Contoh Ucapan Takziah Dalam Islam Yang Boleh Diungkapkan
Apakah cara yang sebenar dalam mengucapkan takziah? Cukupkah hanya sekadar mengucapkan “Takziah” buat ahli keluarga atau terdapat beberapa ucapan yang jelas bagi menjelaskan ucapan takziah tersebut?
Selalunya apabila mendengar sahaja mengenai perkhabaran tentang kematian, kita akan ucapkan takziah buat ahli keluarga bagi menenagkan keadaan dan situasi tersebut.
Disini terdapat beberapa contoh yang akan kami kongsikan ucapan takziah yang sering digunakan.
Apakah Itu ‘Takziah’?
Takziah merupakan pernyataan turut bersedih dan berdukacita berdasarkan Kamus Dewan Edisi keempat.
Takziah juga didefinasikan oleh sebahagian ulama’ yang bermaksud sebagai sesuatu ucapan yang diucapkan bagi mengembirakan hati atau memberi ketenangan kepada keluarga si mati yang ditimpa musibah serta galakan yang diberikan dan berdoa kepada si mati dan juga ahli keluarga. Ini sepertimana yang telah ditakrifkan oleh Ibn Muflih di dalam kitabnya al-Furu’.
Takziah di dalam Islam ini bertujuan untuk menggembirakan hati orang yang ditimpa musibah agar sentiasa cekal dan kuat daripada musibah yang dihadapi olehnya.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin pernah ditanya mengenai perincian takziyah ini, makan beliau menjawab: “Bentuk takziah yang paling baik adalah tazkiah yang dilakukan Nabi SAW kepada salah seorang anak perempuan baginda yang menghantar seseorang kepada baginda agar mendatangi cucu baginda yang wafat, maka baginda SAW bersabda kepada utusan tersebut:
مُرْهاَ فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ ، فَإِنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ ، وَلَهُ مَا أَبْقَى ، وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمَّى
Maksudnya: “Perintahkan dia untuk bersabar dan mengharap pahala, hak Allah untuk mengambil dan hak Allah untuk membiarkan. Segala sesuatu di sisi-Nya ada batas ajalnya”
Adapun dalam masyarakat kami, terkenal dengan ucapan takziah sebagaimana ucapan ini:
عَظَّمَ اللهُ أَجْرَكَ ، وَأَحْسَنَ اللهُ عَزَاءَكَ ، وَغَفَرَ اللهُ لِمَيِّتِكَ
Maksudnya: “Semoga Allah membesarkan pahalamu, dan semoga Allah menghiburkanmu, dan semoga Allah mengampuni jenazah (keluarga) mu”.
Ini merupakan ucapan yang telah dipilih oleh sebahagian para ulama, namun apa yang terdapat di dalam sunnah adalah lebih utama dan lebih baik”.
Waktu Ucapan Takziah
1- Setelah Meninggal sehinggalah dikebumikan.
2- Setelah dikebumikan sehinggalah 3 hari. Selepas itu makhruh mengucapkan takziah.
3- Imam Syafi’i r.a berpendapat bahawa takziah sebelum dikebumikan dan sesudahnya adalah diharuskan tetapi selepas dikebumikan adalah terlebih afdal.
Takziah boleh diucapkan seawal seseorang tersebut ditimpa musibah sehingga dia boleh melupakan mausibah tersebut.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyatakan bahawa: “Waktu takziah diucapkan seawal jenazah meninggal dunia, atau setelah terjadi musibah. Jika takziah bukan kerana kematian maka waktu diucapkan ialah sehingga orang yang terkena musibah melupakan musibah daripada fikiran mereka. Hal ini kerana tujuan takziah itu bukan untuk menjadikan musibah itu selamat, akan tetapi tujuannya adalah menguatkan (jiwa) orang yang terkena musibah dalam menanggung musibah ini dan mengharapkan pahala”.
Bahkan dalam agama Islam itu sendiri, ia merupakan satu sunat berdasarkan hadis tersebut:
Maksudnya: Tidak ada seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya disebabkan suatu musibah melainkan Allah S.W.T akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak.
Contoh Ucapan Takziah
Ucapan Takziah 1
Ucapan takziah yang paling terbaik adalah sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:
إنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ
Maksudnya: ‘’Sesungguhnya bagi Allah SWT apa yang Dia ambil dan milik-Nya jualah apa yang Dia berikan. Kesemuanya terdapat ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisi-Nya’. Maka bersabarlah nescaya kamu akan mendapat ganjaran’’.
Ucapan Takziah 2
“Bersabarlah dan berharaplah kepada pahala dariNya, hak Allah untuk mengambil dan hak Allah untuk membiarkan. Segala sesuatu di sisiNya ada batas ajalnya.“
Ucapan Takziah 3
Bahawasanya kepunyaan Allahlah semua yang Dia ambil dan apa yang Dia beri, dan segala sesuatu di sisiNya telah ditentukan tempoh waktunya. Bersabarlah, semoga dikurniakan pahala dariNya buatmu.
Ucapan Takziah 4
Salam takziah diucapkan buat keluarga (nama arwah). Walaupun ujian ini begitu pahit dirasakan, semoga kita semua yakin dengan janjiNya buat hambaNya yang soleh dan solehah. InsyaAllah, syurga buat arwah.
Ucapan Takziah 5
Semoga Allah membesarkan pahalamu, dan semoga Allah menghiburkanmu, dan semoga Allah mengampuni jenazah (keluarga) mu.
Ucapan Takziah 6
Salam takziah daripada kami sekeluarga. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan semoga seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan Allah. DaripadaNya kita hidup dan kepadaNya kita kembali.
Ucapan Takziah 7
Salam takziah buat ahli keluarga (nama si mati), sesungguhnya Allah telah menarik segala kesakitan yang di hadapi oleh beliau sepanjang beliau melawan sakitnya selama ini. Sesungguhnya Allah mahukan beliau berehat di sana yang kekal abadi. Semoga beliau aman dan di tempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan bertaqwa. Semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada ahli keluarganya yang sentiasa sabar menjaga beliau dengan ikhlas kerana Allah.
Ucapan Takziah 8
Salam Takziah atas musibah yang telah berlaku. Sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Bersabarlah sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bersabar.
Ucapan Takziah 9
Al-fatiha buat ahli keluarga (nama si mati). Semoga ahli keluarga arwah tetap sabar dan redha dengan pemergian arwah. Ampunilah, rahmatilah dan ampunilah segala kesilapan yang pernah arwah lakukan secara sengaja atau tidak. Tempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. Semoga setiap amal yang dilakukan diberkati oleh Allah. Sesungguhnya, Allah adalah sebaik-baik perancang.
Ucapan Takziah 10
Assalamualaikum, pada (tarikh kematian) saya baru mendapat berita tentang kematian salah seorang ahli keluarga sahabat (nama) saya. Takziah di atas pemergian insan tercinta. Semoga roh mereka di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Kesimpulan
Ucapan Takziah ini merupakan satu ucapan yang boleh diungkapkan ketika seseorang itu berlaku musibah besar atau kecil seperti kehilangan harta benda atau kehilangan orang-orang yang terdekat yang telah pergi selama-lamanya.
Dengan memberi ucapan seperti ini ia dapat membangkitkan semangat seseorang atau kenalan bagi mendapat semangat dan motivasi diri.