilang rasa haus, dan telah basah urat-urat, serta telah tetap pahala, insya-Allah.”
[HR. Abu Daud no. 2357, hasan]

4. Berdoa Secara Umum Ketika Berbuka

Selain doa khusus selepas berbuka, umat Islam juga digalakkan untuk berdoa dengan apa sahaja hajat yang diinginkan ketika waktu berbuka. Ini kerana waktu tersebut merupakan antara waktu yang mustajab untuk berdoa.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ: الإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Ada tiga golongan yang doanya tidak ditolak: pemimpin yang adil, orang yang berpuasa ketika dia berbuka, dan doa orang yang dizalimi.”
[HR. Tirmidzi no. 2526 dan Ibnu Hibban 16/396 – sahih]

Dalam kitab Tuhfatul Ahwadzi, dijelaskan bahawa waktu berbuka adalah waktu dimakbulkan doa kerana ketika itu orang yang berpuasa telah menyempurnakan ibadahnya dalam keadaan tunduk, lemah dan penuh pengharapan kepada Allah SWT.
[Tuhfatul Ahwadzi, 7/194]

Soalan Lazim Berkaitan Waktu Berbuka Puasa

1. Bagaimanakah waktu berbuka puasa bagi orang yang berada di atas kapal terbang?

Bagi seseorang yang berpuasa dan berada di atas kapal terbang, waktu berbuka adalah berdasarkan datangnya malam yang dilihat dengan mata sendiri atau pengumuman anak kapal berdasarkan waktu semasa penerbangan.

Hendaklah seboleh-bolehnya seseorang itu menetapkan keyakinan dengan melihat sendiri bahawa matahari telah terbenam dan hari telah bertukar malam.

Selagi matahari masih kelihatan walaupun jam menunjukkan waktu Maghrib di tempat lain, maka belum masuk waktu berbuka bagi dirinya.

2. Adakah harus berbuka puasa apabila jam menunjukkan masuk waktu Maghrib tetapi azan belum berkumandang?

Ya, harus berbuka puasa apabila diyakini bahawa waktu Maghrib telah masuk walaupun azan belum berkumandang.

Puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang membatalkannya bermula dari masuk waktu Subuh sehingga masuk waktu Maghrib.

Firman Allah SWT:
“Kemudian maka berpuasalah kamu sampai masuk waktu malam.”
(Surah al-Baqarah: 187)

Masuk waktu malam adalah dengan masuknya waktu Maghrib, dan waktu Maghrib pula masuk apabila tenggelam keseluruhan bulatan matahari di ufuk barat. Tidak wajib bagi seseorang melihat matahari terbenam kecuali jika ia kelihatan di hadapan mata.

Oleh itu, harus berbuka dengan melihat tanda-tanda masuk waktu seperti jam, takwim, mendengar azan atau apa-apa petunjuk yang diyakini. Namun begitu, yang afdhal ialah menunggu azan Maghrib berkumandang.

3. Apakah hukum menjemput orang bukan Islam untuk berbuka puasa bersama?

Menurut Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-87, hukum menjemput orang bukan Islam berbuka puasa adalah harus dan dibolehkan dalam Islam.

Malah, amalan ini dilihat sebagai satu medium yang baik untuk mengeratkan hubungan kejiranan, menyemai kasih sayang serta memupuk semangat bantu-membantu tanpa mengira agama dan bangsa.

Namun begitu, adab dan nilai murni hendaklah dipelihara, dan keutamaan sebaiknya diberikan kepada fakir miskin serta anak yatim, sama ada dalam kalangan orang Islam atau bukan Islam.

4. Apakah hukum jika tersalah waktu sahur atau berbuka puasa?

Menurut Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-130, Seseorang yang melakukan perkara yang membatalkan puasa dalam keadaan tidak disengajakan, terlupa atau kerana paksaan, maka puasanya tidak terbatal dan dia wajib meneruskan puasanya hingga tiba waktu berbuka.

Namun begitu, keadaan dan hukumnya adalah berbeza bagi seseorang yang ragu-ragu tentang masuknya waktu berbuka atau sahur, lalu dia berbuka puasa atau meneruskan sahur hanya berdasarkan ijtihad sendiri. Dalam situasi ini, para ulama’ membahagikan hukum berkaitan perkara tersebut kepada dua kategori:

Pertama:
Haram bagi seseorang yang ragu-ragu sama ada waktu berbuka telah masuk lalu dia makan di akhir siang kerana menyangka telah masuk malam. Ini kerana asal hukum adalah masih waktu siang.

Kedua:
Harus bagi seseorang yang ragu-ragu sama ada waktu sahur telah tamat untuk meneruskan makan, berdasarkan ijtihadnya atau makluman orang yang dipercayai. Ini kerana asal hukum adalah masih waktu malam.

Namun, jika selepas itu dia mendapati bahawa dia benar-benar tersalah sahur (makan selepas Subuh) atau tersalah berbuka (sebelum Maghrib), dan dia yakin akan kesilapan tersebut, maka puasanya batal dan wajib diqada.

5. Apakah hukum melewatkan berbuka puasa?

Hukum melewatkan berbuka puasa adalah makruh, kerana ia bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW yang menyegerakan berbuka setelah pasti terbenam matahari.

Menurut Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-195, jika seseorang tidak yakin atau hanya menyangka matahari telah terbenam, maka tidak disunatkan untuk segera berbuka sehingga benar-benar pasti masuk waktu.

Sekiranya seseorang sengaja melewatkan berbuka kerana menyangka ada fadilat tertentu, maka perbuatan tersebut juga makruh kerana tiada sebarang kelebihan dalam melewatkan berbuka. Namun, jika ia dilakukan kerana keuzuran tertentu, maka ia dibolehkan.

6. Adakah niat membatalkan puasa tanpa melaksanakannya menyebabkan puasa terbatal?

Menurut Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-208, qaul muktamad dalam mazhab Syafie menetapkan bahawa puasa tidak terbatal sekiranya seseorang hanya berniat untuk membatalkan puasa tetapi tidak meneruskannya dengan perbuatan.

Walaupun terdapat pendapat yang mengatakan puasa boleh terbatal dengan niat semata-mata, Imam al-Nawawi telah mentarjih bahawa puasa tersebut tidak terbatal, dan inilah pandangan muktamad dalam mazhab Syafie.

7. Bagi seorang muazin, perlu berbuka puasa atau azan terlebih dahulu?

Menurut Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-194, bagi menjaga kepentingan orang ramai yang menunggu untuk berbuka, muazin disunatkan mengumandangkan azan terlebih dahulu.

Namun, jika dia ingin berbuka dengan sesuatu yang ringan seperti seteguk air atau beberapa biji kurma sebelum azan, ia dibenarkan.

Dalam keadaan tertentu seperti berseorangan atau bersama musafir, dia boleh berbuka terlebih dahulu dengan syarat jelas bahawa kumpulan tersebut akan berbuka bersamanya walaupun azan belum dikumandangkan.

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini:

Jom Jadi Insan Bertaqwa!

Jom sama-sama berubah jadi manusia yang lebih dekat dengan Tuhan. Masukkan emel anda untuk tips & panduan beragama.